Sunday, May 19, 2013

LINDUNGI ANAK DARIPADA PENYAKIT


Pemberian vaksin secara meluas kepada anak dapat melindungi diri mereka daripada penyakit. - Gambar hiasan 
PENYAKIT berjangkit mengancam kesihatan individu di seluruh dunia dan merupakan penyebab utama kematian serta hilang upaya. Melalui langkah pencegahan efektif, sebenarnya beban penyakit- penyakit ini dapat dikurangkan.

Kajian juga menunjukkan setiap tahun, dianggarkan dua hingga tiga juta kematian dapat dielakkan melalui pemvaksinan.

Menyedari kepentingan menjaga kesihatan kanak-kanak, satu inisiatif pendidikan kesihatan yang bertemakan Penjagaan Kanak-kanak Secara Holistik, sebuah buku Mengapa Memberi Vaksin Dan Jenis Vaksin telah dilancarkan baru-baru ini.

Pelancaran buku ini bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit-penyakit yang lazim dialami kanak-kanak termasuklah rotavirus, penyakit pneumokokus, rubela dan hepatitis B.

Buku ini telah dilancarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Positive Parenting dan disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd. (GSK).

Inisiatif ini untuk mendidik ibu bapa berkenaan kepentingan perlindungan terhadap penyakit serius yang boleh menyebabkan penderitaan di kalangan kanak-kanak dan keluarga mereka.


Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, buku ini merupakan panduan bagi ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka.

Ia mengandungi maklumat berkenaan pelbagai penyakit kanak-kanak yang lazim, jenis dan manfaat pemvaksinan, jadual pemvaksinan serta soalan yang biasa diajukan berkenaan pemvaksinan.

"Pemvaksinan secara meluas telah membolehkan pengawalan dan pembasmian kebanyakan penyakit. Vaksin bukan hanya menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kesihatan, namun mengurangkan kos sosial dan kewangan bagi merawat penyakit.

"Proses dan kemudahan yang disediakan supaya kanak-kanak boleh menjalani pemvaksinan menunjukkan kepentingan mendapatkan perlindungan," katanya.

Tambah beliau, komponen utama bagi inisiatif pendidikan kesihatan ini ialah seminar keibubapaan bertajuk Penjagaan Keibubapaan.

"Seminar ini akan dijalankan di empat buah Klinik Kesihatan di bawah seliaan JKNS iaitu Klinik Kesihatan Botanic, Klinik Kesihatan Sungai Buloh, Klinik Kesihatan Hulu Langat danKlinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu.

"Topik perbincangan merangkumi isu pemakanan, perkembangan mental dan imunisasi untuk kanak-kanak. Sebagai tambahan, peserta akan menerima senaskah buku Mengapa Memberi Vaksin Dan Jenis Vaksin apabila menghadiri seminar ini," ujar Dr. Zulkifli.

Pengarah Perubatan, GSK Pharmaceutical Sdn Bhd, Dr. Nina Mohd. Said berkata, bagi memupuk kesedaran tentang imunisasi dan perlindungan bagi anak-anak, inisiatif-inisiatif lain telah dikenal pasti bagi mendidik masyarakat dan profesional jagaan kesihatan.

"Di antaranya termasuklah Seminar Kejururawatan yang bermula pada bulan Mac, di mana maklumat berkenaan pemvaksinan dan topik berkaitan kesihatan kanak-kanak telah dibentangkan kepada penyedia jagaan kesihatan ini.

"Seminar Kejururawatan kedua dijadualkan di Pantai Timur pada tahun ini. Selain itu, temu ramah media dan bengkel media juga dirancang bagi membantu menyebarkan maklumat berkenaan imunisasi kepada lebih ramai orang," katanya.

Ujarnya, GSK optimis dengan keupayaan inisiatif pendidikan kesihatan ini untuk memperbaiki kesejahteraan kanak-kanak. Inisiatif ini juga berperanan sebagai platform pendidikan penyakit untuk ibu bapa.

"GSK berharap ia akan menambah kepada kemudahan sedia ada Klinik Kesihatan untuk mendidik ibu bapa dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap penyakit-penyakit kanak-kanak yang lazim.

"Kami ingin mengambil kesempatan ke atas peluang dan sumber yang ada untuk melakukan sebanyak yang boleh agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Kami berharap ibu bapa dapat dididik berkenaan penyakit-penyakit kanak-kanak yang lazim seperti rotavirus dan penyakit pneumokokus melalui inisiatif ini," kata nya.

No comments: