PENGALAMAN kehilangan kaki sama ada akibat penyakit diabetes atau
kemalangan pasti meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan. Seorang
pesara sebuah syarikat percetakan di ibu negara, Azmir Abu Bakar, 57,
tidak pernah menyangka kakinya terpaksa dipotong pada tahun pertama
persaraannya tahun lalu.
“Luka itu bermula di jari kaki kanan saya dan ia merebak begitu
pantas. Dalam tempoh beberapa minggu ia sudah bernanah dan membusuk,”
kata Azmir yang kini kudung kaki hingga ke paras lutut.
Pembedahan membuang kaki itu dilakukan November lalu iaitu 12 tahun selepas Azmir dikesan menghidap diabetes.
Ketiadaan sebelah kaki sahaja pun bagaikan telah merentap separuh daripada kehidupan Azmir.
“Cuba bayangkan anda yang dahulu aktif bersukan tiba-tiba kehilangan
kaki. Malah, pekerjaan saya sebagai pemandu juga menuntut penggunaan
kaki untuk menekan pedal minyak dan brek,” beritahu penggemar nasi lemak
dan teh tarik kaw ini.
Kini, Azmir tidak lagi berani memandu. “Kalau nak pergi ke hospital
atau pasar, saya akan minta anak saya hantar atau naik teksi sahaja.
Pergerakan di dalam rumah juga terbatas. Selain isteri, kerusi roda
adalah peneman setia saya sekarang,” ujarnya.
Penyakit diabetes yang dihidap Azmir bermula dengan simptom yang sering diambil mudah oleh kebanyakan orang.
“Saya sentiasa berasa haus dan kerap buang air kecil tanpa sebab,”
kenang Azmir yang masih mengingati amaran seorang doktor bahawa kakinya
berisiko dipotong jika beliau tidak menjaga pemakanan dan malas
bersenam.
Beliau yang menyukai makanan manis dan berlemak termasuk air
berkarbonat kini terpaksa mengambil suntikan insulin dua kali sehari
sebelum disusuli ubat kapsul.
“Insulin ini bertujuan mengawal gula dalam darah,” ujar Azmir yang
bersyukur mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada isterinya,
Amidah Baharom, 53.
Sebenarnya, Amidah juga merupakan pesakit diabetes yang sudah kehilangan tiga jari kaki kanan.
“Adakalanya suami saya suka makan makanan berlauk atau teh tarik,
tetapi saya akan kurangkan makanan yang mengandungi gula dan lemak.
“Dia juga selalu mengadu berasa bosan kerana duduk sahaja di rumah.
Tetapi dia masih boleh melakukan kerja ringan seperti melipat pakaian
atau membersihkan kabinet televisyen dan sofa,” cerita Amidah yang
menunggu kaki palsu bernilai RM4,300 untuk suaminya itu.
Luka
Bagi P. Selvaraju, 58, dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur,
kehidupannya sudah berakhir apabila kedua-dua kakinya dipotong.
Segalanya bermula selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan
raya di Petaling Jaya pada tahun 2004.
“Kaki saya bengkak selama beberapa bulan. Selepas mengetahui saya
menghidap kencing manis, saya lebih banyak makan sayur-sayuran.
“Malangnya, saluran darah kaki kanan saya tersumbat dan dijangkiti
kuman serta bernanah. Ia dipotong pada hujung tahun berkenaan,” kata
bekas kakitangan Universiti Malaya itu. Pada tahun 2009, beliau
kehilangan kaki kiri pula akibat masalah yang sama.
Azmir dan Selvaraju adalah antara 5.6 juta pesakit diabetes di negara
ini. Daripada jumlah itu, 1.4 juta mengalami komplikasi kaki yang
serius, kata Koordinator Jawatankuasa Penjagaan Luka, Hospital Kuala
Lumpur, Dr. Harikrishna K.R. Nair.
“Malaysia mempunyai ramai pesakit diabetes berbanding 28 juta
penduduknya. Implikasi penyakit itu mengundang kepada penambahan
komplikasi kaki yang turut dipengaruhi oleh faktor pengambilan makanan
seperti nasi dan gula yang tidak terkawal,” ujarnya baru-baru ini.
Secara umum, pesakit diabetes berisiko mendapat penyakit kaki
diabetik. Penyakit itu menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan senang
merekah, kurang atau hilang bulu, peningkatan pigmentasi pada kulit dan
juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.
Diabetes juga menyebabkan seseorang tidak menyedari kerosakan pada
kakinya seperti luka, pecah ataupun berkudis (ulser). Masalah oksigen
yang tidak sampai pula membuatkan luka kaki terbabit lambat sembuh atau
bernanah hingga terpaksa dipotong.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pusrawi, Dr. M. Ismail
Maulut, komplikasi kaki sama ada disebabkan kemalangan atau penyakit
diabetes mempengaruhi kehidupan pesakit pada masa akan datang.
“Pihak hospital akan mempertimbangkan dua perkara sebelum membuat
keputusan untuk memotong kaki pesakit, iaitu penyakit metabolik atau
diabetes dan kecederaan teruk akibat kemalangan sehingga tulang mangsa
hancur.
“Ketumbuhan atau kecederaan pada kaki di samping masalah saluran darah tersumbat turut menyumbang kepada komplikasi kaki.
Gergaji
“Selain itu, kes kongenital kaki iaitu kecacatan sejak lahir atau
jangkitan sehingga tisu yang mati bertukar hitam juga menjadi punca
amputasi atau pemotongan kaki dilakukan,” terang beliau.
Menurut Ismail, pemotongan kaki tidak dibuat secara sesuka hati
sebaliknya keadaan pesakit akan diteliti terlebih dahulu. Ini termasuk
menjalankan ujian angiografi untuk mengetahui sama ada saluran darah
kaki tersumbat atau tidak.
“Selalunya pesakit akan meminta jari mereka sahaja yang dipotong.
Namun, kami akan mencadangkan supaya mereka memotong ke tahap yang lebih
selamat iaitu di paras lutut kerana nanah boleh merebak dengan pantas
ke bahagian itu,” hujahnya yang mengakui sebahagian pesakit takut untuk
membuang kaki mereka.
Bagaimanapun, katanya, doktor akan melakukan pemotongan seberapa
minimum yang boleh supaya kecacatan anggota badan pesakit dapat
dikurangkan.
Ismail menambah, nanah pada kaki yang luka boleh merebak walaupun
telah dicuci berulang kali manakala darah yang tercemar dengan kuman
mampu mengakibatkan kematian.
“Terdapat kes pesakit yang mengalami komplikasi kaki datang
mendapatkan rawatan dalam keadaan kaki mereka sudah bernanah hingga ke
lutut.
“Namun, ia berjaya dibuang dan luka itu dibersihkan sebelum kesan
luka pembedahan itu ditampal dengan kulit yang diambil daripada paha
pesakit,” ujarnya lagi yang kesal dengan sikap orang ramai yang tidak
serius dalam menangani masalah diabetes.
Ismail berkata, gergaji khas diperlukan untuk memotong kaki yang
sakit. Selepas kaki dipotong, pesakit dikehendaki mendapatkan rawatan
susulan selama satu hingga dua bulan.
“Pesakit kemudian dirujuk semula kepada doktor pakar bagi mengawal
kandungan gula dalam darah,” katanya sambil memberitahu, kaki yang
dipotong itu disimpan untuk eksperimen pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment