|
SAKIT pada belakang badan merupakan sakit yang kerap berlaku pada
setiap orang dewasa. Lazimnya, seseorang itu akan mengalami episod
kesakitan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Namun, ramai dalam kalangan kita mengambil ringan terhadap sakit
belakang. Walaupun kebanyakan sakit belakang tidak mengundang bahaya
atau membawa maut, ia wajar mendapat perhatian yang teliti sekiranya
berterusan.
Antara penyebab sakit belakang yang sering berlaku ialah slipped disc
atau cakera tergelincir. Ia boleh terjadi pada mana-mana kedudukan
antara 33 vertebra yang membentuk tulang belakang.
“Cakera sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian luarnya
yang seperti getah dan dipanggil anulus fibrosus manakala bahagian
tengah seperti gel pula dipanggil nukleus pulposus,” ujar Pakar
Ortopedik, Trauma dan Pembedahan Tulang, Pusat Perubatan Tropicana, Dr.
Joseph Yap Chong Kiat.
Cakera tergelincir sebenarnya merujuk pada keretakan dan koyakan pada
bahagian anulus. Ia menyebabkan nukleus tertolak ke dalam keretakan
atau koyakan itu lalu menyebabkan cakera membonjol.
Kebanyakan kes cakera tergelincir terjadi disebabkan kecederaan
akibat hentakan akibat terjatuh atau mengangkat beban yang berat.
“Ia juga boleh berlaku akibat kecederaan ringan yang berterusan yang dipanggil RSI (repetitive stress injury).
“Contohnya, duduk atau memandu dalam kereta berterusan selama
berjam-jam. Dalam keadaan sebegitu, tekanan boleh berlaku pada cakera.
Ia menyebabkan ketegangan yang seterusnya mengakibatkan anulus koyak
sedikit,” terangnya.
Tambahnya, kesakitan yang dialami boleh berlarutan sehingga beberapa jam, berhari-hari atau berlanjutan sehingga beberapa bulan.
Sokongan tubuh
Menurut Joseph, tulang cakera merupakan satu fibrocartilage (rawan berserat) yang berada di antara vertebra tulang belakang.
Cakera tersebut membantu memberikan sokongan kepada badan, menolong
menahan berat badan serta berfungsi untuk mengurangkan geseran di antara
vertebra.
“Apabila menyentuh soal slipped disc, ramai yang beranggapan bahawa
perkataan slipped yang digunakan itu memberikan maksud cakera tersebut
teranjak dari tempatnya.
“Sebenarnya, itu tidak berlaku kerana cakera itu sudah tetap kedudukannya pada tulang belakang.
“Apabila cakera itu membonjol ke belakang, mungkin dalam hasil
imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) menunjukkan seperti bentuk
yang berselisih. Mungkin kerana itu, orang fikir cakera itu teranjak
dari kedudukannya, sebenarnya ia bonjol dan bengkak.
Katanya, secara am, cakera gelincir atau PID (Prolapsed
Intervertebral Disc) lazim berlaku dalam kalangan lelaki berbanding
wanita dan berlaku ke atas orang dewasa berusia 30 hingga 50 tahun.
Mereka yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun atau 70 hingga
80 tahun mengalami kesakitan bahagian belakang, kebanyakannya bukan
PID.
Sungguhpun begitu, katanya, jangan sekali-kali memandang ringan jika
kanak-kanak mengalami masalah sakit belakang kerana sesuatu yang serius
mungkin berlaku.
“Masalah ini jarang dilihat dalam kalangan golongan tua kerana
bahagian nukleus seperti gel sudah menjadi semakin kering apabila
seseorang itu berusia melebihi 50 tahun.
“Ia tidak dapat menyerap hentakan atau mengalir keluar seperti yang
terjadi kepada golongan dewasa yang lebih muda,” katanya sambil
memberitahu jika sakit belakang berlaku dalam kalangan mereka yang
berusia 60 tahun ke atas, ia mungkin disebabkan oleh masalah lain
seperti kemerosotan tulang, osteoporosis, spondilolistesis atau barah
tulang.
Berat badan
Ujar Joseph, berat badan berlebihan juga merupakan faktor risiko yang
menambahkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan pada cakera selain
jenis pekerjaan dan kegiatan sukan lasak.
Joseph menerangkan, jika kesakitan yang dialami seseorang itu
melebihi seminggu dan tidak hilang apabila menjalani rawatan biasa
seperti makan ubat dan berehat, seseorang itu disarankan untuk berjumpa
doktor.
“Biasanya, doktor akan menjalankan diagnosis berdasarkan sejarah
pesakit dengan mengambil kira faktor usia, rekod kecederaan akibat
terjatuh atau mengangkat benda berat. Doktor juga perlu mengetahui
bahagian yang sakit dan kebarangkalian kesakitan tersebut berpindah ke
punggung, paha atau ke kaki sepenuhnya.
“Ia memberikan gambaran kepada doktor dan daripada situ doktor akan
melakukan beberapa ujian ringkas ke atas pesakit seperti SLR (straight
leg raising),” ujarnya.
Ujian SLR dilakukan dengan mengangkat kaki pesakit tanpa
membengkokkan lutut. Jika rasa sakit seseorang pesakit itu bertambah, ia
menunjukkan berlaku tekanan pada saraf tulang belakang.
Secara am, 90 peratus sakit belakang boleh dirawat secara
konservatif, iaitu dengan ubat dan fisioterapi tanpa sebarang prosedur
invasif yang memerlukan suntikan dan pembedahan.
Rawatan
Joseph memberitahu, doktor sentiasa cuba untuk memberikan ubat dan
rawatan fisioterapi terlebih dahulu bagi melegakan kesakitan yang
dialami pesakit. Pada masa yang sama memantau perkembangan mereka.
“Jika kesakitan berlarutan melebihi enam minggu walaupun diberikan
rawatan, maka prosedur invasif dilakukan. Namun, kadang kala rawatan
invasif perlu lebih awal sekiranya kesakitan keterlaluan.
“Walaupun kita sudah mengeluarkan bonjolan cakera yang menekan saraf,
cakera tersebut tidak seperti cakera normal dan dianggap sedikit lemah
berbanding disc yang lain,” jelasnya sambil memberitahu senaman boleh
mengelakkan cakera tergelincir daripada berlaku kerana berat badan
ditampung oleh otot dan tulang.
Senaman yang betul boleh membuatkan otot belakang menjadi kuat dan
mereka yang selalu bersenam kurang mengalami masalah tersebut.
Walau apapun, Joseph menasihatkan orang ramai yang mengalami sakit belakang yang berterusan agar merujuk kepada doktor.
“Kita pasti tidak mahu terlepas pandang sesuatu yang mungkin
berbahaya seperti jangkitan kuman pada tulang belakang, barah tulang
atau sakit buah pinggang.
“Bukan semua sakit belakang disebabkan masalah pada tulang. Kita
perlu tahu puncanya lebih-lebih lagi apabila berlaku simptom-simptom
sistemik seperti penurunan berat badan, kurang selera makan, sentiasa
letih dan demam.
No comments:
Post a Comment