|
IBU mana yang tidak sayu dan sedih apabila dikhabarkan buah hati
pengarang jantungnya menghidap penyakit leukemia. Itulah hakikat yang
perlu diterima oleh Azlina Abdul Aziz, 38, ketika diberitahu doktor
bahawa anak sulungnya, Nur Sarah Alia Afizi, sembilan, didiagnosis
positif Leukemia Limfoblastik Akut (ALL).
ALL adalah sejenis leukemia atau kanser sel darah putih yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.
Malignan, sel-sel darah putih tidak matang terus berganda dan dihasilkan secara berlebihan di dalam sumsum tulang.
ALL menyebabkan kerosakan dan kematian akibat jumlahnya lebih banyak
daripada sel-sel normal di dalam sumsum tulang dengan sebaran ke
organ-organ lain.
“Segalanya bermula apabila anak saya demam berpanjangan lebih
daripada seminggu. Suhu badannya tidak terlalu panas iaitu sekitar 37.5
darjah Celcius sahaja dan muncul kesan lebam-lebam di badannya.
“Apabila dibawa ke hospital untuk melakukan ujian darah pengesahan
denggi, saya terkejut kerana hasil ujian tersebut negatif denggi tetapi
positif leukemia,” kata ibu kepada dua anak itu.
Kemoterapi
Sejak didiagnosis menghidap ALL pada 16 April lalu, Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) sudah menjadi rumah kedua bagi dua beranak
tersebut.
Sudah menjalani kemoterapi sebanyak empat kali, Azlina perlu kuat
memberi semangat, sokongan dan sentiasa berada di samping anak
perempuannya yang perlu menjalani rawatan selama dua tahun.
Rawatan selama dua tahun itu merangkumi rawatan intensif selama enam bulan dan rawatan tidak intensif dalam tempoh 18 bulan.
“Pada mulanya saya memang terkejut dan semestinya sedih, tetapi
jururawat berpesan kepada saya supaya jangan sekali-kali menangis di
depan anak.
“Kita perlu tabah depan anak kerana dia memerlukan kekuatan untuk
melalui rawatan setiap hari,” ujar Azlina sambil memberitahu, anaknya
perlu menjalani pemindahan sumsum tulang selain perlu mengambil ubat
setiap hari dengan belanja lebih RM7,000 sebulan.
Ketika ditanya bagaimana penerimaan Nur Sarah Alia apabila mengetahui
dirinya menghidap leukemia, Azlina memberitahu seorang doktor telah
memberikan sebuah buku cerita mengenai kanser kepada anaknya itu.
Jadi, anak sulungnya itu tahu perubahan diri yang sedang dilaluinya,
malah Nur Sarah Alia pernah bertanya kepada Azlina bila rambutnya akan
luruh.
Pusat Kanser PPUM
Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik, Haematologi dan Onkologi
PPUM, Profesor Hany Ariffin memberitahu, PPUM merupakan pusat kanser
kedua terbesar untuk kanak-kanak di Malaysia selepas Hospital Kuala
Lumpur.
Setiap tahun PPUM menerima 120 hingga 150 kes baharu leukemia dari
seluruh Malaysia dengan 40 peratus daripada pesakit adalah dari luar
Kuala Lumpur.
“Anak-anak ini mampu memberikan respons yang baik terhadap rawatan.
Contohnya pesakit leukemia mempunyai 85 peratus untuk sembuh dan
membesar menjadi orang dewasa yang normal.
“Secara umumnya, kanak-kanak yang menghidap kanser mempunyai peratus
yang tinggi untuk pulih berbanding orang dewasa,” katanya sambil
memberitahu kanser darah merupakan kanser yang paling biasa menyerang
kanak-kanak.
Ujarnya, maksud sembuh adalah mereka boleh baik sampai bila-bila,
namun tidak dinafikan ia boleh datang kembali tetapi peratusnya adalah
nipis.
Hany memberitahu, pesakit yang paling muda didiagnosis olehnya
berusia enam minggu, bagaimanapun di peringkat global pesakit leukemia
biasanya berusia antara umur dua hingga lima tahun.
“Lelaki lebih tinggi sedikit menghidap leukemia mahupun kanser-kanser yang lain berbanding wanita dengan nisbah 1.2:1.
“Apa puncanya tidak pasti. Ada yang mengatakan jangkitan virus, malah
ada pula mengatakan ia ada kaitan dengan persekitaran,” jelasnya
sambil menambah, leukemia boleh terjadi sebaik sahaja bayi dilahirkan
dan ia boleh dikesan melalui ujian darah.
Leukemia tiada kaitan dengan pemakanan. Ia tiada penyebab, tetapi
sesuatu telah berlaku hingga menyebabkan perkembangan sel darah tidak
terkawal seperti yang sepatutnya.
Kos rawatan leukemia di hospital swasta boleh mencecah antara
RM100,000 hingga RM120,000, namun di hospital kerajaan kosnya jauh lebih
murah iaitu sekitar RM10,000 hingga RM15,000.
“Bagi keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah, jumlah tersebut masih tinggi serta berada di luar kemampuan mereka.
“Boleh dikatakan dua per tiga daripada pesakit kami terdiri daripada
golongan kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan sudah memberikan subsidi
rawatan, masih ada bayaran lain yang perlu ditanggung seperti kos
pengangkutan dan penginapan di hospital,” katanya yang mengakui tempoh
rawatan biasanya mengambil masa antara enam bulan hingga setahun.
Inisiatif JCIPJ
Bagi meringankan beban pesakit, Junior Chamber International Petaling
Jaya (JCIPJ) tampil membantu mengumpul dana bagi tujuan tersebut.
“Terima kasih kepada JCIPJ atas bantuan dana yang diberikan. Dana
tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan pesakit dan ia akan
dikeluarkan jika ada pesakit memerlukan bantuan tersebut.
“Walaupun kita lebih merujuk kepada leukemia, dana ini terbuka buat semua kanak-kanak yang menghidap kanser,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment