Sunday, April 7, 2013

SOAL JAWAB PERUBATAN QL-QURAN BERSAMA HJ. LOKMAN ABD HAMID



Soalan


Nama saya Puan Roqaiyah dari Umbai, Melaka. Saya berumur 45 tahun. Sejak lima tahun yang lepas, saya mengalami sakit kronik di sendi-sendi badan, sakit kepala dan pinggang, serta susah tidur malam dan cepat marah. Saya sudah mendapatkan rawatan di hospital.  Selepas pelbagai ujian dan pemeriksaan dilakukan, termasuk menjalani MRI dan ujian darah, doktor masih tidak dapat mengenal pasti punca penyakit saya. Adakah simptom yang saya lalui ini adalah disebabkan oleh gangguan? Apakah perbezaan diantara penyakit gangguan saka dan gangguan sihir? Bolehkah Tuan Haji Lokman berikan ayat-ayat yang boleh saya amalkan untuk mengubati sakit gangguan ini.


Jawapan:


Terima kasih kepada Puan Roqaiyah di atas soalan tersebut.  Puan, sebelum saya bercerita lebih jauh, eloklah kita tahu dahulu, apakah yang dimaksudkan dengan gangguan ini. Ya, secara umumnya, sememangnya penyakit gangguan terbahagi kepada dua iaitu gangguan saka dan gangguan sihir. Persamaannya, kedua-dua gangguan ini adalah perbuatan khurafat dan khianat untuk menghancurkan manusia melalui ilmu-ilmu yang sesat dan menggunakan khidmat golongan jin.  Namun, perbezaannya adalah, gangguan saka adalah yang diwarisi daripada keturunan, manakala gangguan sihir termasuklah racun santau, ilmu pelalau, ilmu pemisah dan sebagainya adalah yang dihantar melalui jin oleh seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan khianat. Al-Quran memperakui adanya jin-jin.  Terangkum dalam golongan jin adalah iblis dan syaitan.  Malah Al-Quran sendiri menyatakan Allah s.w.t.  menjadikan jin lebih awal daripada Nabi Adam.  Gangguan jin-jin terhadap manusia adalah suatu hakikat yang tidak dapat kita nafikan.  Ilmu sihir adalah salah satu dari ilmu yang tertua di dunia.  Sejak zaman  nabi-nabi yang terdahulu seperti zaman Nabi Sulaiman dan Nabi Musa, ilmu sihir telah lama berleluasa.



Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah mengenai sihir pada zaman nabi-nabi terdahulu.  Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 102, maksudnya “..mereka membelakangkan kitab Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibaca oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan  Nabi Sulaiman,  pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya;  kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir”.

Jin dan iblis sangat  kreatif.    Mereka sentiasa mengubah suai kaedah dan teknologi sihir mengikut peredaran zaman dan masa.   Manusia hidup dalam dunia  serba serbi moden dan begitu juga teknik dan kaedah ilmu sihir.   Kita selalu memandang rendah “under estimate” keupayaan jin dan iblis dalam usaha mereka menyesatkan umat Nabi Muhammad s.a.w.  Manusia selalu leka dan selalu mengikut hawa nafsu untuk kejayaan dan mencapai matlamat duniawi, dan mereka sanggup menggunakan ilmu-ilmu sihir untuk kejayaan mereka.
Firman Allah dalam surah An Nisa’ ayat 120 “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.”.

Terdapat enam jenis punca gangguan yang disebabkan oleh jin dan iblis.  Pertamanya adalah perbuatan sihir.  Allah s.w.t.  menjadikan makhluk jin berkemampuan berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain dengan cepat kerana jasadnya yang halus.  Oleh kerana itu, mereka berupaya menyakiti manusia dengan memasuki kedalam tubuh manusia secara halus.
Sabda Rasulullah s.a.w :  “ Sesungguhnya Iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.”  (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan pengamal-pengamal sihir membela jin-jin dan menggunakan khidmat jin untuk melakukan sihir.  Si pengamal sihir akan mengarahkan jin-jin peliharaan mereka untuk memasuki tubuh badan manusia, dan menyebabkan kesakitan fizikal dan gangguan emosi serta fikiran.  Jin-jin yang diarahkan oleh tuannya akan berada di dalam tubuh mangsa itu sampailah mencapai matlamat yang dikehendaki.  Contohnya dalam sihir pemisah untuk suami isteri,  jin-jin itu akan berada di dalam tubuh pasangan suami isteri hinggalah tercapai matlamat si penyehir itu untuk memisah pasangan itu.   Jin-jin itu boleh berada di dalam tubuh mangsa bertahun-tahun lamanya dan jin-jin boleh beranak pinak dalam tubuh manusia dan bilangan mereka boleh mencapai puluhan dan ratusan.   Firman Allah dalam Surah Kahfi ayat 50, “Kaum Jin memiliki keturunan dan anak keturunannya beranak-pinak sebagai mana manusia beranak-pinak...”.
Walaubagaimanapun, biar sehebat manapun ilmu sihir seseorang itu, mereka masih lagi tidak mampu menandingi kuasa ALLAH.

Firman ALLAH di dalam Al Quran, surah Al Baqarah, ayat 102 : “...Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah...”

Malah, pastinya golongan pengamal sihir ini tidak akan terlepas dari hukuman daripada ALLAH s.w.t di atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya ilmu sihir sedikit pun tidak membawa keuntungan kepada mereka, melainkan dosa belaka.

Firman ALLAH s.w.t. lagi di dalam ayat yang sama,“...Dan mereka (Ahli Sihir) mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui...”
  
Yang kedua, gangguan jin juga boleh hadir melalui gangguan saka. Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit.  Pesakit akan mewarisi jin-jin itu secara turun termurun dan selalunya ia diwarisi melalui pertalian darah.  Ini secara tidak langsung bererti, nenek moyang atau salah seorang keturunan pesakit yang terdahulu, mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin, atau bantuan dari jin. Di dalam Al-Quran  turut menyentuh mengenai wujudnya golongan manusia yang berdamping dan mendapat bantuan daripada golongan jin.

Firman Allah swt di dalam Surah Al Jinn ayat 6 yang bermaksud,  “Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan daripada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan...”.

Golongan jin atau saka ini, akan berpindah kepada waris si pembela yang berikutnya apabila si pembela meninggal dunia tanpa sempat membuang ilmu tadi, atau membebaskan jin tersebut darinya.  Selain dari itu, terdapat juga kes yang mana si pembela sendiri yang mewarisi saka tersebut kepada waris pilihannya sebagai hadiah. Apabila perkara ini berlaku, si waris tadi berupaya melakukan sesuatu yang pernah dilakukan oleh moyangnya yang menurunkan saka dahulu, seperti menjadi bomoh atau pawang, tanpa pembelajaran atau kaedah yang seiring dengan syarak. Kadangkala, pesakit tidak mengetahui bahawa dirinya sedang didampingi oleh jin-jin saka ini. Malah, terdapat juga pesakit yang tidak mengetahui bahawa dia adalah pewaris saka keturunannya.  Terdapat juga ramai pesakit yang asalnya datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendapat rawatan sakit fizikal, contohnya peyakit darah tinggi dan urat saraf, tetapi apabila diperiksa,  penyakit fizikal tersebut rupanya berpunca daripada gangguan saka.  Dalam keadaan bergini,  gangguan saka di dalam badan pesakit mesti dikeluarkan terlebih dahulu sebelum rawatan untuk penyakit fizikal dapat dimulakan.

Ketiga, jin boleh menganggu seseorang manusia itu akibat dari kelemahan iman atau lemah ketahanan diri seseorang inidividu tersebut. Kekuatan iman dan ketahanan disini bukanlah bermaksud ketahanan fizikal. Namun ianya adalah ketahanan dan kekuatan roh. Roh yang sihat adalah seseorang yang sentiasa mengingati ALLAH, dan mengamalkan segala perintahnya. Ibadah wajib dan sunat serta amal kebajikan inilah yang menguatkan iman, dan mampu menjadi benteng pertahanan diri daripada gangguan jin-jin dalam kehidupan seharian. Sebaliknya, jika seseorang individu itu adalah golongan yang kerap melakukan dosa, terlibat dengan perbuatan maksiat dan lalai dari mengingati ALLAH, tidak melakukan ibadah-ibadah yang Allah perintah, maka jiwanya akan lemah, dan mudahlah untuk jin mendampingi dan menganggu golongan seperti ini.

Keempat, gangguan jin juga boleh terjadi akibat daripada amalan songsang seseorang yang memuja jin seperti membaca jampi serapah atau mentera. Ada kalanya perbuatan ini dilakukan secara sengaja.  Namun, ada kalannya juga amalan ini berlaku secara tidak sengaja, misalnya amalan-amalan ritual kebatinan yang berkaitan ilmu kebal, kecantikan (susuk)  atau berubat dengan pengamal perubatan tradisional yang menggunakan unsur-unsur yang meragukan dalam perubatan mereka.  Mereka mungkin menyangka ianya adalah sekadar ritual, tetapi sebenarnya kaedah yang dilakukan tersebut melibatkan pemujaan jin dan iblis.  Kita mesti sentiasa berwaspada kepada tipu muslihat jin dan iblis yang sentiasa kreatif dan pandai menipu dan mengaburi pemikiran manusia agar manusia terutama umat Nabi Muhammad s.a.w akan tersesat dari akidah Islam yang sebenar.

Untuk mengelakan daripada perkara-perkara yang diatas berlaku berleluasan, pada November 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pihak JAKIM telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam.  Dalam buku panduan ini mengandungi piawaian yang perlu dipatuhi oleh semua pengamal-pengamal perngubatan Islam.  Dengan tertubuhnya GAPPIMA, Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia pada Mac 2012, badan ini diwujudkan bagi memantau persatuan-persatuan dan pengamal-pengamal pengubatan Islam dan berfungsi untuk memertabatkan syariat Islam dalam bidang pengubatan Islam.
 
Usaha juga sedang dijalankan oleh GAPPIMA untuk menggubal Undang-Undang Sihir, tujuan untuk menjenayah perbuatan sihir.  Buat masa ini sihir tidak dianggap sebagai satu jenayah kerana tiada undang-undang di negara ini yang menghukum pengamal sihir atau orang-orang yang terlibat dalam kegiatan sihir.
Gangguan kelima yang berpunca dari jin adalah, gangguan terhadap pesakit terencat akal semenjak lahir. Kanak-kanak yang mengalami penyakit terencat akal kebiasaannya akan dinganggu oleh makhluk halus ini. Hal ini kerana daya ketahanan mereka lemah akibat daripada akal fikiran yang kurang sempurna.  Berdasarkan pengalaman saya sebagai perawat, ada kanak-kanak yang mengalami penyakit terencat akal seperti Sindrom Down, Autism dan Cerebral Palsy ini, terdapat gangguan jin di dalam tubuh badan mereka, terutamanya pada bahagian otak dan urat saraf.

Akhir sekali, gangguan dari jin juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit fizikal seperti angin ahmar (stroke), sakit buah pinggang (nephrotic syndrome) dan busung.  Punca-punca penyakit ini adalah kerana gangguan makhluk halus ini yang memasuki anggota badan pesakit dan menyerang organ-organ tertentu seperti otak, buah pinggang, urat saraf dan sebagainya.  Sebagai contoh pesakit angin ahmar, ada sejenis jin ahmar yang bertanggung jawab berlakunya pendarahan di dalam otak.

Apabila jin-jin ini memasuki ke dalam tubuh manusia, ia selalunya berada di dalam otak dan di tulang belakang (spinal cord) berdekatan dengan urat saraf (spinal nerves).  Malalui otak dan urat saraf  ini,  jin-jin ini dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit.  Oleh sebab itu kalau sesaorang itu mengidap sakit gangguan jin, saka atau sihir, fikiran dan emosi mereka terganggu, dan ini menyebabkan perasaan marah, rasa tertekan, hati tidak tenteram atau “anxiety level” mereka tinggi.  Apabila fikiran mereka terganggu ia akan mengakibatkan seseorang itu mendapat sakit tekanan  jiwa atau “depression”.   Malah pesakit tersebut mendakwa melihat benda yang pelik-pelik seperti lembaga yang menakutkan, tetapi ini adalah akibat halusinasi yang dipaparkan oleh jin-jin yang berada di dalam otak pesakit.  Selain dari itu, gangguan kepada urat saraf ini juga mengakibatkan rasa sakit kepada bahagian tubuh badan, sistem pernafasan terganggu dan debaran jantung yang tidak menentu. Terdapat kes-kes yang ekstrem di mana berlaku jenayah yang tidak berperikemanusiaan seperti pembunuhan yang disebabkan oleh pengaruh jin.  Ini semua adalah permainan jin dan iblis.

Bagi menjawab pertanyaan puan tadi, simptom-simptom pesakit yang mendapat gangguan jin, sihir atau saka ini berbeza-beza di antara pesakit dan jenis-jenis gangguan. Namun, simptom yang kerap dialami oleh rata-rata pesakit yang mengalami penyakit gangguan adalah seperti berikut :
  1. Sakit anggota badan
    • Sakit pada anggota badan tertentu seperti di tengkok, kepala, bahu, pinggang, tulang belakang. tulang belikat, sendi-sendi, tangan, kaki, rahim, dada, perut, tapak kaki dan sebagainya.  Sakitnya seperti dicucuk jarum atau bisa atau pun lengoh, atau panas pijar seperti terkena lada. Kadang kala kepala terasa dicengkam dan leher terasa dicekik.
    • Sakit menyeluruh daripada dua hujung kaki hingga ke kepala, kadang-kadang sakit itu berpindah atau manjalar dari setempat ke setempat, contohnya hari ini sakit di bahagian kaki dan esoknya sakit di bahagian bahu dan lengan.
    • Sakit di bahagian kepala - bisa dan pening. Ada pesakit merasa  keadaan mabuk dan tidak stabil (vertigo).
    • Perut kembung tanpa sebab dan diikuti dengan sesak nafas.
  2. Gangguan emosi iaitu rasa resah dan gelisah yang berpanjangan, tidak senang duduk atau berdiri, semua yang dilakukan tidak menjadi, rasa malas dan letih badan. Dada rasa sebak, berdebar-debar, dan rasa sedih atau rasa marah saling berganti tanpa sebab yang jelas.  Dalam istilah perubatan ini digelar sebagai "mood swing".
  3. Gangguan pemikiran iaitu fikiran bercelaru dan berserabut dan tidak focus. Rasa hilang kawalan diri (panic attack atau high anxiety level) pada waktu-waktu tertentu seperti ketika mesyuarat, atau berada di hadapan orang ramai.  Kadang-kadang pesakit akan merasa mengantuk yang berpanjangan walaupun sudah cukup tidur semalaman. Keadaan mengantuk ini akan mengganggu pesakit terutamanya  apabila pesakit hendak melakukan ibadah seperti solat, mangaji Al-Quran atau berzikir.
  4. Perasaan cepat marah tanpa sebab yang jelas. Melihat orang lain dengan pandangan yang tidak menyenangkan, seolah-olah dunia ini dirasakan begitu sempit. Pesakit akan merasa semua orang memandangnya dengan pandangan yang buruk.
  5. Pesakit rasa putus asa untuk hidup. Timbul rasa gelisah dan sedih berpanjangan. Tekanan jiwa yang berpanjangan mengakibatkan pesakit itu berada dalam keadaan kemurungan atau "depression".  Ada ketika timbul dorongan untuk membunuh diri sendiri (suicidal).
  6. Perasaan takut atau fobia seperti tidak boleh berada di khalayak ramai, tidak boleh menaiki kenderaan seperti kapal terbang atau kereta, atau tidak boleh menaiki lif di banggunan tinggi, tidak boleh bersendirian di dalam rumah atau bilik, takut untuk bersemuka dengan sahabat atau sesiapa sahaja.
  7. Gangguan tidur – susah untuk tidur lena, mimpi-mimpi yang menakutkan dan cemas, terjaga dari tidur di tengah malam disebabkan oleh mimpi-mimpi yang menakutkan (nightmare)
  8. Gangguan ketika beribadah iaitu ketika solat, membaca Al-Quran atau berzikir. Pesakit-pesakit kadang kala langsung tidak dapat mengingati doa-doa atau ayat Al-Quran yang dihafal. Kadang-kala pesakit tidak boleh mendengar azan atau bacaan ayat-ayat Al-Quran, dan apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran, badan pesakit merasa menggeletar dan timbul perasaan rasa pilu dan sedih.
  9. Suka mengelamun dan mengurung diri di dalam bilik, tidak peduli makan dan minum, pakaian dan kebersihan diri. Pesakit selalu bercakap bersendirian atau kelihatan bercakap dengan seseorang. Pada masa tertentu pesakit akan menjadi agresif dan berkelakuan ganas. Tabiat asalnya berubah.
  10. Pesakit dirasuk. Di sini jin atau syaitan/iblis akan menguasai pemikiran dan diri pesakit atau jin itu akan meresap ke dalam diri pesakit. Bila dirasuk, pesakit mengeluarkan suara yang lain daripada yang asal, dan berbicara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh tuan punya badan. Pesakit akan jadi agresif dan melawan sesiapa yang ada didepannya. Apabila sedar, pesakit tidak tahu apa yang telah berlaku keatas dirinya. Pernah saya berhadapan dengan seorang pesakit perempuan tua berumur tujuh puluhan apabila dirasuk, pesakit berbicara dengan bahasa Thai (Siam) dan kemudian bersilat ala Thai (tomoi).  Saya pernah mengubat seorang pesakit wanita muda tetapi bila dirasuk berubah menjadi seorang nenek kebayan tua, di mana riak wajah bertukar rupa seorang tua dan postur badan menjadi bongkok dalam sekelip mata.
  11. Reaksi atau tindak balas anggota badan pesakit apabila terkena gangguan jin atau sihir atau apabila dirasuk. Di antara reaksinya ialah perjalanan darah menjadi lebih laju atau menjadi tidak normal atau tekanan darah naik tanpa sebab, menggeletar kedua-dua belah tangan atau jari-jari, memejamkan mata bersangatan, menjerit atau menjadi marah, menangis, ketawa atau mengilai, mengadu sakit, menguap berulang kali, sendawa, atau mengeluarkan angin dari mulut seperti hendak muntah, terasa sesuatu yang berjalan didalam tubuh dan sakit bahagian perut atau rahim.
  12. Sihir untuk memisahkan suami-isteri.  Gangguan jin dan sihir juga boleh melemahkan atau memerangsangkan gelora nafsu dan tenaga batin suami isteri.  Ramai di kalangan suami isteri yang disihir atas tujuan meruntuhkan rumah tangga mereka.  Adakalanya suami isteri tidak boleh bersama untuk tempuh masa yang lama kerana nafsu mereka dan alat kelamin dikunci.  Pernah saya merawat pasangan suami isteri yang tidak pernah dapat bersama walaupun sudah berkahwin selama 12 tahun. Kadang kala apabila gelora nafsu dirangsang oleh jin-jin ini, menyebabkan seseorang itu terdorong melakukan kejahatan di luar ikhtiar diri, seperti berzina dan sebagainya.
  13. Bayi kecil yang mengalami sawan tangis. Sakit sawan tangis ini berpunca dari gangguan jin yang menyebabkan sakit di bahagian perut bayi. Kebiasaannya bayi akan mengalami kembung perut (colic pain) dan sakit yang teramat sangat. Kebiasaannya selepas dirawati dengan mengeluarkan jin dari badan bayi tersebut, perut kembung akan pulih seperti sediakala.
  14. Penderitaan dan halangan. Selain dari penderitaan fizikal tubuh badan seperti yang telah dijelaskan, gangguan jin dan sihir boleh menyebabkan pelbagai masalah di luar jangkaan, seperti pekerjaan atau perniagan yang tidak menjadi. Kedai makanan yang tidak dimasuki pelanggan, rasa benci atau tidak suka pergi ke tempat kerja, anak-anak yang rajin belajar tiba-tiba menjadi malas dan tidak berminat untuk pergi bersekolah dan seterusnya berhenti persekolahan. Semua usaha mencari rezeki terhalang. Ketika hendak bekerja, ada sahaja yang menghalang. Fikiran rasa sempit dan bingung dan tidak tahu menjalankan tugas. Tidak disenangi oleh kawan-kawan di tempat kerja manakala pegawai atasannya sering mencari-cari kesalahan. Sihir juga boleh menyebabkan hidup terpulau, dibenci oleh keluarga, ipar duai, mertua, adik beradik dan suami isteri.
Terdapat pelbagai lagi simptom-simptom lain bagi pesakit yang terkena gangguan. Namun simptom-simptom yang dinyatakan tadi adalah yang paling dominan dirasakan oleh pesakit gangguan umumnya. Sekiranya simptom-simptom yang saya sebutkan di atas sedang atau pernah dialami oleh pembaca, maka wajarlah berikhtiar untuk berubat.

Ayat-ayat Quran yang menjadi penawar untuk gangguan saka dan sihir adalah :

  • Surah Ar-ra’d : ayat 30 hingga 43.
  • Surah Al Baqarah : ayat 1 hingga 25 & ayat 244 hingga 255
  • Surah Al Mukminun : ayat 105 hingga 118.
  • Surah Fussilat : ayat 25 hingga 44.
  • Surah Furqan : ayat 61 hingga 77.

No comments: