Friday, May 17, 2013

MERAWAT BATU HEMPEDU

UMUM mengetahui bahawa apa juga jenis penyakit serius yang dihidapi sememangnya ada impak tersendiri terutama kepada penghidapnya.

Selain memberi masalah yang cukup besar sehingga menjejaskan kehidupan harian dan produktiviti penghidapnya termasuklah kaum keluarga, ia juga boleh memberi kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

Penyakit batu hempedu, meskipun agak jarang didengari, namun ia juga tidak terkecuali meninggalkan kesan tersendiri.

Pakar Bedah Hati dan Hempedu, Datuk Dr. Haron Ahmad berkata, batu hempedu merupakan sejenis penyakit abdomen yang kronik.

Menurut beliau masalah yang sering dihidapi oleh wanita bertubuh gemuk sebenarnya boleh menimbulkan komplikasi serius jika dibiarkan tanpa rawatan.

``Ini termasuklah radang pundi hempedu, radang saluran hempedu, penyakit kuning, hati bernanah dan yang paling serius boleh menyebabkan kanser pundi hempedu walaupun insidennya kecil,'' jelasnya.

Tambah beliau, meskipun jarang kedengaran penyakit ini dibincangkan secara meluas berbanding diabetes, jantung, hipertensi dan sebagainya, namun ia juga boleh mengganggu keharmonian sesebuah keluarga dan meninggalkan kesan pada ekonomi negara secara tidak langsung.

``Hasil tinjauan mendapati pesakit yang tidak dapat bekerja, selalu berjumpa doktor dan kerap dimasukkan ke hospital untuk dirawat, sekali gus menyebabkan produktiviti mereka menurun.



``Pesakit selalu terganggu dan tidak dapat melakukan aktiviti hariannya dengan sempurna seperti tidak dapat bekerja dan sebagainya,'' katanya.

Di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, insiden penyakit ini menjangkau satu juta orang setahun.
Sebahagian daripada mereka perlu dibedah yang menelan belanja kira-kira $4 bilion setahun.

Sehubungan itu, kata beliau, mengenal pasti kewujudan batu dalam hempedu pada peringkat awal amat penting supaya pesakit mendapat rawatan segera.

Dr. Haron memberitahu, rawatan untuk masalah batu hempedu ini boleh dilakukan secara:
- Konservatif iaitu dengan memakan ubat

- Makan ubat disusuli dengan pembedahan

Menurut beliau, ubat-ubatan hanya digunakan untuk melarutkan batu hempedu yang kecil, iaitu kurang daripada satu sentimeter dan sebaiknya hanya sebiji saja.

Bagaimanapun pengubatan ini memerlukan jangka masa yang panjang, jelas beliau.

Jika rawatan ini dihentikan, batu ini akan terbentuk semula.

Biasanya, rawatan ini sesuai untuk batu jenis kolesterol.

Bagi mengelakkan masalah ini berulang, rawatan terbaik ialah pembedahan membuang pundi hempedu yang mengandungi batu hempedu.

``Rawatan pembedahan biasanya membabitkan batu pundi hempedu, batu pundi hempedu bersama batu saluran hempedu, batu yang tertinggal atau batu yang terbentuk semula di dalam saluran hempedu setelah pembedahan,'' katanya.

Namun, persoalan yang sering ditimbulkan oleh pesakit katanya, ialah sejauh manakah seseorang itu boleh meneruskan kehidupan tanpa pundi hempedu!

Menurut Dr. Haron, seseorang yang telah membuang pundi hempedu masih boleh menjalani kehidupan seperti individu normal lain.

Malah, katanya pembuangan pundi hempedu ini juga tidak menimbulkan sebarang kesan sampingan kepada pesakit tersebut.

``Fungsi sebenar pundi hempedu ialah untuk memekatkan cairan hempedu dan mengatur pengeluaran cairan hempedu untuk proses penghadaman,'' jelasnya.

Pembedahan ini dapat dilakukan secara biasa atau laparoskopik.

Pembedahan laparoskopik merupakan satu kaedah yang tidak meninggalkan kesan sakit yang lama kepada pesakit berbanding kaedah konvensional.

