SECARA umumnya, pertambahan usia dan gejala penuaan bukan satu jenis penyakit. Ia harus diterima secara positif.
Bagi membantu mengatasi masalah wanita 40-an, pakar kecantikan menyarankan pengambilan vitamin dan kolagen.
Tidak dapat dinafikan Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling
dikenali dan sememangnya layak untuk dihargai kerana fungsinya yang
pelbagai kepada kesejahteraan tubuh, termasuklah pemulihan dan
pertumbuhan tisu-tisu, mengekalkan kesihatan gusi, menyokong sistem
imunisasi dan membantu penyerapan zink.
Ramai yang mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari dalam usaha merendahkan risiko mendapat serangan jangkitan ringan.
Hasil penyelidikan juga mendapati ia berpotensi mengurangkan tempoh
demam selesema dengan menguatkan sistem imun badan. Bagi kebanyakan
wanita pula, pengambilan vitamin C sebagai amalan harian begitu
popular untuk kecantikan kerana ia merangsang kesihatan dan kecantikan
kulit melalui penghasilan kolagen.
Menurut Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr. Chin Shih
Choon, vitamin C atau asid Ascorbic sangat penting untuk tubuh badan.
"Ia larut air. Vitamin ini bukan sahaja berfungsi sebagai anti
oksidan utama tetapi juga satu anti virus kuat selain berfungsi sebagai
anti bakteria dan anti kulat.
"Vitamin C juga merupakan agen anti-radang dan anti histamina. Oleh
itu, ia sangat berguna melawan alahan dan gangguan radang kronik. Dalam
pada itu, vitamin ini membantu sintesis kolagen, pembentukan tulang dan
menyahtoksik. Dalam bidang kecantikan, vitamin C popular sebagai agen
anti penuaan," jelasnya yang juga Pengamal Perubatan Estetik, MJ Medical
Aesthetic.
Keperluan
Tambah Dr. Shih Choon, peningkatan usia seseorang menyebabkan manusia hilang keupayaan menghasilkan Vitamin C mereka sendiri.
Pun begitu, keperluan vitamin C masih boleh diperoleh daripada
makanan seperti buah limau, buah beri merah, tomato, kentang, brokoli,
bunga kubis, kubis brussels, merah dan lada loceng hijau, kubis dan
bayam.
Mengulas tentang kolagen, Dr. Shih Choon memberitahu, kolagen ialah
sejenis protein dan bekerja bersama keratin untuk menghasilkan kulit
yang kuat, licin dan anjal.
"Apabila anda muda, anda tidak mempunyai masalah menghasilkan kolagen
dalam badan. Sebab itulah, kita lihat kanak-kanak mempunyai rambut
berkilat, cantik dan kulit licin. Seperti vitamin C, peningkatan usia
menyebabkan badan hilang keupayaan menghasilkan kolagen dan bermulalah
episod kulit menjadi kedut, kulit kusam selain timbul garisan wajah,"
katanya.
Tambah beliau, kolagen boleh diperoleh daripada produk soya, sayuran
hijau gelap, madu manuka, dan avokado. Makanan-makanan ini membantu
untuk merangsang pembentukan kolagen dalam badan kita. Sementara itu,
terdapat juga sumber iklan daripada laut seperti ikan.
"Serat kolagen berasal daripada protein yang mempunyai tahap asid
amino iaitu hydroxylysine dan hidroksiprolina yang tinggi. Asid-asid
amino ini penting untuk pembentukan semua jenis kolagen," katanya yang
menyarankan semua golongan tua dan muda mengambil vitamin C dan kolagen.
No comments:
Post a Comment