Sunday, May 19, 2013

MENGAPA LELAKI TIDAK SUBUR???


Sekiranya kepekatan sperma kurang daripada 20 juta per milimeter, peluang untuk hamil berkurangan. 
SOALAN: Saya berumur 24 tahun dan berkahwin sebulan lalu. Suami yang berusia 35 tahun mengalami masalah kekurangan air mani. Mungkinkah ia menyebabkan saya tidak akan hamil? Untuk makluman doktor, kitaran haid saya normal setiap bulan.

Suami saya juga mengalami sakit kaki, terutama ketika cuaca sejuk. Adakah ia mempengaruhi air mani suami dan adakah cara untuk mengubati penyakitnya?
Mohon doktor jelaskan berkenaan masalah air mani ini.

- Aida, Kota Kinabalu

Jawapan

Anda menyatakan air mani suami kurang. Adakah perkara ini disahkan doktor atau hanya tekaan anda? Dalam kebanyakan kes infertiliti atau kesuburan dalam kalangan lelaki, puncanya adalah kurang jelas. Walau bagaimanapun, punca utama adalah disebabkan testis yang tidak normal. Punca yang lain adalah seperti duktul yang tersumbat, masalah kelenjar aksesori yang menghasilkan cairan seminal, gangguan hormon, teknik hubungan seks yang kurang berkesan dan faktor psikologi. Masalah testis tidak normal berlaku apabila testis tidak turun ke skrotum (walaupun telah menjalani pembedahan) dan jangkitan beguk merupakan punca utama infertiliti. 

Punca lain yang dikenal pasti adalah seperti proses inflamasi yang berlaku daripada jangkitan atau kecederaan pada testis. Pengembangan vena varikosel (varicose) dalam skrotum atau dikenal sebagai varikosel boleh mengurangkan bilangan dan motiliti sperma. Sesetengah bahan kimia dan ubat-ubatan boleh mengakibatkan kegagalan fungsi testis. Keadaan ini biasanya terjadi selepas penggunaan ubat yang dipanggil sitotoksik (cytotoxics) untuk rawatan kanser, terutamanya kanser darah atau kanser kelenjar testis. Terapi kesan radiasi atau X-ray ke atas testis juga boleh menyebabkan infertiliti dengan merosakkan tubul seminiferous. Sperma tidak boleh dihasilkan apabila saluran duktus yang tersumbat. Hal ini terjadi akibat jangkitan gonorea, atau sesetengah lelaki memang dilahirkan dengan saluran duktus yang sempit. Kelenjar-kelenjar seperti seminal vesikel, prostat dan bulbouretra dipanggil kelenjar seks aksesori dan menyumbang ke arah pembentukan air mani. Sekiranya kelenjar-kelenjar ini turut dijangkiti, maka sperma tidak normal akan terhasil. Selalunya, masalah kawalan hormon menyebabkan hormon perangsang folikel dan hormon peluteinan yang dihasilkan tidak mencukupi. 


Mati pucuk: Hubungan seks yang tidak normal berlaku apabila penetrasi yang kurang berjaya, lelaki yang mati pucuk atau disfungsi ereksi dan bukaan zakar yang tidak berada di hujung. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, masalah kawalan otot pada bahagian bawah zakar menyebabkan air mani diejakulasi ke dalam pundi kencing atau dikenal juga sebagai retrograde ejaculation. Masalah psikologi, masalah kesihatan atau stres juga mengganggu penghasilan air mani. Gangguan emosi boleh merencatkan penghasilan hormon dan pengaliran darah ke testis.

Secara purata, amaun air mani yang diejakulasi oleh seorang lelaki sebanyak 1 hingga 4 milimeter. Biasanya, lebih daripada 50 juta sperma yang terkandung setiap 1 milimeter yang diejakulasi. Sekiranya kepekatan sperma kurang daripada 20 juta per milimeter, peluang untuk hamil berkurangan. Selain itu, bilangan sperma yang mampu untuk bergerak juga sangat penting. Bagi lelaki yang subur, terdapat sekurang-kurangnya 50 peratus sperma yang mampu bergerak aktif. Semasa analisis air mani dijalankan, sperma yang bergerak dalam garisan lurus diperhatikan. Sekurang-kurangnya, 25 peratus sperma yang bergerak secara progresif. Aspek lain yang dilihat ialah rupa bentuk atau morfologi sperma. Apabila dilihat di bawah mikroskop, sperma manusia yang normal mempunyai kepala yang bujur dan ekor. Ada juga sperma mempunyai kepala, saiz dan ekor yang abnormal. Akan tetapi, sperma yang normal hendaklah merangkumi sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan sperma. Jika peratusan sperma yang abnormal melebihi 75 peratus, kualiti kesuburan akan merosot.

Pengiraan bilangan sperma dilakukan di makmal dengan menggunakan mikroskop. Amaun air mani yang diejakulasi diukur dan kepekatan sperma ditentukan dalam satu juta per milimeter. Spesimen sperma diproses di atas slaid mikroskop, diletakkan bahan kimia khas dan dibiarkan kering. Proses ini membolehkan bentuk sperma dikaji dengan lebih teliti.

Mengenai sakit tumit ketika cuaca sejuk, suami puan perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan tapak kakinya. Daripada pemeriksaan itu, doktor boleh tahu jika struktur tumit dan tapak kakinya normal atau tidak. Masalah ini tiada kaitan dengan masalah kurang air mani.

Anda berdua perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan dengan itu perawatan sebenar dapat diberikan.

No comments: