Sebut sahaja peria , pastinya ramai yang membayangkan kepahitannya.
Bak kata orang tua yang pahit itulah ubat. Peria atau nama
saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan
khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria katak yang bersaiz lebih kecil.
Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara
beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita,
Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat.
Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Habitat pokoknya memanjat menggunakan sulur paut manakala daunnya bersaiz sederhana mengandungi lima cuping dan berbau langu.
Bunganya berwarna kuning sementara buahnya pula ada yang berbentuk
panjang dan bujur, bergantung kepada benih dan jenisnya, namun yang
pasti peria mempunyai kulit yang berkedut-kedut.
Berdasarkan kajian, setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram
protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9
gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan
gigi dan tulang.
Lain-lain kandungan peria ialah lemak dan mineral. Peria juga
boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan
gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang
dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga
hingga empat bulan.
Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah
tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan
alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir.
Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu
dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya
disapukan pada bahagian buasir.
Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai
julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam
oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.
No comments:
Post a Comment