Sunday, April 7, 2013

HIDUP MUSNAH KERANA SUAMI

KEPUTUSAN Nur Isma (bukan nama sebenar) memeluk Islam sejak lima tahun lalu ketika menetap di negeri Bawah Bayu, tidak pernah dikesali, malah jalan yang dipilih tersebut merupakan satu rahmat bagi dirinya.

Malah, perkahwinannya selepas beberapa bulan memeluk Islam dengan jejaka pilihan hati membuatkan hidup terasa lebih indah dan tenang.

Namun, kebahagiaan itu hanya sementara kerana apabila memasuki usia setahun, perkahwinan yang dibina menghadapi badai menyebabkan rumah tangga mereka bergolak.

Tambahnya, walaupun dia merupakan saudara baru yang sedang mengenali Islam, tetapi tanggungjawab Amran (bukan nama sebenar) untuk membimbing mengenali Islam lebih mendalam tidak pernah dijalankan.

“Dia tidak pernah mengajar saya untuk solat, apatah lagi berkaitan dengan hukum halal dan haram dalam Islam. 

“Ketika itu, saya rasakan Islam saya hanya sekadar atas nama sahaja," kata Nur Isma.

Bercerita lanjut kisah duka hidupnya sebagai isteri seorang penagih dadah dan peminum arak, sepanjang perkenalannya dengan Amran selama dua tahun dia tidak pernah mengesyaki lelaki itu adalah seorang penagih dadah.


“Mengenalinya sebelum kami berdua disatukan, saya sangat menyenangi sikap Amran yang bertanggungjawab dan penuh dengan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi.

“Namun, itu semua lakonan semata-mata kerana selepas setahun berkahwin Amran bukanlah seperti lelaki yang saya kenali dahulu.

“Dalam diam dan tanpa pengetahuan saya, Amran rupanya adalah seorang penagih dadah dan sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk kerana mengambil minuman keras .

“Jika kesempitan wang untuk membeli bekalan dadah, saya menjadi mangsanya. Segala duit yang ada pada saya akan dirampas. Jika saya tidak dapat memberinya wang, saya akan dipukul dan ditampar tanpa belas kasihan.

“Dalam pada itu, ketagihan pada minuman keras juga semakin menjadi-jadi menyebabkan semua wangnya habis dibelanjakan untuk memenuhi kehendaknya itu," katanya.

Ujar Nur Isma lagi, Amran hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami memberikan nafkah pada awal perkahwinan sahaja.

Lelaki yang diharap dapat menjadi pelindung dan teman ketika meniti usia tua itu rupanya telah memusnahkan hidup dan masa depannya.

“Saya tidak meminta lebih daripadanya kerana saya tahu gaji seorang buruh kontrak tidak selumayan mana. Namun, lama-kelamaan Amran semakin lupa tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. 

“Nasib baik saya juga bekerja sebagai juru jual di sebuah pasar raya yang terletak berhampiran rumah. Gaji saya habis digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah dan membayar bil-bil yang berkaitan," katanya.

Selepas setahun lebih berkahwin, akhirnya mereka dikhabarkan dengan berita gembira apabila Nur Isma disahkan mengandung setelah sekian lama menunggu.

“Saya harapkan berita gembira kami bakal mendapat zuriat akan memberi perubahan pada Amran tetapi sebaliknya pula yang berlaku kerana ketagihan pada dadah dan arak semakin menjadi-jadi.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila usia kandungan mencecah lima bulan, saya telah dipukul dan diterajang oleh Amran kerana berlaku salah faham yang kecil. Mujur kandungan selamat, hanya bahagian badan sahaja yang lebam-lebam," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh tersebut dia terpaksa bersabar kerana mengenangkan anak dalam kandungan dan sayang pada suami yang tidak pernah berkurang.

Selepas melahirkan anak sulung, ternyata Amran masih dengan sikap lamanya, malah langsung tidak menghiraukan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

“Kerana tidak tahan dengan keadaan tersebut dan seringkali dipaksa untuk memberikannya wang bagi membeli dadah, saya mengambil keputusan membawa diri ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat memulakan hidup baru di sana.
“Sementara itu anak perempuan kami, saya tinggalkan buat sementara waktu di bawah jagaan ibu mentua di kampung," katanya.
Tambahnya, di Kuala Lumpur, Nur Isma bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel.
“Namun, pemergian saya ke Kuala Lumpur secara senyap diketahui suami dan dia berjaya menjejaki saya.
“Kedatangannya ke sini menyebabkan hidup saya kembali terganggu kerana kerana bukan sahaja terpaksa membenarkan Amran berteduh di bilik yang disewa, malah dia tetap tidak berubah meminta wang daripada saya.
“Kerana tidak tahan dengan sikapnya dan tidak sanggup lagi menanggung beban, akhirnya saya mengambil keputusan memfailkan perceraiaan di pejabat agama.
“Buat masa ini saya masih menunggu keputusan dari mahkamah. Saya sangat berharap kehidupan saya kembali bermakna selepas perceraian ini," katanya mengakhiri bicara.

No comments: