SITI, dalam usia 50-an, sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai
ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan
tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.
Pada suatu pagi, sewaktu beliau hendak ke pejabat, Siti mengalami
rasa sakit dada yang amat sangat dan akhirnya dia terus tidak sedarkan
diri.
Apabila pulih dan sedar semula, Siti mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?
"Siti, anda telah mengalami serangan jantung dan disahkan menghidap
penyakit jantung koronori (CAD).
Kami mendapati saluran darah jantung
anda menjadi sempit. Anda perlu rawatan segera untuk mengelak komplikasi
yang lebih teruk," terang doktor.
Arteri Siti, iaitu saluran darah yang membawa darah mengandungi
oksigen keluar dari jantung untuk mengalir ke seluruh badan menjadi
sempit disebabkan pembentukan plak pada bahagian dalam dinding arteri.
Halangan ini menyebabkan kekurangan pengaliran darah yang membawa
oksigen ke jantung, mengakibatkan sakit dada, degupan jantung tidak
tetap (arrhythmias), serangan jantung dan mungkin maut.
Untuk merawat CAD, stent membebaskan ubat (perancah) dimasukkan ke dalam saluran darah.
"Implan ini direka khas bagi membantu melebarkan saluran darah untuk
pengaliran darah yang lebih lancar ke jantung," jelas Profesor Madya
Jabatan Kardiologi, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Prof. Dr. Sazzli Kasim.
Bercerita lanjut tentang statistik terkini penyakit jantung,
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada
2009 menunjukkan penyakit jantung menyumbang sebanyak 16.09 peratus
daripada jumlah kadar kematian di hospital-hospital di Malaysia.
Penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit jantung
koronari (CHD). Ini berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak
bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin
menyempit. Apabila ia berlaku, jantung tidak mendapat darah dan oksigen
yang mencukupi lalu berlakunya episod CHD.
Memandangkan setiap pesakit mempunyai lokasi dan tahap stenosis
koronari (penyempitan koronari) serta keadaan fizikal yang berbeza,
doktor akan menilai risiko bagi setiap pesakit sebelum mengesyorkan
jenis rawatan yang sewajarnya. PCI ialah sejenis rawatan pembesaran
penyempitan arteri koronari yang dijalankan tanpa memerlukan pembedahan.
Prosedur tersebut biasanya disyorkan oleh doktor apabila 70 peratus
arteri pesakit mengecil atau tersumbat.
Tambah dr. Sazzli, kebanyakan penyakit jantung berpunca daripada gaya
hidup tidak sihat contohnya, sebelum seseorang berkahwin, dia minat
bersukan tetapi selepas berkahwin, mereka tidak lagi aktif bersukan.
Tambahan pula, pemakanan sering terabai di samping tabiat merokok yang
masih berterusan. Faktor-faktor inilah yang boleh menyebabkan saluran
jantung tersumbat.
Pencegahan
Walaupun penyakit ada penawarnya, Dr. Sazzli tetap menekankan tentang amalan gaya hidup sihat.
"Saya selalu menasihatkan pesakit saya supaya berhenti merokok. Bagi
pesakit yang mungkin mengalami sakit jantung kronik, mereka mungkin
melakukannya. Masalah akan timbul apabila golongan muda khususnya 35
tahun ke bawah, tidak mahu berwaspada. Saya sendiri pernah berhadapan
dengan pesakit muda yang berumur 23 tahun," jelasnya.
Oleh itu, kesedaran awal sangat penting dalam kalangan masyarakat
untuk menjaga pemakanan selain bersenam atau melakukan aktiviti
mengeluarkan peluh, tidak merokok atau menghisap shisha.
Tambah Dr. Sazzli, gaya hidup sihat sangat penting untuk mengurangkan
kes kematian akibat serangan jantung yang tidak sempat dihantar atau
mendapatkan rawatan di hospital.
Jenis-jenis stent
Ketika ini terdapat beberapa stent di Malaysia. Jenis-jenis stent
utama yang digunakan ialah Bare Metal Stent (BMS), Drug-eluting Stent
(DES), Bio-engineered Stent (BES) dan Dual Therapy Stent (DTS).
DTS merupakan stent teknologi baharu dibangunkan oleh OrbusNeich
yang kini boleh didapati di Malaysia serta pasaran terpilih di Asia
Pasifik, Asia Barat dan Eropah selepas syarikat tersebut menerima CE
Mark. Stent Combo Dual Therapy menangani kelewatan penyembuhan arteri
koronari berkaitan dengan DES, yang merupakan penjagaan standard kini
untuk merawat penyakit arteri koronari.
Ia merupakan stent yang pertama bagi melaksanakan dua fungsi iaitu
mempercepatkan liputan endothelial dan kawalan terhadap perkembangan
neo-intimal melalui gabungan teknologi propenyembuhan dengan elusi
abluminal sirolimus dihantar dari polimer terbiodegradasi yang mencapai
pelesapan sepenuhnya dalam masa 90 hari.
DTS yang pertama di dunia itu menggabungkan dua stent yang sudah
diakui dan terbukti teknologinya iaitu DES dan BES. DES merupakan stent
logam yang secara perlahan-lahan membebaskan ubat ke dalam dinding
saluran darah tempat ia diimplan bagi menghalang hiperplasia
(peningkatan bilangan sel atau pertumbuhan pesat sel) yang mengurangkan
risiko restenosis (penyempitan semula dinding arteri).
BES pula disalut dengan antibodi untuk mempercepatkan pemulihan
semula jadi permukaan sten dengan membentuk endotelium (lapisan sel
epitelium yang melapik jantung, saluran darah, limfa dan dinding
rerambut) baharu.
Menurut Dr. Sazzli, dwi-stent ini merupakan satu perkembangan baik kerana stent ini bersalut dengan ubat.
"Dalam selaput itu pula terdapat antibodi. Ini bermakna stent ini
mempunyai dua fungsi iaitu sentiasa memastikan saluran darah membesar
dan membaik pulih dengan cepat. Dalam pada itu, stent baharu tersebut
boleh mengurangkan kedua-dua risiko restenosis dan trombosis
(pembentukan darah beku)
dengan ketara.
No comments:
Post a Comment