SENDAWA merupakan satu bunyi kecil dan sekejap yang akan kedengaran apabila seseorang itu kekenyangan selepas makan.
Perkara ini merupakan rutin harian yang pastinya akan terjadi selepas
menikmati apa juga hidangan dan ia bukanlah satu perbuatan yang aneh
atau luar biasa.
Bagaimanapun, terdapat juga individu yang mempunyai kelaziman sendawa
yang kuat, panjang, dan berulang kali tanpa mengira masa, sama ada
selepas makan atau sebaliknya sehingga kadang kala membuat rasa tidak
selesa orang keliling.
Kelaziman itu tidak harus dipandang ringan kerana ia merupakan antara simptom yang menandakan seseorang itu mungkin berpenyakit.
Menurut Pakar Gastroenterologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Datuk
Dr. S. Mahendra Raj, secara amnya sendawa membawa maksud mengeluarkan
angin dari perut dan ia akan berlaku daripada semasa ke semasa dan ia
merupakan satu perkara biasa.
Tambah beliau, selain mengeluarkan angin yang berlebihan, sendawa
juga terjadi untuk mengeluarkan gas yang terlalu banyak daripada dalam
perut.
Begitupun ulas beliau lagi, ada sesetengah individu sendawa lebih
banyak daripada biasa dan walaupun perkara ini berlaku, kebanyakan
mereka ini tidak mempunyai sebarang penyakit yang serius.
Dalam hal ini, sekiranya individu mengalami sendawa yang berbeza
daripada biasa dan diikuti dengan gejala seperti sakit perut, muntah,
tiada selera makan, dan berat badan semakin menurun, ia mungkin
tanda-tanda seseorang itu mengalami penyakit dalaman yang lebih serius.
Sekiranya kita melihat daripada segi penyakit, salah satu keadaan
yang menyebabkan sendawa dikeluarkan lebih daripada biasa dikenali
sebagai penyakit gastroesophageal reflux disease (GERD) atau pedih ulu
hati.
Penyakit inilah yang kerap menyebabkan sendawa lebih kerap daripada
biasa. Sebenarnya ramai orang yang menghidap penyakit ini, tetapi
kebanyakan mereka ini tidak sampai ke tahap yang teruk dan boleh dikawal
dengan pengambilan ubat dan mengubah gaya hidup masing-masing," ujarnya
ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut mengenai sendawa ini, Dr. Mahendra memberitahu
ada beberapa perkara yang menyebabkan ia menjadi kerap seperti makan
terlalu cepat di mana semasa proses tersebut berlaku (makan) biasanya
angin akan masuk ke dalam perut.
Hal ini juga akan terjadi kepada mereka yang suka mengambil minuman
yang bergas, penghisap rokok (akan menyedut angin masuk ke dalam badan),
individu yang gugup, dan mereka yang gemar mengunyah gula-gula getah.
Golongan individu ini didapati dengan tidak sengaja akan menelan
angin lebih banyak daripada biasa akibat gaya hidup yang diamalkan
seharian.
Berbicara pula mengenai penyakit GERD, Dr. Mahendra menjelaskan, ia
berlaku apabila salah satu injap yang menghubungkan esofagus (saluran
makan) ke perut menjadi longgar daripada normal.
Apabila hal ini berlaku, asid dan jus daripada perut akan mudah naik semula ke esofagus bersama-sama makanan yang dihadam.
Keadaan ini sering kali menyebabkan ketidakselesaan kepada mana-mana
individu dan secara tidak langsung ia akan menyebabkan rasa seakan
terbakar di dada atau tekak yang dipanggil pedih ulu hati atau senak.
Dr. Mahendra turut memberitahu bahawa penyakit ini sebenarnya merupakan penyakit biasa yang dialami oleh ramai orang.
Walaupun pada umumnya ia tidak berbahaya, sedikit sebanyak akan mengganggu kualiti serta aktiviti kehidupan seharian.
Penyakit GERD dalam majoriti bukanlah penyakit serius yang boleh
mendatangkan maut dan gejala utama penyakit ini termasuklah pedih ulu
hati, kembung perut serta sendawa berlebihan dan ia memang penyakit
kronik yang jarang sekali boleh menyebabkan komplikasi serius.
Tetapi sekiranya mereka menghidap penyakit ini, ia tidak boleh
dipulihkan 100 peratus dan pesakit akan seumur hidup bergantung kepada
pengambilan ubat-ubatan sekurang-kurangnya dari masa ke semasa kalau
tidak setiap masa.
Apa yang boleh pesakit lakukan hanyalah mengurangkan gejala sendawa
tersebut dengan mengubah gaya hidup di samping mengawal pemakanan,"
katanya.
Mengenai rawatan, Dr. Mahendra menjelaskan, pesakit hanya akan
dirawat dengan menggunakan ubat untuk mengurangkan asid dalam perut,
serta disarankan mengubah gaya hidup seperti makan dalam kuantiti yang
sederhana pada masa yang tertentu dan jangan biarkan perut berlapar lalu
mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekali gus.
Apabila ditanya mengenai rawatan cara tradisional iaitu berurut serta
minum minuman halia yang dilihat mampu mengurangkan angin dalam badan,
Dr. Mahendra berpendapat jika dilihat daripada kajian saintifik,
kedua-duanya tidak mempunyai bukti yang kukuh tetapi pengambilan air
halia tidak memberi kesan sampingan yang buruk.
Mengenai urutan pula katanya, angin sebenarnya hanya terdapat di dalam perut dan bukan di dalam seluruh badan.
Seeloknya jika mengalami simptom ini (sendawa lebih daripada biasa),
berunding dengan pakar kesihatan dan jika perlu rujuk pada pakar yang
merawat penyakit-penyakit berkaitan perut dan usus. Jangan biarkan
berlarutan hingga mengakibatkan ia menjadi lebih serius," katanya.
No comments:
Post a Comment