Soalan
NENEK saya berusia 70 tahun. Dia tidak mengalami
penyakit kronik. Dalam beberapa bulan kebelakangan, beliau perasan ada
ketulan keluar dari faraj. Mulanya kecil dan jika dia berbaring ketulan
tersebut hilang. Ketulan ini lebih ketara semasa mencangkung untuk buang
air besar tetapi tidak sakit. Masalahnya, kadang-kala dia berasa tidak
selesa atau ngilu pada bahagian belakang. Mulanya, dia berasa amat malu
untuk memberitahu kami masalah yang dialaminya. Dalam seminggu dua ini,
ketulan tersebut tidak masuk semula ke dalam faraj. Ini membuatkan nenek
berasa tidak selesa sebab ketulan itu berada di antara celah peha. Dia
perasan ada sedikit tompokan darah di seluar dalam.
Nenek saya amat risau. Apakah masalah yang dialami oleh nenek saya
dan bagaimana untuk merawat? Mohon Doktor bantu kami.
Terima kasih
Intan, Johor
Jawapan
Terima kasih kepada yang bertanya. Usah gusar, masalah ini adalah
agak biasa berlaku dalam kalangan warga emas lanjut usia. Ini dikenali
sebagai prolaps rahim.
Prolaps rahim adalah satu keadaan rahim jatuh ke bawah dan kadangkala
terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh
ligamen dan otot yang memegang rahim pada kedudukan asal menjadi lemah
akibat dari kehamilan dan proses kelahiran lepas. Oleh itu, rahim
seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj.
Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, di peringkat awal hanya
jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua di mana pintu
rahim (cervical os) jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat
ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar
daripada saluran dan permukaan faraj (satu keadaan yang biasa digelar
'tombong').
Akibat kesan kekenduran faraj dan otot rahim, seseorang wanita akan
mengalami masalah sistem urinari, hubungan seks, ketidakselesaan dan
sakit pinggang dan masalah kesihatan lain.
Masalah sistem urinariRamai wanita mengalami masalah
kekenduran rahim atau prolaps akan mengalami masalah sistem urinari
seperti kerap kencing, sukar hendak mula kencing. Masalah yang ketara
sekali ialah sukar mengawal kencing khususnya apabila terbatuk, bersin
atau perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti
ketawa berdekah-dekah, semput dan ketika hendak berdiri daripada sujud
ketika sembahyang, maka air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa
dikawal. Keadaan ini digelar stress incontincence. Masalah begini
sudah tentu mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam
menjalankan amal ibadat seperti sembahyang.
FaktorDalam kes prolaps rahim yang teruk
atau peringkat ketiga di mana keseluruhan rahim terkeluar, seringkali
pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka seperti mana
yang berlaku pada nenek anda. Luka ini seringkali dijangkiti kuman
menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak.
Terdapat beberapa faktor meningkatkan risiko prolaps rahim iaitu
faktor baka, tidak mengamalkan senaman, kehamilan dan kelahiran,
golongan wanita di fasa menopaus dan juga jika seseorang wanita
menghidap ketumbuhan dalam rahim.
Bagi sesetengah wanita yang melahirkan anak di rumah yang mengalami
koyakan semasa melahirkan anak tetapi tidak dijahit, ini merupakan salah
satu faktor yang menimbulkan kelemahan atau kekenduran otot rahim.
Kelahiran yang memakan masa lama atau kelahiran yang sukar dan
memerlukan ibu meneran dengan kuat dan begitu lama, kelahiran yang
memerlukan kegunaan alat seperti vakum atau forseps adalah faktor-faktor
yang mungkin menyumbangkan kepada berlakunya prolaps di kemudian hari.
Prolaps yang teruk sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur
60 tahun ke atas akibat daripada kekurangan hormon ekoran daripada
menopaus. Kegunaan hormon sebagai rawatan menopaus nyata dapat
mengurangkan berlakunya prolaps.
Bagi wanita 40-an yang mengalami tumbuhan seperti fibroid yang tidak
menimbulkan masalah lain seperti pendarahan atau kesakitan, mereka
mempunyai risiko berlakunya prolaps kerana tumbuhan fibroid boleh
mengakibatkan tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah.
Terdapat pelbagai kaedah untuk merawat prolaps sama ada melalui
pembedahan atau menggunakan pesari bagi menyendal prolaps. Pembedahan
juga kadang-kala dilakukan ke atas wanita yang tidak dapat mengawal
kencing. Biasanya ini dilakukan bersama dengan 'vaginal repair'.
RawatanBagi wanita yang berumur dan mengalami
masalah prolaps yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan (kerana
tidak sesuai menerima bius), pesakit boleh menggunakan satu alat yang
dimasukkan ke dalam faraj. Alat ini digelar dengan nama 'Ring pessary'.
Alat ini boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang
menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah
jangkitan kuman. Biasanya, pemeriksaan dan penukaran pesari perlu
dilakukan antara tiga hingga empat bulan sekali. Diharap penjelasan yang
diberikan dapat membantu anda sekeluarga.
Bawalah nenek anda berjumpa doktor dengan kadar segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan yang sesuai.
No comments:
Post a Comment