Saturday, May 11, 2013

KRISIS USIA 40 - 65 TAHUN

PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun.
Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi.

Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.

Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.

Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.

Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas.

Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula ada yang telah meninggal dunia.

Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan.


Mereka yang gagal melalui tempoh midlife ini akan menunjukkan perubahan tingkah laku dan emosi. Perubahan ini boleh berlaku dalam tempoh yang singkat daripada seorang penyabar kepada panas baran, penyayang kepada tidak bertanggungjawab atau ceria kepada pendiam.

Ada juga yang mengalami kemurungan dan hidup dalam penafian. Mereka mula mencuba tabiat baru seperti merokok, berjudi, mengambil alkohol atau menyalahgunakan dadah.

Perbalahan suami isteri dan keganasan rumah tangga kadangkala berakhir dengan perceraian. Ada yang menukar isteri kepada yang lebih muda dan jelita untuk memenuhi tuntutan jiwa muda.

Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah zaman tersebut.

Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses penuaan.

Apa yang perlu anda buat?Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau.

Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan proses membaik pulih.

Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan meluangkan lebih banyak masa bersama.

Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah sesuai dengan usia.

Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid dan surau.

Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang.

Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal, menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang. Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut.

Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton komedi.

Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda menikmati pemandangan indah

Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: