Sunday, May 19, 2013

MASAALAH KEGUGURAN BERULANG

Soalan: 
ASSALAMUALAIKUM, saya baru sahaja keguguran seminggu lalu. Kandungan saya mencecah dua bulan setengah. Masalah saya ini keguguran kedua. Keguguran pertama juga kandungan saya masuk dua bulan. Kedua-duanya turun sendiri bersama sarung. Saya juga tidak menggunakan kaedah D&C kerana menurut doktor rahim saya sudah kosong dan bersih. 

Di sini saya ingin bertanya doktor adakah disebabkan janin saya atau rahim saya tidak kuat. Suami saya juga kuat mengambil ubatan seperti ubat asma. Adakah itu juga puncanya?

Saya ingin minta pendapat doktor apa perkara yang sesuai untuk saya lakukan. Adakah saya perlu terus makan asid folik atau buat rawatan selanjutnya. Berapa bulan saya perlu berehat sebelum hamil semula. Saya berharap doktor dapat membantu saya memberi pendapat.

- Azlini, Pantai Permai,
Kuala Lumpur.

Jawapan

PUAN Azlini, keguguran tersebut bukan disebabkan janin tidak kuat atau ubat asma yang diambil oleh suami. Anda boleh teruskan pengambilan folik asid untuk memberi banyak kebaikan kepada ibu dan janin. 

Jika anda mengalami keguguran untuk kali kedua, doktor mungkin menyarankan beberapa ujian untuk mengenalpasti sebab keguguran tersebut. Walau bagaimanapun, biasanya anda tidak akan dirujuk kepada pakar sakit puan, kecuali jika anda mengalami tiga kali keguguran atau lebih berturut-turut. Walaupun setelah menjalani beberapa jenis ujian, pada kebiasaannya penyebab keguguran tidak dapat dipastikan. Masalah-masalah kesihatan biasanya bukan penyebabnya. Kehamilan seterusnya mungkin akan berjaya. 

Hari-hari dan minggu-minggu selepas keguguran boleh jadi sangat sukar, terutama sekali jika ini bukanlah keguguran pertama anda atau jika anda telah merancang kehamilan dengan berhati-hati. Adalah normal bagi anda merasa terkejut, sedih, murung, letih dan berasa seperti mengalami kegagalan. Anda mungkin merasa seperti segala-gala yang anda harapkan hancur berkecai dalam sekelip mata. Anda juga mungkin mengalami kemurungan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugasan harian dan tidak boleh tidur. Ingatlah bahawa anda dan suami tidak dipersalahkan. Keguguran yang berlaku dalam trimester pertama (kurang dari tiga bulan) kehamilan adalah perkara yang sangat biasa berlaku. 

Keguguran tidak memberi kesan ke atas keupayaan anda untuk hamil lagi. Mengalami keguguran tidak semestinya menandakan anda mempunyai masalah kesuburan. Malah, kajian menunjukkan bahawa setengah dan tiga perempat daripada wanita yang pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali atau lebih akhirnya melahirkan bayi yang sihat tanpa memerlukan sebarang rawatan perubatan yang khusus. Selepas keguguran kali pertama, risiko keguguran untuk kali kedua sama dengan sebelumnya, dan walaupun selepas dua kali keguguran, risiko keguguran kali ketiga hanya meningkat sedikit sahaja. 

Kebanyakan doktor mengesyorkan anda tunggu sehingga anda mendapat sekurang-kurangnya satu ke dua kali haid yang normal sebelum mencuba untuk hamil semula. Ini bagi memberi peluang kepada badan anda kembali normal. Tetapi jangan lupa bahawa anda juga perlu sembuh dari segi emosi sebelum anda bersedia untuk cuba hamil lagi. 

Dalam minggu-minggu pertama kehamilan, cubalah berehat sebanyak mungkin dan lapangkan fikiran. Anda juga boleh minta doktor menjalankan imbasan ultrabunyi awal. Setelah anda dapat melihat degupan jantung bayi, anda mungkin berasa lebih tenang dan yakin. Jadi teruslah berusaha, jangan sesekali berputus asa.

No comments: