Sunday, May 19, 2013

HIPNOSIS KURANGKAN STRES DIABETES


 
Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, Lennie Soo (kanan) menunjukkan cara menenangi stres kepada ahli Persatuan Diabetes Malaysia.
 
ANDA percaya kepada kuasa minda separa sedar yang mampu mengubah pandangan dan pemikiran seseorang individu dalam tempoh beberapa minit dan jam tertentu melalui kawalan minda yang dilakukan oleh orang lain?

Itulah yang bakal berlaku kepada individu yang sedang menjalani rawatan menggunakan kaedah hipnoterapi.
Namun, itu adalah kaedah konvensional yang dilakukan oleh pengamal hipnosis sejak dahulu lagi.

Berdasarkan kajian, kaedah hipnosis dipercayai telah dimulakan sejak tahun 1743 lagi oleh Dr. Franz Anton Mesmer. 

Menurut Business Forensic Psychologist, Fadzil (Ben) Mohd. Salleh, hipnosis ialah keadaan separa sedar yang membuatkan mental dan fizikal seseorang menjadi tenang hingga membantu dirinya membuat perubahan pada diri seperti yang dikehendaki.

“Semasa minda separa sedar sedang dikawal, manusia sedang berusaha untuk memulihkan diri mereka sendiri. Keadaan ini bergantung kepada tahap ketenangan yang mampu dicapai ketika itu," ujarnya sempena ceramah Hipnoterapi, Stres dan Diabetes anjuran Persatuan Diabetes Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia

Tambahnya lagi, kaedah hipnosis antara rawatan alternatif yang berkesan membantu pesakit menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dalam tempoh yang singkat.


Antara masalah yang boleh diselesaikan melalui rawatan dikenali sebagai hipnoterapi ialah stres yang melibatkan sesuatu perubahan dan tekanan yang berlaku ke atas diri dari segi mental, emosi dan fizikal kepada pesakit diabetes.

“Stres juga adalah keadaan tertekan dan tekanan yang memerlukan keputusan serta merta tetapi masih mencari jalan penyelesaian. 

“Antara stres yang kita sedia maklum ialah stres dengan masa silam, menumpang stres, stres yang akan datang, stres tanpa diduga dan stres yang dibuat serta yang berulang," katanya

Menurut Fadzil, seseorang yang berpenyakit seperti diabetes juga berisiko untuk mengalami stres. 

Sebahagian mereka sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk mengubati penyakit tersebut.

“Keadaan ini akan meningkatkan tahap tekanan sekali gus menyebabkan potensi kepada kehidupan yang tidak seimbang. 

“Perkaitan antara stres dan diabetes keduanya boleh membantu pesakit mengurangkan bebanan tersebut melalui rawatan dikenali sebagai hipnoterapi," katanya.

Beliau berkata, pesakit yang menjalani rawatan hipnosis perlu bersedia dengan sasaran yang mereka ingin selesaikan dan impian sebelum melakukan sesi tersebut. 

“Mereka tidak perlu risau semasa rawatan sedang dilakukan kerana mereka mempunyai pilihan untuk melakukannya secara individu mahupun berkumpulan. Mereka juga boleh melakukan rawatan dengan keluarga masing-masing.

“Rawatan ini sama ada dilakukan dalam kumpulan mahupun individu mereka mempunyai pilihan untuk duduk, berdiri mahupun berbaring mengikut keselesaan. 

“Dalam tempoh 20 hingga 30 minit mereka diminta membayangkan sesuatu sambil tumpuan dan pendengaran dihalakan kepada suara pengamal hipnoterapi," katanya.

Ujarnya lagi, dalam tempoh rawatan tersebut, pesakit boleh memilih untuk sedar bila-bila masa bergantung kepada keselesaan dan kesediaan masing-masing.

“Sama ada lelaki mahupun wanita, mereka diminta membayangkan impian dan masalah yang ingin diselesaikan. Sementara pengamal hipnoterapi pula berperanan untuk menuturkan perkataan dan ‘memimpin’ mereka dalam keadaan minda berada di bawah sedar.

“Tempoh mereka kembali sedar kepada minda asal juga bergantung kepada kesediaan dan keberkesanan kepada diri pesakit tersebut," katanya.

Cara pemikiran dorong stres

Sementara itu, pengamal profesional hipnoterapi, Ajit Ludher dari Klinik Hipnoterapi dan Psikoterapi Ludher, berkata, cara pemikiran terhadap sesuatu penyakit akan mendorong seseorang untuk mendapat penyakit tersebut.

“Contohnya seseorang yang sentiasa berfikir tentang penyakit diabetes berkemungkinan untuk menghidap penyakit tersebut. Ini kerana minda kita mempunyai kuasa yang besar untuk mempengaruhi seluruh kehidupan.

“Namun, tidak dinafikan selain pemikiran, faktor lain seperti persekitaran, cara hidup keluarga individu turut mempengaruhi seseorang untuk menghidap penyakit seperti diabetes, kanser dan asma," katanya.

Tambahnya, rawatan hipnosis boleh membantu individu bermasalah diabetes mengurangkan stres.
Ia boleh dilakukan dengan memberi cadangan positif kepada minda separuh sedar tadi oleh pengamal hipnoterapi.

“Hipnosis ialah cara paling berkesan untuk kita berhubung atau berkomunikasi dengan diri sendiri yang dalam keadaan bawah sedar.

“Hipnoterapi mempunyai mampu menukar kehidupan seseorang individu untuk menikmati hidup bahagia dan sihat. Rawatan ini juga ibarat peluang kedua kepada pesakit diabetes untuk menjalani kehidupan yang lebih ceria," katanya.

No comments: