Sunday, January 4, 2015

ISTIQAMAH LAKUKAN AMALAN KEBAIKAN

Allah SWT sangat menyukai amalan yang istiqamah dan berkesinambungan kerana prinsip istiqamah tidak terpisah dalam rangkaian ibadah selain menjadi roh untuk menjiwai amalan serta menentukan amalan itu berkualiti atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersab da: “Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Utama perkara fardu

Bagi memastikan kita terus istiqamah melakukan amal kebaikan dan menjaga kesinambungan amal ibadah, hendaklah sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu serta menyegerakan qada ibadah seperti puasa untuk memperoleh reda Allah SWT.

Kedua, kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sungguh hati supaya diberikan hidayah dan keteguhan iman secara berterusan serta sentiasa berada di landasan yang betul sebagaimana ditekankan oleh syariat Islam.

Ketiga, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun dalam kuantiti yang sedikit dan membaca ayat suci al-Quran secara berterusan, berusaha menghafaznya serta dibacakan dalam solat fardu atau sunat. Amalan ini harus dipupuk supaya kita sentiasa berinteraksi, mempelajari, memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah SAW: “Pertahankanlah dirimu bersama al-Quran ini, demi jiwa Muhammad yang ada ditangan-Nya, sesungguhnya al-Quran ini lebih cepat hilangnya daripada cepatnya ikatan tali unta yang terlepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sentiasa berzikir

Keempat, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, di samping sentiasa beristighfar kerana ia amalan yang tidak sukar untuk dilakukan dan mempunyai manfaat besar iaitu dapat menguatkan iman serta meneguhkan hati.

Kelima, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah selain berusaha mengenali serta menghayati sejarah hidup Rasulullah, sahabat dan tokoh ilmuwan Islam.

Keenam, sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara mungkar yang boleh merosak dan mematikan hati seperti bersahabat dengan orang yang buruk akhlak, mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah kerana ia boleh menyebabkan hati menjadi keras serta sukar untuk menerima hidayah Allah SWT.

Ketujuh, segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa dengan taubat nasuha supaya tidak terjerumus kembali ke lembah kehinaan dan maksiat. Mudah-mudahan dengan melakukan amalan secara istiqamah menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.

No comments: