Kajian mendapati pendapat ini tidak tepat kerana isteri
masih mempunyai keinginan tinggi dalam seksual
SEJAK sekian lama kaum wanita khususnya isteri telah
dimomokkan atau sengaja disalah tafsirkan sebagai golongan yang pastinya akan
menjadi dingin dalam soal seks apatah lagi selepas usia mereka menjengah 40-an
dan ke atas, seterusnya ke era menopaus.
Dalam usia sebegini, mereka dikatakan tidak lagi ghairah
untuk melakukan hubungan kelamin dengan suami dengan seberapa daya mengelak
serta memberikan pelbagai alasan untuk segera tidur akibat kepenatan seharian
bertugas di pejabat mahupun melakukan kerja-kerja rumah.
Apabila faktor begini berlaku, golongan lelaki, khususnya
suami beranggapan isteri mereka sudah mula bersikap tawar terhadap seks dan
enggan melayani kehendak mereka, tidak seperti semasa mereka mula berkahwin
dahulu.
Keadaan ini pula dijadikan oleh golongan suami
(kebanyakannya yang telah berusia), sebagai alasan untuk kembali berfoya-foya
dengan gadis muda atau mendapatkan teman yang baharu.
Dalam permasalahan seperti ini menurut Perunding Urologi, Profesor
Madya George Lee Eng Geap, selama ini kita mentafsirkan, golongan lelaki
lebih berkeinginan dalam soal seksual berbanding golongan wanita.
Biarpun sering menjadi perdebatan bergenerasi lamanya,
sebenarnya faktor membandingkan antara gender adalah perkara asas yang menjadi
punca banyaknya berlaku perceraian, perbalahan serta aktiviti di luar batasan
rumah tangga berlaku.
“Apabila kita membicarakan mengenai soal seks, keinginan
seksual adalah satu motivasi yang meliputi kehendak, kemahuan atau penggerak
untuk mencari objek seks atau yang berkaitan dengan aktiviti seks oleh
kedua-dua jantina.
“Sudah tentu kemahuan seksual itu adalah sesuatu yang
subjektif, mengandungi pelbagai makna dan maksud yang tersirat bagi setiap
individu yang berlainan. Keinginan seksual manusia juga sebenarnya bergantung
kepada beberapa keadaan dalam masa-masa yang khusus,” katanya.
Menurut George, realitinya berdasarkan kaji selidik yang
dijalankan secara saintifik, pendapat mengatakan kemahuan wanita menjadi dingin
dalam soal seksual selepas usia meningkat adalah tidak tepat.
Biarpun ramai dalam kalangan penyelidik sebelum ini
mendapati golongan lelaki mempunyai keinginan seks yang tinggi daripada wanita
biarpun dalam usia yang telah lanjut, namun sebenarnya, penemuan itu berdasarkan
penilaian golongan ini terhadap lelaki yang dilihat daripada cara hidup mereka
yang mempunyai ramai pasangan dan berkahwin lebih daripada satu.
“Sebenarnya, perbandingan seperti ini adalah sesuatu yang
tidak adil apabila memperkatakan mengenai keinginan seks wanita yang selalunya
dipengaruhi oleh status dan nilai-nilai budaya. Kemahuan dan keinginan wanita
dalam seks sebenarnya telah diperjudis oleh faktor-faktor lain termasuk dalam
hal melibatkan hormon.
“Keinginan untuk mengadakan hubungan intim dalam kalangan
wanita sebenarnya banyak dipengaruhi oleh isu-isu seperti masalah prestasi
pasangan di atas katil, kurangnya kepuasan emosi dalam hubungan, kesakitan
ketika mengandung dan menjadi ‘penjaga’ kepada insan-insan tersayang yang pasti
memberi impak negatif dalam keinginan mereka akibat kepenatan.
“Mungkin dahulu ketika baru berkahwin, purata pasangan yang
mengadakan hubungan seks sebanyak lapan kali dalam sebulan, selepas itu mungkin
menurun sebanyak enam kali dan selepas 40-an menjadi empat kali sebulan.
Sekiranya kekerapan melakukan seks dijadikan petunjuk mengenai dinginnya
kemahuan wanita itu, adalah tidak tepat sama sekali.
“Selain itu nilai masyarakat seperti pandangan negatif seks
terhadap wanita juga menjadi antara pengaruh dalam kemahuan seksual golongan
ini. Ini bermakna, keinginan seksual dalam kalangan wanita itu sentiasa ada,
tetapi hilangnya keinginan melakukan seks itu dipengaruhi oleh faktor fizikal,
psikologi dan persekitaran.
“Masalahnya, golongan lelaki juga ada ego mereka sendiri
dengan menyatakan seks adalah bagi mereka sahaja dan urusan rumah tangga
diserahkan bulat-bulat kepada isteri, yang menyebabkan tekanan” katanya.
Membicarakan soal seks bagi wanita di negara ini adalah satu
yang taboo. Kebanyakan mereka banyak memendam rasa daripada bercerita mengenai
masalah seks.
Malah, ada golongan ini yang bermasalah dalam soal seks
kerana menghidap FSAD (Female Sexual Arousal Disorder) iaitu masalah dingin
bagi mereka yang berusia dalam lingkungan 30 peratus.
“Sekiranya golongan ini berhadapan dengan masalah seks,
rawatan yang diberikan kepada mereka bukanlah mudah seumpama menelan pil untuk
menambah kekuatan seks (seperti yang dimakan lelaki) bagi merangsang mereka.
“Ini memandangkan kebanyakan krim atau pil yang dibuat khusus
untuk lelaki sahaja bagi merangsang daya keinginan seks mereka berbanding
dibuat untuk golongan wanita. Malah, sebenarnya tiada pun pil-pil untuk
golongan ini yang bersesuaian, kerana selalunya bila mencakupi soal seksual,
golongan lelaki nampak lebih diberi ‘keutamaan’,” kata Profesor Madya George
Lee Eng Geap.
Biarpun jelasnya, penggunaan krim digunakan secara meluas di
bahagian faraj untuk mengatasi masalah kekeringan dalam kebanyakan kes bagi
wanita yang telah menopaus, namun golongan ini juga mempunyai tahap hormon
tertentu.
Terdapat beberapa terapi tertentu dalam masalah ini yang
melibatkan pil testeron atau tampalan di kulit yang direka khusus untuk
membantu golongan ini merawat masalah dingin seks, tetapi masih belum terbukti
keberkesanannya setakat ini.
Dalam soal ini George menambah, cara terbaik bagi menangani
masalah seksual yang dihadapi oleh wanita untuk menaikkan keinginan seksual
mereka menerusi berbincang secara terbuka dengan pasangan atau mendapatkan
nasihat daripada doktor sekiranya terdapat masalah lain.
No comments:
Post a Comment