SAKIT belakang terutama bahagian tulang belakang
sering dianggap perkara biasa akibat daripada kerja keras seperti
mengangkat barang terlalu berat atau menyertai sukan lasak seperti
ragbi.
Bagi menghilangkan kesakitan tersebut, ramai yang sering sekadar
mengambil ubat penahan sakit, berurut atau menjalani rawatan alternatif
dan tidak bertemu dengan pakar bagi memeriksa masalah yang dihidapi.
Bukan tidak pernah mendengar apa itu cakera teranjak atau lebih dikenali sebagai 'slipped disc',
tetapi mereka terutamanya golongan muda berasa tidak mungkin menghidapi
masalah tersebut kerana ia sering dikaitkan dengan golongan tua.
Memang kebanyakan pesakit cakera teranjak berusia 40 tahun ke atas,
tetapi sekarang dilihat semakin ramai golongan muda menghidap masalah
yang sama malah ada yang baru berusia belasan tahun.
Memburukkan keadaan, cakera teranjak boleh menyebabkan pesakit hilang
kualiti kehidupan kerana pelbagai perkara tidak dapat dilakukan dan
jika masalah itu berlaku di bahagian leher, pesakit mampu lumpuh.
Perunding Ortopedik, Artroplasti dan Pembedahan Sukan Pusat Perubatan
Tropicana, Dr. Soong Kean Leong berkata, perubahan kelompok usia
penghidap cakera teranjak kepada mereka yang lebih muda berkemungkinan
berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kurang langkah pencegahan
dilakukan.
"Kelompok usia yang ramai mengidap masalah cakera teranjak masih 40
tahun ke atas tetapi semakin ramai golongan muda seawal usia 20-an yang
berdepan dengan masalah tersebut.
"Perubahan tersebut dipercayai berpunca gaya hidup yang tidak sihat.
Ramai yang tidak mengambil berat penjagaan tulang belakang dari muda
seperti postur badan yang betul ketika berjalan, duduk dan tidur.
"Memang betul sakit belakang tidak semestinya petanda masalah cakera
teranjak, tetapi lebih elok mengambil langkah berjaga-jaga dengan
memeriksanya di hospital," ujarnya yang pernah merawat pesakit cakera
teranjak berusia 17 tahun.
Punca dan gejalaSelalunya, cakera teranjak berpunca
daripada proses penuaan iaitu pengurangan kandungan cecair di dalam
cakera yang menyebabkan ia lebih mudah rosak atau pecah apabila menerima
hentakan.
Selain itu, ia juga boleh terjadi akibat kecederaan seperti kemalangan.
Terang Dr. Soong, cakera teranjak berpunca daripada cakera rawan di
antara tulang vertebra yang berfungsi sebagai kusyen untuk penyerap
hentakan tersembul dari kedudukan sebenar.
Perubahan tersebut mungkin terkena bahagian saraf tunjang menyebabkan
rasa sakit di bahagian-bahagian tertentu yang dikawal saraf tersebut
seperti kaki, tangan dan leher selain tulang belakang.
Kesakitan yang melampau akan menyebabkan anggota badan menjadi kebas dan pergerakan akan turut terbatas.
Namun, ujar Dr. Soong, kajian di AS menunjukkan 20 peratus daripada
mereka yang berusia lingkungan 40 tahun yang disahkan mengalami cakera
teranjak tidak berdepan dengan apa-apa simptom.
Ini kerana bahagian tengah cakera yang rosak retak itu tidak mempunyai deria dan hanya terasa sakit jika ia mengena saraf.
Kesannya mungkin hanya dirasai apabila pesakit semakin berusia.
Jika cakera teranjak berlaku di bahagian atas iaitu vertebra serviks, pesakit berkemungkinan menjadi lumpuh.
Namun, jika di bahagian bawah, ia tidak akan menyebabkan lumpuh, cuma
akan berasa sakit atau kebas yang akan menyebabkan kualiti hidup
terganggu.
DiagnosisUjar Dr. Soong, cakera teranjak dapat
didiagnosis melihat kepada simptom yang dihidapi seperti bahagian yang
berasa sakit kerana setiap saraf mengawal bahagian yang berbeza.
Doktor juga akan merujuk kepada sejarah pesakit seperti gaya hidup atau ada kemalangan yang menyebabkan kecederaan.
Menerusi imbasan sinaran-X, perbezaan ketinggian setiap lapisan
tulang belakang dapat dilihat penanda berlaku perubahan pada cakera
kerana setiap tulang selalunya mempunyai ketinggian yang konsisten.
Ujian MRI dapat menentukan masalah sebenar pada tulang belakang yang dihidapi.
RawatanPembedahan selalunya hanya dipertimbangkan jika apabila rawatan lain gagal.
"Rawatan bergantung kepada beberapa perkara seperti usia dan seteruk mana masalah tersebut mengganggu hidup.
"Perkara pertama akan dilakukan ialah mengawal kesakitan tersebut seperti penggunaan ubat.
"Cara penjagaan tulang belakang turut akan diajar kepada pesakit
supaya tidak memburukkan lagi keadaan," ujar Dr. Soong yang begitu
menitik-beratkan penjagaan tulang belakang dari peringkat awal.
Terangnya lagi, fisioterapi perlu dilalui pesakit bagi mengurangkan
rasa sakit yang dihidapi kerana masalah cakera teranjak tidak akan
hilang begitu saja.
Beberapa cara senaman perlu dipraktikkan oleh pesakit bagi menguatkan otot-otot dan tulang belakang.
Jika kesakitan masih berterusan dan amat mengganggu pesakit,
pembedahan iaitu 'PECD scope' akan dilakukan bagi menyahmampatkan saraf
yang terkena cakera tersebut.
No comments:
Post a Comment