Malah, pesakit yang tidak berisiko tinggi boleh menjalani pembedahan laparoskopik kolesistektomi ini tanpa perlu tinggal lama di hospital.

Menurut Dr. Haron, bagi pesakit yang sudah berumur dan berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan mereka boleh dirawat dengan kaedah alternatif iaitu kaedah extracorporeal shockwave lithotripsy (ESWL).

``Melalui kaedah ini, batu hempedu akan dipecahkan dengan tembakan kuasa shockwave tanpa membedah pesakit.

``Bagaimanapun, batu ini boleh terbentuk semula selagi pesakit mempunyai pundi hempedu,'' jelasnya.
Menurut beliau, batu hempedu ini lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki iaitu 1:3.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna lelaki terkecuali daripada menghadapi masalah ini.

Sehingga kini, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui. Namun, terdapat faktor-faktor yang boleh menyumbangkannya seperti:

- Pemakanan yang mengandungi kolesterol yang tinggi

- Jangkitan kuman pada sistem saluran hempedu

- Penyakit-penyakit darah (hemolitik) seperti: 

a. Darah yang mudah pecah

b. Sickles sel anemia

c. G6PD

d. Penyakit-penyakit bersangkutan sistem pertahanan tubuh (auto-immune disease)

- Penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kadar kalsium yang tinggi dalam darah - hipertiroid

- Kegemukan

- Penyakit hati - sirosis hati

- Pundi hempedu yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat mengeluarkan cairan hempedu sepenuhnya dianggap sebagai penyebab.

- Ubat-ubatan untuk menguruskan badan boleh mengganggu keseimbangan cairan hempedu yang menyebabkan berlakunya pemendakan batu hempedu.

Kehadiran batu hempedu ini amat sukar dikesan kerana ia tidak menimbulkan gejala yang jelas.

Hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan hampir 50 peratus mayat mempunyai batu hempedu.

Daripada jumlah ini, hanya 10 peratus saja yang mengalami gejala-gejala yang disebabkan oleh batu hempedu.

- Sakit perut pada bahagian sebelah kanan atas yang tidak menentu seolah-olah seperti gastrik

- Sakit perut yang memulas hingga melarat ke tulang belikat

- Ada kalanya muntah-muntah apabila sakit menyerang pesakit

- Kekuningan mata (jaundis)

Jenis-jenis batu

- Pigmen (batu berwarna hitam atau coklat)

- Kolesterol seperti mutiara yang banyak ditemui pada pesakit-pesakit di negara Barat.

- Kalsium bilirubinat

- Batu campuran

Bagi masyarakat Asia, kebanyakan batu yang ditemui ialah kesemua jenis batu di atas kecuali batu kecil yang berwarna putih (kolesterol).

Kajian terhadap batu hempedu di kalangan pesakit di negara ini mendapati batu hempedu tersebut mengandungi banyak garam kalsium yang tinggi.

Pencegahan

Melihat kepada punca sebenar penyakit ini belum dapat dikenal pasti, maka usaha mencegahnya agak sukar.

Namun, individu terbabit seharusnya mengamalkan beberapa langkah seperti:

- Diet yang seimbang

- Melakukan senaman dapat menurunkan kadar mendapat batu hempedu

- Menurunkan berat badan secara perlahan-lahan

Komplikasi

- Radang pundi hempedu

- Jaundis

- Radang saluran hempedu

Dianggarkan, 10 peratus pesakit yang datang mengalami komplikasi radang pada pundi hempedu (acute cholecystitis).

Jika keadaan lebih teruk, pundi hempedu boleh bernanah dan boleh pecah.

Batu yang ditolak dan tersangkut ke dalam saluran hempedu boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit kuning (jaundis).

Sekiranya ia masuk pada hujung saluran pankreas, ia boleh menyebabkan radang pankreas (acute pankreatitis).

Batu yang tersangkut pada saluran hempedu boleh mengakibatkan hati bernanah.

Radang pundi hempedu boleh menjadi kronik.

Dalam jangka masa yang lama, ia boleh mengakibatkan kanser pada pundi hempedu.

1 comment:

Anonymous said...

Bagus!