Sunday, January 25, 2015

BUKAN MUDAH BERGELAR HAJI DAN HAJAH


AHMAD Isnin, 67, dan isteri, Mokmah Mat Dalip, 66, dari Alai, Melaka, antara 444 orang kumpulan pertama jemaah haji yang tiba dengan penerbangan Saudi Arabia Airlines disambut mesra oleh ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, 10 Oktober lalu . - BERNAMA
 
KEPULANGAN para tetamu Allah ke tanah air sudah tentu dinanti oleh seluruh sanak saudara dan sahabat sekerja. Setelah lebih 40 hari bermastautin di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, kini kembali kepada realiti kehidupan yang penuh pancaroba di tanah air sendiri. Pastinya segala pahit manis berada di Tanah Suci menjadi kenang-kenangan yang abadi buat haji dan hajah. Malah ia sering kali menjadi seperti oleh-oleh Tanah Suci yang akan diceritakan buat renungan dan tatapan bersama. 

Segala pengalaman yang diperoleh pastinya sukar dilupakan malah ada yang sudah mula memasang niat untuk kembali semula ke bumi yang dilimpahi keberkatan dan kemuliaan dek kerana seronoknya bertandang ke Tanah Suci.

Namun begitu apa yang lebih sukar untuk dilaksanakan oleh haji dan hajah ialah bagaimana untuk melestarikan segala tarbiah haji dan kerja-kerja ibadah yang rutin dilaksanakan ketika di Tanah Haram. Ia sememangnya satu cabaran yang besar buat golongan baharu bergelar haji dan hajah, sehingga segala gerak-geri dan perlakuan mereka menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Situasi dan keadaan di sekeliling juga sering kali menjadi hambatan untuk berubah jika tidak bersungguh-sungguh untuk mempraktikkan segala pendidikan yang pernah ditimba.


Tanggungjawab yang dipikul oleh golongan baharu bergelar haji dan hajah bukan sekadar berkopiah putih dan mengenakan tudung labuh apabila keluar rumah. Ia meliputi semua lapangan kehidupan baik dari segi tutur kata, pergaulan dan yang lebih penting adalah peningkatan nilai ubudiyyah dan peribadatan kepada Ilahi. Malah ia antara indikator penerimaan ibadah haji di sisi Allah SWT sebagaimana yang pernah dikatakan oleh ulama terdahulu.

Jika sebelum ke Tanah Suci biasa bersembang dan membuang masa kepada perkara-perkara yang kurang berfaedah kini diganti dengan banyak mendekatkan diri, berzikir dan beribadah kepada Allah.
Jika dahulu kurang solat berjemaah di masjid, kini setelah berhari-hari dilatih berjalan kaki, berulang alik setiap waktu ke Masjidil Haram tiba masanya untuk berulang alik ke masjid berdekatan. Pendek kata selayaknya haji dan hajah berhijrah daripada segala perlakuan yang kurang baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Kesibukan seharian tidak patut dijadikan alasan kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan yang terbuka luas. Perkara yang lebih penting untuk diperhatikan ialah setiap manusia perlu berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah, bukan mengharap pujian dan sanjungan sesama makhluk. 

Usah pula seperti hangat-hangat tahi ayam, ke sana ke mari berkopiah dan memegang tasbih mungkin kerana aura Mekah dan Madinah yang masih menebal, namun kemudiannya kembali mengenakan seluar pendek, tidak bertudung dan berpakaian menutup aurat setelah berlalu beberapa masa walaupun sudah bergelar haji dan hajah.

Perlu juga di difahami betapa segala ibadat dan perlakuan baik di Tanah Suci tidak terhad kepada masa dan tempat tertentu malah ia sepatutnya berterusan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Dua Tanah Haram merupakan institusi pendidikan terulung buat tetamu Allah yang kemudiannya memerlukan semangat jihad, pengorbanan dan komitmen yang tinggi untuk merealisasikannya di tanah air sendiri. Jika tidak segala pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga yang dicurahkan untuk menunaikan fardu haji boleh jadi sirna dan sia-sia tanpa balasan yang setimpal di sisi-Nya.

Bagi yang belum bergelar haji dan hajah pula, kepulangan ibu bapa, sanak saudara dan rakan sekerja setelah selesai menunaikan fardu haji seyogianya menjadi sumber inspirasi dan tekad untuk bersungguh-sungguh menyediakan segala prasyarat dan komitmen kewangan untuk ke Tanah Suci.

Usah dijadikan alasan perangai kurang elok segelintir golongan yang sudah bergelar haji dan hajah sehingga melengah-lengahkan tuntutan wajib menunaikan haji dalam keadaan sudah berkemampuan. Ini kerana masa yang ada semakin terhad, umur juga semakin meningkat malah faktor kesihatan dan kecergasan tubuh badan semasa di usia muda sangat ditagih ketika terpilih menjadi tetamu Allah. 

Perlu juga diingatkan agar setiap Muslimin khususnya di Malaysia perlu mendaftarkan diri di mana-mana Pejabat Tabung Haji berdekatan bagi mendapatkan kuota terpilih menunaikan haji apabila tiba masanya. Jika tidak berbuat demikian, keinginan untuk ke Tanah Suci kemungkinan sukar dan tinggal angan-angan sahaja, malah permohonan yang sedia adapun sudah menjangkau tempoh berpuluh-puluh tahun untuk dinanti.

Elakkan daripada sering mencari alasan dan berkira-kira untuk menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah kerana kegagalan berbuat demikian akan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian. 

Usah pula seronok menuding jari mencari kesalahan orang lain, kerana berkemungkinan ada yang tidak diterima hajinya oleh Allah. Ia selayaknya dijadikan iktibar oleh semua agar ketika terpilih menjadi tetamu Allah, setiap Mukmin berusaha beribadah sehabis baik bagi mengelak menerima nasib yang serupa.

Lebih daripada itu sempena ketibaan tahun baharu hijrah 1436 ini, kaum Muslimin diajak untuk memuhasabah diri dan berusaha sedaya upaya memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan lalu.
Jadikanlah tahun baharu yang bakal menjelang tiba sebagai indikator perubahan dalam diri lalu berhijrah secara total dari sudut amal ibadah, pergaulan seharian, tutur kata dan perangai manusiawi kepada yang bersesuaian dengan kehendak Ilahi.

Ia sebaik-baiknya dimulakan dengan amalan baik membaca doa awal tahun sama ada secara sendiri atau beramai-ramai di masjid dan surau berdekatan. Para ibu bapa diseru untuk mengajak seluruh keluarga termasuk anak-anak remaja memulakan tahun baharu dengan bertasbih, bertahmid dan berdoa sebagai tanda bersyukur atas nikmat panjang umur, sihat tubuh badan dan diberi peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan kepada-Nya. 

Ambil peluang untuk saling mengingati antara satu sama lain, terutama bagi anak-anak yang sudah bekerjaya dan tinggal berjauhan daripada ibu bapa.

Ia penting agar segala amalan baik setahun yang lalu dikira dan dinilai sebagai amalan yang sempurna di sisi Allah manakala segala amalan buruk dipohon agar mendapat keampunan daripada-Nya. 

Pada tahun yang baharu pula doa dipanjatkan agar terpelihara daripada musibah, gangguan syaitan, dipelihara iman dan dipanjangkan umur dalam ibadah kepada-Nya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor

No comments: