Friday, January 30, 2015

GANGGUAN HATI BERLEMAK


Penyakit hati berlemak mungkin jarang didengari oleh kebanyakan orang. Namun, penyakit ini sebenarnya menjadi kebimbangan seluruh dunia berikutan peratusan penghidapnya yang meningkat saban tahun.

Di Malaysia, penyakit hati berlemak dikategorikan kepada dua iaitu steatosis alkohol (pengambilan alkohol berlebihan) dan hati berlemak bukan alkoholik atau lebih dikenali sebagai NAFLD.

Kajian menunjukkan NAFLD menjadi penyakit kronik utama dalam kebanyakan negara industri seperti di Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.

Di negara ini pula, 80 peratus individu yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti menghidapnya.


NAFLD merupakan sejenis gangguan hati kronik yang merangkumi penyakit hati tanpa pengambilan alkohol yang serius.

Susulan itu, penghidap berisiko mendapat fibrosis, steatosis bukan alkoholik (NASH), kegagalan hati dan kanser hati.

Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun kepada kanak-kanak kecil, penyebab sebenar NAFLD masih belum diketahui.

Begitupun, penyakit tersebut berkait rapat dengan obesiti, kencing manis melitus (DM) jenis 2, dyslipidemia (tahap kolesterol yang tinggi terutama triglyceride) dan sindrom metabolik (MS).

Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kesedaran di negara ini tentang NAFLD dan bahayanya masih lagi kurang.

VITAMIN C, KOLAGEN UNTUK KULIT

SECARA umumnya, pertambahan usia dan gejala penuaan bukan satu jenis penyakit. Ia harus diterima secara positif.

Bagi membantu mengatasi masalah wanita 40-an, pakar kecantikan menyarankan pengambilan vitamin dan kolagen.

Tidak dapat dinafikan Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling dikenali dan sememangnya layak untuk dihargai kerana fungsinya yang pelbagai kepada kesejahteraan tubuh, termasuklah pemulihan dan pertumbuhan tisu-tisu, mengekalkan kesihatan gusi, menyokong sistem imunisasi dan membantu penyerapan zink. 

Ramai yang mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari dalam usaha merendahkan risiko mendapat serangan jangkitan ringan.

Hasil penyelidikan juga mendapati ia berpotensi mengurangkan tempoh demam selesema dengan menguatkan sistem imun badan. Bagi kebanyakan wanita pula, pengambilan vitamin C sebagai amalan harian begitu popular untuk kecantikan kerana ia merangsang kesihatan dan kecantikan kulit melalui penghasilan kolagen.

Menurut Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr. Chin Shih Choon, vitamin C atau asid Ascorbic sangat penting untuk tubuh badan. 

"Ia larut air. Vitamin ini bukan sahaja berfungsi sebagai anti oksidan utama tetapi juga satu anti virus kuat selain berfungsi sebagai anti bakteria dan anti kulat.

"Vitamin C juga merupakan agen anti-radang dan anti histamina. Oleh itu, ia sangat berguna melawan alahan dan gangguan radang kronik. Dalam pada itu, vitamin ini membantu sintesis kolagen, pembentukan tulang dan menyahtoksik. Dalam bidang kecantikan, vitamin C popular sebagai agen anti penuaan," jelasnya yang juga Pengamal Perubatan Estetik, MJ Medical Aesthetic.

Keperluan

Tambah Dr. Shih Choon, peningkatan usia seseorang menyebabkan manusia hilang keupayaan menghasilkan Vitamin C mereka sendiri.

Pun begitu, keperluan vitamin C masih boleh diperoleh daripada makanan seperti buah limau, buah beri merah, tomato, kentang, brokoli, bunga kubis, kubis brussels, merah dan lada loceng hijau, kubis dan bayam.

Mengulas tentang kolagen, Dr. Shih Choon memberitahu, kolagen ialah sejenis protein dan bekerja bersama keratin untuk menghasilkan kulit yang kuat, licin dan anjal. 

"Apabila anda muda, anda tidak mempunyai masalah menghasilkan kolagen dalam badan. Sebab itulah, kita lihat kanak-kanak mempunyai rambut berkilat, cantik dan kulit licin. Seperti vitamin C, peningkatan usia menyebabkan badan hilang keupayaan menghasilkan kolagen dan bermulalah episod kulit menjadi kedut, kulit kusam selain timbul garisan wajah," katanya. 

Tambah beliau, kolagen boleh diperoleh daripada produk soya, sayuran hijau gelap, madu manuka, dan avokado. Makanan-makanan ini membantu untuk merangsang pembentukan kolagen dalam badan kita. Sementara itu, terdapat juga sumber iklan daripada laut seperti ikan.

"Serat kolagen berasal daripada protein yang mempunyai tahap asid amino iaitu hydroxylysine dan hidroksiprolina yang tinggi. Asid-asid amino ini penting untuk pembentukan semua jenis kolagen," katanya yang menyarankan semua golongan tua dan muda mengambil vitamin C dan kolagen.

Thursday, January 29, 2015

MANFAAT SAYUR DALAM DARAH



SAYUR berperanan penting dalam pengaliran darah.


SAYUR-SAYURAN merupakan makanan yang baik untuk kesihatan setiap individu kerana kandungan vitamin, mineral dan nutrisi yang tinggi terdapat di dalamnya.

Walaupun memberi seribu satu manfaat terhadap kesihatan tubuh, namun masih ramai individu yang kurang gemar mengambil sayur-sayuran dalam diet harian mereka.

Menurut pensyarah daripada Universiti Cambridge dan Southampton, London,Tom Ashmore, golongan tersebut dianggap rugi kerana sayur berperanan penting dalam pengaliran darah dan memastikan oksigen disalurkan secara efektif ke seluruh tubuh.

“Kandungan nitrat yang ditemui di dalam sayur mampu membuka dan melebarkan pembuluh darah yang berperanan penting dalam menghindarkan tubuh daripada terkena angin ahmar dan serangan jantung.

“Selain itu, ia juga mampu menukar sel lemak putih menjadi sel lemak coklat yang mampu membakar lemak dan akhirnya mengelakkan obesiti daripada berlaku,” ujarnya,

Jelas Ashmore, bagi menggalakkan pengambilan sayur-sayuran di dalam diet harian, individu boleh pelbagaikan hidangan tersebut dengan beberapa cara seperti mengolah sayur-sayuran kepada jus, salad dan sebagainya.

Sunday, January 25, 2015

LEBIH BAIK MISKIN MATERIAL DARIPADA MISKIN JIWA

SABAN tahun setiap kali pembentangan bajet, golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan mengharapkan sesuatu yang menggembirakan hati mereka demi untuk merasai sedikit keselesaan dalam hidup. Namun apa yang menjadi harapan kadangkala tinggal harapan dan sukar untuk diterjemahkan kepada kenyataan.

Namun apakah itu boleh dianggap sebagai pengakhiran kepada sebuah harapan? Yang pasti sebagai bangsa yang pernah membina kecemerlangan tamadun pada awal kurun ke16 perlu bangkit dan menganggap ini satu cabaran baharu untuk mereka. Inilah satu peluang keemasan untuk mereka bangun memajukan diri lalu membuktikan kekuatan dan kekayaan jiwa mereka meskipun tidak dan masih belum memiliki kekayaan material.

Tiada yang menafikan bahawa kebanyakan orang Melayu miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta. Setengah beranggapan bahawa faktor wang ringgit inilah yang menyebabkan seseorang itu mundur. Namun ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang itu bukanlah terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda sematamata sebaliknya lebih kepada pemilikan jiwa yang hebat berasaskan nilai murni tinggi.

Memang benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan, tetapi bukanlah penghalang. Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Meskipun lahir dalam keluarga susah, mereka tidak miskin jiwa sebaliknya terus mempunyai ketinggian dan semangat dalaman untuk bangkit dan mencipta kecemerlangan.

BUKAN MUDAH BERGELAR HAJI DAN HAJAH


AHMAD Isnin, 67, dan isteri, Mokmah Mat Dalip, 66, dari Alai, Melaka, antara 444 orang kumpulan pertama jemaah haji yang tiba dengan penerbangan Saudi Arabia Airlines disambut mesra oleh ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, 10 Oktober lalu . - BERNAMA
 
KEPULANGAN para tetamu Allah ke tanah air sudah tentu dinanti oleh seluruh sanak saudara dan sahabat sekerja. Setelah lebih 40 hari bermastautin di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, kini kembali kepada realiti kehidupan yang penuh pancaroba di tanah air sendiri. Pastinya segala pahit manis berada di Tanah Suci menjadi kenang-kenangan yang abadi buat haji dan hajah. Malah ia sering kali menjadi seperti oleh-oleh Tanah Suci yang akan diceritakan buat renungan dan tatapan bersama. 

Segala pengalaman yang diperoleh pastinya sukar dilupakan malah ada yang sudah mula memasang niat untuk kembali semula ke bumi yang dilimpahi keberkatan dan kemuliaan dek kerana seronoknya bertandang ke Tanah Suci.

Namun begitu apa yang lebih sukar untuk dilaksanakan oleh haji dan hajah ialah bagaimana untuk melestarikan segala tarbiah haji dan kerja-kerja ibadah yang rutin dilaksanakan ketika di Tanah Haram. Ia sememangnya satu cabaran yang besar buat golongan baharu bergelar haji dan hajah, sehingga segala gerak-geri dan perlakuan mereka menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Situasi dan keadaan di sekeliling juga sering kali menjadi hambatan untuk berubah jika tidak bersungguh-sungguh untuk mempraktikkan segala pendidikan yang pernah ditimba.