SEBAHAGIAN doktor dan pakar pemakanan konvensional
biasanya mencadangkan minyak bunga matahari, jagung dan canola sebagai
yang sesuai diambil oleh mereka yang disahkan mengalami arteri jantung
tersumbat. Untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya silalah teruskan
membaca isi keseluruhan artikel ini.
Saya katakan kepadanya bahawa setiap jenis marjerin biasanya mengandungi lemak trans walaupun yang diperbuat daripada minyak sawit. Ramai beranggapan marjerin yang diperbuat daripada minyak kelapa sawit adalah selamat. Ramai juga tidak mengetahui keburukan lemak trans jika diambil berterusan walaupun pada paras rendah.
Lemak trans terhasil daripada proses hidrogenasi iaitu proses menambah hidrogen pada rantaian lemak tidak tepu. Apabila hidrogen ditambah, ikatan ganda dua akan terhapus lalu menghasilkan produk asid lemak tidak tepu.
Ikatan ganda dua pada lemak tidak tepu memiliki kedudukan dua atom hidrogen pada sisi yang serupa. Namun proses hidrogenasi menyebabkan salah satu atom hidrogen berubah kedudukannya dengan menempati sisi berlawanan daripada yang satu lagi.
Asid linolik terkonjugasi (conjugated linoleic acid) merupakan sejenis lemak trans yang terdapat semula jadi dalam susu, telur dan daging. Lemak trans ini didapati memiliki pelbagai manfaat untuk kesihatan. Sebaliknya lemak trans hasil proses hdrogenasi didapati memberi kesan buruk termasuk terhadap kesihatan jantung.
Kolesterol baik dan jahat?
Kajian mendapati lemak trans meningkatkan paras kolesterol jahat iaitu LDL (low density lipoprotein) dan mengurangkan paras kolesterol baik iaitu HDL (high density lipoprotein). Kajian juga mendapati lemak tepu meningkatkan LDL tetapi ia juga meningkatkan paras HDL. Jadi, ramai saintis membuat kesimpulan, lemak trans lebih buruk dari lemak tepu.
Menurut ramai saintis konvensional termasuk doktor dan pakar pemakanan, sesuatu jenis makanan dianggap baik jika ia meningkatkan paras HDL tinggi dan menurunkan LDL. Jadi, jika kajian mendapati sesuatu jenis makanan mengurangkan HDL dan meningkatkan LDL maka makanan tersebut dikategorikan sebagai meningkatkan kolesterol.
Sebagai pengamal perubatan alternatif terlatih dan memahami proses biokimia tubuh, saya tidak menggunakan teori ini. Sebaliknya saya menggunakan teori yang menyatakan bahawa lemak tepu tidak meningkatkan paras kolesterol. Saya muatkan perbincangan berkisar punca penyakit koronari dan bagaimana menanganinya dalam buku saya berjudul Serangan Jantung (Alaf 21).
Sebuah kajian berskala besar telah mendapati lemak tepu tidak memudaratkan kesihatan jantung. Kajian berasaskan analisa meta (meta-analysis, statistik berdasarkan kajian terdahulu yang mengkaji perkara serupa) seperti dilaporkan dalam jurnal The American Journal of Clinical Nutrition (Mac 2010) terhadap 21 kajian terdahulu yang terdiri daripada 347,747 subjek mendapati, tiada bukti kukuh untuk membuat kesimpulan bahawa makanan mengandungi lemak tepu dapat dikaitkan dengan peningkatan penyakit jantung koronari atau penyakit kardiovaskular.
Untuk pengetahuan anda, lemak tepu yang digunakan dalam kajian tahun 50-an didapati meningkatkan paras kolesterol kerana lemak tepu yang telah menjalani proses hidrogenasi. Ramai doktor tidak tahu perkara ini. Begitu juga dengan ramai pakar pemakanan konvensional.
Apabila dikatakan sesuatu jenis minyak itu ialah lemak tepu ia tidak bermaksud kandungannya 100 peratus terdiri daripada lemak tepu. Ini kerana setiap jenis minyak masak sama ada bersumber daripada haiwan atau tumbuh-tumbuhan mengandungi semua kategori asid lemak iaitu lemak tepu, lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu.
Kategori lemak
Setiap jenis minyak dikategorikan kepada kelas tertentu kerana sesuatu jenis asid lemak didapati paling dominan. Contohnya kuning telur, lemak haiwan, minyak sapi tulen, minyak kelapa dan minyak sawit dikelaskan sebagai lemak tepu kerana lelemak tepu dominan. Sebaliknya minyak seperti bunga matahari, jagung dan soya dikelaskan sebagai lemak poli tidak tepu kerana lemak jenis ini yang dominan.
Minyak seperti zaitun, kacang tanah dan canola mengandungi paras lemak mono tidak tepu yang dominan maka ia dikelaskan sebagai lemak mono tidak tepu.
Minyak sunflower dan mengandungi paras lemak mono tidak tepu yang tinggi namun kebanyakan jenis yang dijual di pasaran dikatakan tinggi dengan lemak poli tidak tepu.
Jadi, kerana paras minyak poli tidak tepu yang tinggi, maka saya sendiri mengelaskan minyak canola dan minyak kacang tanah di mana kedua-duanya dalam kategori mono tidak tepu sebagai minyak poli tidak tepu.
Jika anda sering mengikuti tulisan-tulisan saya, anda akan dapati bahawa saya mencadangkan agar anda menjauhi minyak-minyak poli tidak tepu kecuali dalam bentuk perahan sejuk seperti untuk salad pada kuantiti dan kekerapan rendah.
Sesungguhnya kesan epigenetik (epigenetic) lemak poli tidak tepu dipercayai memudaratkan kesihatan kerana ia mengganggu struktur membran sel-sel tubuh termasuk membran mitokondria.
Pada jangka panjang, ia dipercayai menyebabkan sel tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Jadi, seseorang yang sedang mengalami arteri jantung tersumbat atau mengalami diabetes dipercayai akan sukar reda atau mengalami keadaan yang lebih buruk.
Jadi, lemak tepu yang menjalani proses hidrogenasi dalam kajian tahun 50-an tersebut tidak sepatutnya dijadikan rujukan! Ia kerana lemak tepu terhidrogenasi mengandungi lelemak dan produk kimia tertentu yang meningkatkan kolesterol. Dengar-dengarnya lemak tepu terhidrogenasi masih terus digunakan dalam kajian-kajian berkaitan lemak tepu hingga ke hari ini.
Untuk menambah pengetahuan anda mengenai kebaikan lemak tepu dan keburukan lemak poli tidak tepu sila lawati laman sesawang Weston A Price Foundation di pautan http://www.westonaprice.org/.
Di laman sesawang tersebut anda akan faham mengapa lepa susu asli, lemak haiwan, minyak sapi tulen, kuning telur, minyak kelapa dan minyak sawit dikatakan sebagai minyak yang tidak memudaratkan kesihatan jantung dan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
No comments:
Post a Comment