Sunday, July 1, 2012

ZAMAN MENOPOS


Melewati zaman menopaus adalah tempoh yang istimewa walaupun mungkin merimaskan bagi sesetangah wanita.

Meskipun ada yang mengganggap menopaus sebagai pintu gerbang untuk penuaan, sebenarnya kehidupan selepas fasa ini boleh jadi lebih menyeronokkan kerana kini anda bebas daripada haid dan tidak perlu lagi risau kemungkinan hamil.

Adalah cara untuk melambatkan menopaus? Tidak, kerana menopaus adalah proses semula jadi yang akan dilalui setiap wanita apabila melewati usia 50-an. Ia berlaku secara sendiri.

Menopaus bukan penyakit untuk ditangguhkan kehadirannya. Biasanya ia berlaku pada lingkungan umur 50 hingga 55 tahun tetapi ada juga wanita mengalami menopaus awal atau menopaus pra matang (sebelum 40) akibat penyakit yang memaksa rahim mereka dibuang.

Bukan semua wanita alami gejala menopaus. Gejala menopaus mungkin menjelma dalam satu hingga dua tahun sebelum kitaran haid terakhir seperti:

  • Sakit dan sengal badan 

  • Haid tidak menentu (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
  •  
  • TAhap kesuburan menurun. 
  •  
  • Faraj menjadi kering
  •  
  • Berasa panas dan berpeluh-peluh pada waktu malam (selaran kepanasan)
  •  
  • Sukar tidur pada waktu malam
  •  
  • Emosi berubah-ubah
  •  
  • Kegemukan di pinggang
  •  
  • Rambut gugur 
  •  
  • Parudara menjadi kendur dan kurang padat
Menopaus menjadi fasa perubahan dalam kehidupan seseorang wanita. Apabila umur bertambah, segala aspek fizikal berubah. Secara umumnya kita menjadi kurang aktif, kulit kering, kurang sensitif dan pergerakan mulai perlahan.

Ketika ini juga sesetengah wanita alami selaran kepanasan, emosi berubah-ubah, resah, kulit kering dan merah serta masalah ketika buang air kecil.


Perubahan ini adalah perkara normal bagi wanita menopaus yang sukar difahami lelaki. Dalam soal ini suami harus memberi lebih banyak sokongan kepada isteri kerana gejala dialami bukan disengajakan tetapi disebabkan perubahan hormon dalam badan.

Apabila memasuki umur menopaus, kebanyakan wanita tidak suka suami melihat badan mereka. Pada usia begini hubungan seks semakin jauh daripada fikiran. Kekurangan hormon estrogen memberi kesan kepada semua tisu, terutama kulit dan faraj.

Kulit menjadi kering, kendur dan kurang sensitif kepada sentuhan. Manakala faraj juga menjadi kering, kendur dan hilang keanjalan yang menyebabkan hubungan seksual menjadi tidak selesa.

Namun tidak ramai wanita bersedia membincangkan soal seks selepas menopaus secara terbuka kerana ia dianggap memalukan, kata Penasihat Kesihatan Seksual, Dr Terri Foran.

Tujuh daripada 10 wanita juga keberatan mengutarakan isu kekeringan faraj yang menjejaskan hubungan seks apabila bertemu doktor. Kebanyakannya menunggu doktor membuka mulut untuk membincangkan isu sensitif ini.

Soal selidik ke atas 997 wanita Asia mendapati 60 peratus mendakwa kurang berminat terhadap seks, alami kekeringan faraj (56 peratus), faraj terasa gatal (40 peratus) dan mengalami kesakitan ketika mengadakan hubungan seks (30 peratus).

Kurang faham terhadap masalah dihadapi isteri kadangkala membuatkan suami mula mencari ‘saluran lain’. Bagaimanapun ini bukan langkah bijak kerana ia hanya menambah ketegangan dalam hubungan yang dipupuk berbelas
atau berpuluh tahun lamanya.

“Kurang hubungan seks bukan bermakna wanita tidak peduli kepada suami. Hubungan intim tidak hanya bersandarkan kepada aktiviti seksual. Banyak kajian menunjukkan kepuasan seksual banyak bergantung kepada keakraban sosial antara suami dan isteri.

“Kurang keghairahan untuk mengadakan hubungan seks dalam tempoh menopaus adalah perkara biasa. Di sini suami perlu memainkan peranan untuk menggerak atau menaikkan keinginan isteri.

“Jika kedua-duanya mengambil sikap ‘menunggu pasangan memulakan langkah’, hubungan seks akan menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan.

“Dalam fasa transisi menopaus ini rasa ghairah wanita biasanya lebih perlahan dan mereka mungkin hanya merasainya selepas selesai mengadakan hubungan kelamin. Lebih jarang hubungan seks dilakukan, ia menjadi semakin tidak selesa kepada wanita.

“Walaupun anda tahu pasangan sayangkan anda, jangan amalkan sikap suka menduga pasangan. Ia ancaman besar kepada hubungan walaupun perkahwinan itu dibina berpuluh tahun lamanya. Ajak pasangan berbincang jika dirasakan ada sesuatu perkara yang tidak kena.

“Perbincangan, sentuhan, dakapan dan ketenteraman emosi serta minda sama penting dengan hubungan seks itu sendiri,” katanya pada Persidangan Obstetrik dan Ginekologi anjuran bersama Persatuan Menopaus Malaysia dan Schering Plough.

Hubungan seks di kalangan pasangan tua sama penting dengan pasangan muda. Justeru ia tidak boleh dipandang ringan kerana hubungan seks antara cara merapatkan ikatan pasangan dan mengekalkan rasa kasih saya yang dipupuk sejak awal perkahwinan.

Masalah kekeringan faraj boleh diatasi melalui beberapa cara, antaranya:

# Menggunakan pelincir berasaskan silikon atau minyak

# Menggunakan pelembap faraj polikarbonil. Penggunaan secara kerap dikatakan mampu meningkatkan pH dan kelembapan faraj

# Mendapatkan rawatan penggantian hormon (HRT). Walaupun ia selamat, masih ramai wanita bimbang menjalani rawatan ini kerana takut risiko kanser payudara. Bagaimanapun, menurut Dr Foran, kebanyakan pakar menyarankan terapi ini diambil dalam tempoh pendek iaitu kurang dari lima tahun (bagi dos tinggi). Jika dos diambil rendah, terapi ini boleh dilanjutkan lebih lama.

“Terapi penggantian hormon bukan hanya bertujuan meningkatkan hubungan seks tetapi ia mampu membuatkan wanita berasa lebih bertenaga, sihat dan cantik seperti sebelum menopaus.

“Malah lebih penting, banyak kajian menunjukkan HRT mampu mengurangkan risiko serangan sakit jantung dan mengekalkan kesihatan tulang.

“Bagi yang masih teragak-agak dan tidak tahu cara sesuai untuk anda, jumpa mana-mana pakar sakit puan untuk membincangkan perkara ini. Jangan biar ia berlarutan sehingga menjejaskan hubungan dengan suami dan kualiti hidup anda.

“Untuk mengekalkan kehidupan seks yang baik, anda perlu menjaga kesihatan; kerap bersenam; jaga makan; jaga saiz pinggang dan berat badan; kawal tekanan dan mendapat tidur atau rehat secukupnya,” katanya.

Beliau mengingatkan wanita supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan pengamal perubatan alternatif, terutama jika mereka mengatakan ada kaedah untuk mengatasi masalah seksual wanita menopaus. Sebaik-baiknya rujuk dulu kepada doktor sebelum menggunakan sebarang produk sebagai langkah berjaga-jaga.

Menopaus bukan titik noktah untuk anda menikmati kehidupan baik dan menggembirakan. Ada wanita yang tampak lebih cantik, berseri dan yakin selepas menopaus. Semuanya bergantung kepada corak hidup yang anda pilih dan bagaimana anda mengharungi cabaran sebagai wanita berusia.

Malah bagi wanita yang alami ketidakselesaan gejala menopaus, beberapa saranan boleh dilakukan iaitu:

# Makan lebih banyak tauhu dan produk kacang soya. Ada pendapat mengatakan ia boleh membantu mengurangkan gejala selaran kepanasan. Walaupun kesahihannya masih diperdebatkan, kacang soya boleh merendahkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko sakit jantung di kalangan wanita

# Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia bukan saja mengandungi banyak vitamin, mineral dan serat, tetapi turut kaya dengan antioksidan untuk melawan tindakan radikal bebas yang merosakkan sel. Lebih penting, sumber makanan ini rendah lemak.

Bagi wanita menopaus, makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan mengandungi bahan kimia dengan struktur seperti hormon estrogen, ia dapat membantu mengurangkan gejala ketidakselesaan akibat paras estrogen rendah di dalam badan.

