APAKAH itu fibroid dan puncanya? Apakah ia merbahaya kepada bayi
dalam kandungan? Apakah rawatan bagi fibroid yang dihidapi semasa hamil?
* RM, Johor.
Jawapan:
Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang
mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Otot yang
membentuk rahim adalah daripada jenis yang dinamai otot licin. Fibroid
berasal daripada ketumbuhan yang terjadi pada otot tersebut. Oleh itu,
nama lain bagi fibroid ialah leiomioma. Pun begitu, fibroid boleh
tumbuh pada organ-organ lain yang mengandungi sel otot licin.
Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang
wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20
peratus wanita dalam lingkungan usia reproduktif, iaitu 30 hingga 40
tahun menghidap fibroid. Pada usia melebihi 35 tahun, kejadian fibroid
berlaku secara lebih kerap, iaitu menjangkau sebanyak 40 peratus.
Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia
subur (30 hingga 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang
berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/m², wanita yang
mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan juga dalam
kalangan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).
Pembesaran fibroid
Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, fibroid biasanya terdapat
dalam kalangan wanita pada usia subur. Oleh itu, tidak hairanlah fibroid
ditemui dalam kalangan wanita yang hamil. Kadang-kadang fibroid boleh
menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada
fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Kebanyakan
fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung
pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap
fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor
pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal
pertumbuhan fibroid tersebut.
Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang
menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70
peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa
hamil. Seramai 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid
dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga
disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang
tinggi ketika awal kehamilan.
Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid
ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang
menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun
fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar
kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran
anak. Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah
fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah?
Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala.
Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan
baik untuk membantu ibu tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa
hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang
mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami
perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.
Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin
berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami
keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran
fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang
banyak selepas melahirkan bayi.
Berisiko untuk mengalami keguguran
Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang
membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku,
fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi
penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang
mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga
akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin
tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan
keguguran.
Mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi
Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan
salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Bagi
mengelak perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan
ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.
Meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang
Janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada
masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada
di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala
bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut
mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang
sepatutnya.
Kelahiran yang tidak normal
Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah
rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan
fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal
seperti melintang atau songsang.
Rawatan
Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat
penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam
bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan
semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan
caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak
dilakukan pada masa yang sama.
Hal ini kerana perdarahan yang banyak mungkin akan berlaku ketika
pembedahan miomektomi. Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar
dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak
dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.
Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya,
sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Lazimnya saiz
fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon
kembali normal.
No comments:
Post a Comment