Gaya hidup yang kurang aktif dan
pemakanan tidak seimbang adalah antara penyebab utama peningkatan
kejadian penyakit diabetes di kalangan orang ramai.
Malah penyakit itu menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah
penghidap penyakit diabetes di kalangan golongan muda semakin bertambah.
Jumlah penghidap penyakit diabetes dikhuatiri akan terus meningkat
jika orang ramai tidak mengambil langkah mengubah gaya hidup mereka
supaya lebih aktif dengan melakukan senaman, memakan makanan kurang
lemak dan gula serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
Perkara itu dijelaskan Pengarah Perubatan, Konsultan Kardiologi,
Nobel Heart Center, Mt Alvernia Centre, Dr Soon Chao Yong ketika
menyampaikan ceramah bertajuk Diabetes and The Heart dalam Simposium
Kesihatan 2011 di Hotel The Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.
Beliau menjelaskan perubahan gaya hidup pada masa kini yang mana
generasi muda kurang mengamalkan kegiatan aktif dan perubahan dari segi
saiz makanan yang dimakan menjadi antara penyebab meningkatnya diabetes.
Dr Soon menjelaskan mengenai masalah dan cara mengurangkan kadar penyakit diabetes.
Beliau mengakui masalah diabetes tidak hanya terhad kepada
negara-negara yang maju tetapi negara membangun termasuk rantau Asia
turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah penghidap penyakit diabetes.
Menurutnya, diabetes adalah penyakit yang disebabkan jumlah penduduk
yang semakin menua, pemakanan tidak sihat, masalah obesiti dan gaya
hidup kurang aktif.
Diabetes yang dikaitkan dengan pembangunan dijangka akan terus
meningkat disebabkan pembangunan pesat di negara-negara membangun.
Menyentuh mengenai masalah diabetes pada pesakit jantung, Dr Soon
berkata mereka yang mempunyai penyakit jantung dan diabetes mempunyai
risiko yang lebih tinggi mengalami serangan atau kematian yang berkaitan
dengan penyakit jantung.
Beliau mengongsi bahawa kaedah terbaik mengurangkan berlakunya
diabetes adalah menerusi pengurangan faktor risiko iaitu mengamalkan
gaya hidup sihat dan aktif, memastikan berat badan di tahap seimbang
serta mengamalkan pemakanan seimbang.
Di samping itu, kempen kesedaran yang terus dilaksanakan bagi
meningkatkan kefahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit
diabetes dan cara terbaik mencegahnya adalah antara usaha yang harus
diketengahkan kerana mencegahnya adalah mudah.
No comments:
Post a Comment