Semakin meningkat usia, sistem penghadaman kita menjadi perlahan dan ini sebabnya ramai wanita mengalami masalah sembelit atau sukar buang air. Kandungan serat dalam sayur dan buah akan menjadi pelawas. Pada masa sama anda juga perlu minum banyak air kosong supaya proses perkumuhan menjadi lebih lancar

# Lebihkan minum air kosong atau jus buah (dengan sedikit atau tanpa gula). Jangan tunggu sehingga anda berasa dahaga untuk minum kerana pada usia begini sensitiviti terhadap rasa ‘dahaga’ semakin rendah, dan anda boleh mengalami masalah kekurangan air

# Kurangkan minum minuman mengandungi kafein seperti kopi atau minuman berkarbonat kerana ia mempunyai kesan diuretik yang akan memaksa anda kencing lebih kerap. Ini membuat masalah kekurangan air dalam badan semakin meruncing.

Bahkan sesetengah minuman berkarbonat boleh merendahkan kandungan kalsium dalam badan yang diperoleh daripada makanan dengan menyingkirkannya melalui air kencing

# Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap, tetapi pastikan kurangkan makan pada waktu malam. Kebanyakan wanita, tidak kira di Asia atau Barat, makan lebih banyak ketika makan malam dan mengambil sedikit makanan sepanjang siang, sedangkan pada ketika itu badan memerlukan banyak tenaga.

Ini menyebabkan badan menyimpan kalori berlebihan (daripada makan malam) sebagai lemak yang akhirnya menambah berat badan. Kajian menunjukkan pengambilan kalori individu yang makan banyak kali pada waktu siang tetapi dalam kuantiti kecil adalah lebih rendah

# Minum dan makan kalsium — Setiap wanita memerlukan antara 1,000 hingga 1,500 mg kalsium setiap hari yang boleh diperoleh daripada makanan, terutama susu yang diperkaya kalsium. Jika anda tidak suka susu, dapatkan bekalan kalsium harian daripada susu soya, pil kalsium dan sayur-sayuran berdaun hijau

# Sediakan snek menyihatkan untuk diambil di antara waktu makan. Ini termasuk buah-buahan, roti gandum penuh (kaya serat), yogurt rendah lemak, bijirin atau sekadar susu atau jus buah.

Pada usia begini kebanyakan orang kurang selera makan. Snek seperti disenarai di atas dapat membekalkan tenaga kepada badan dan mengawal paras gula darah dengan lebih baik. Elak makanan yang tinggi kalori kerana ia boleh menambah berat badan dan saiz pinggang!

# Bersenam, bersenam dan bersenam. Bersenam adalah ‘makanan’ untuk minda dan kesihatan keseluruhan badan. Bersenam sebelum, semasa dan selepas menopaus sangat penting untuk membantu anda mengharungi gejala menopaus dengan lebih baik. Ia membantu menurunkan paras gula, paras kolesterol dan memperlahankan kadar kehilangan jisim tulang.

Jadikan senaman sebagai keutamaan dalam hidup. Senaman dapat melancarkan aliran darah — bermakna badan menerima lebih banyak oksigen dan memperbaiki kebolehan badan untuk menyerap nutrien dengan lebih baik.

# Mulakan hobi atau aktiviti baru. Menopaus bukan bermakna penuaan tetapi ia melambangkan kematangan. Anda boleh menyumbangkan kemahiran dimiliki untuk kerja kebajikan atau aktiviti sosial setempat.

# Tetapkan sasaran hidup. Anda tidak pernah terlalu tua untuk mempunyai cita-cita atau sasaran. Ia membuatkan hidup anda terasa lebih bermakna dan meningkatkan semangat anda untuk berusaha mencapainya.

# Dekatkan diri dengan agama dan luangkan lebih banyak masa bersama pasangan dan keluarga. Kasih sayang, ketenteraman fikiran dan perasaan akan membuatkan seseorang tampak lebih cantik dan menarik.

# Buang konsep ‘saya mahu rehat atau bersara’. Sebaik anda menanamkan konsep ini dalam fikiran, ketika itulah proses penuaan akan menjadi lebih cepat!

Gejala
> Sakit dan sengal badan
> Haid tidak menentu (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
> Tahap kesuburan menurun
> Faraj menjadi kering
> Berasa panas dan berpeluh-peluh pada waktu malam (selaran kepanasan)
> Sukar tidur pada waktu malam
> Emosi berubah-ubah
> Kegemukan di pinggang
> Rambut gugur
> Payudara menjadi kendur dan kurang padat


1 comment:

Anonymous said...

TK DGN INFO...