Soalan:
SAYA baru sahaja mendirikan rumah
tangga sebulan yang lepas. Kami sudah bersedia untuk memiliki cahaya
mata. Tetapi setiap kali bersama saya mendapati air mani suami saya
meleleh keluar walaupun saya tidak bergerak. Apabila saya bangun tidur
keesokan harinya, saya dapati kain saya terdapat tompokan air mani.
Apabila saya membuang air kecil juga, air mani akan meleleh keluar. Saya
juga telah meletakkan bantal di bawah punggung ketika bersama. Peluang
untuk saya hamil akan tipis sekiranya air mani suami selalu tumpah.
Adakah keadaan ini menganggu usaha kami untuk mendapatkan zuriat?
- Rosnah, Johor
Jawapan
Tahniah kepada anda berdua yang baharu memasuki gerbang perkahwinan sebulan yang lepas, Selamat Pengantin Baru!
Jika diizinkan Allah, peluang anda tidaklah tipis. Janganlah puan
gusar. Teruskan usaha seperti biasa. Waktu subur adalah penting bagi
wanita. Pada kebiasaannya peluang untuk hamil adalah dalam 80 hingga 90
peratus pada tahun pertama perkahwinan bagi wanita yang tidak
mengamalkan kaedah perancang keluarga.
Semasa hubungan seks, setelah proses ejakulasi, sperma (benih lelaki)
akan bergerak sendiri ke saluran pembiakan (salur Fallopio) wanita
secara semula jadi. Pada waktu subur wanita, lendiran mukus akan
dihasilkan di permukaan serviks untuk membantu pergerakan sperma dan
melindungi sperma daripada tindakan persekitaran faraj yang berasid.
Walaupun kehamilan boleh terjadi daripada ejakulasi air mani ke dalam
faraj (vagina) tanpa penetrasi, namun peluang untuk hamil lebih tinggi
sekiranya ejakulasi berlaku berhampiran serviks.
TeknikTeknik hubungan seks tidaklah penting kecuali
apabila kedudukan zakar tidak berada di tempat sepatutnya seperti dalam
dubur atau di celah paha pasangan, iaitu bukannya di dalam faraj.
Pengeluaran cecair dari faraj (lelehan yang keluar dari faraj) selepas
persetubuhan adalah suatu perkara biasa dan tidak mempengaruhi peluang
untuk hamil.
Adalah amat penting juga bagi seseorang wanita yang ingin hamil
mengetahui waktu subur mereka. Sperma dapat hidup selama 48 hingga 72
jam dalam salur Fallopio wanita. Jadi, amatlah penting hubungan seks
dilakukan semasa waktu subur mengikut kitaran haid. Waktu subur dapat
dikira dari jarak masa kitaran haid yang sebelumnya, carta suhu, atau
perubahan kelikatan mukus (lendiran) serviks.
Sperma perlu berada dalam salur Fallopio pada waktu subur ini kerana
telur hanya dapat bersenyawa untuk beberapa jam. Dengan mengadakan
hubungan seks semasa waktu subur, maka peluang persenyawaan berlaku
adalah tinggi. Pada hari-hari berikutnya, kekerapan hubungan seks boleh
dilakukan mengikut kehendak pasangan masing-masing. Menahan diri
daripada melakukan hubungan seks sebelum waktu subur bagi tujuan
menambahkan bilangan sperma dan meningkatkan kesuburan hanyalah suatu
mitos. Bilangan sperma akan meningkat tanpa adanya hubungan seks selama 2
atau 3 hari, tetapi ramai lelaki yang subur boleh menghasilkan jumlah
sperma yang mencukupi dengan melakukan hubungan seks dengan lebih kerap.
Tidak mengadakan hubungan seks dalam jangka masa yang lama juga boleh
menyebabkan dua kemungkinan. Pertama, risiko terlepas waktu ovulasi dan
kedua, sperma akan menjadi kurang aktif. Adalah penting untuk mengagak
bilakah proses ovulasi berkemungkinan berlaku supaya hubungan seks dapat
dilakukan dua hingga tiga hari sebelumnya. Perkara lain yang patut
dititikberatkan ialah kehadiran sperma yang subur dan bersedia untuk
bersenyawa sebaik sahaja telur dikeluarkan.
Dengan kata lain, waktu yang amat sesuai untuk melakukan hubungan
seks adalah sebelum proses ovulasi. Bagi wanita yang mempunyai kitar
haid selama 28 hari, masa yang sesuai adalah dari hari ke10 hingga hari
ke 16. Jika persetubuhan berlaku setelah proses ovulasi, peluang untuk
hamil adalah rendah.
Wanita tidak perlu berbaring selepas hubungan seks dilakukan.
Persenyawaan terjadi apabila sperma sampai ke salur Fallopio. Kehamilan
berlaku daripada hubungan seks dalam pelbagai posisi. Pergerakan sperma
tidak bergantung kepada posisi-posisi tertentu yang harus dikekalkan
oleh wanita. Jadi, tidak perlulah untuk berbaring di atas katil atau
berehat seketika setelah melakukan hubungan seks. Petua orang-orang tua
yang meletakkan bantal di bawah punggung atau menaikkan kaki sebenarnya
tidak membantu dalam proses persenyawaan.
No comments:
Post a Comment