Kaum wanita dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah masalah
kemurungan kerana ia boleh memudaratkan diri jika dibiarkan tanpa mendapatkan
rawatan, menurut seorang pakar psikiatri.
Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, dari Hospital Gleneagles Kuala
Lumpur, berkata masalah kemurungan boleh dirawat namun ramai wanita di negara
ini enggan atau keberatan untuk mendapatkan rawatan.
Golongan wanita perlu mengikis rasa malu untuk berjumpa pakar
psikiatri kerana mereka takut dipandang rendah oleh masyarakat atau bimbang
akan dipulaukan, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
ceramah bertajuk 'Kesihatan Mental Wanita' sempena Hari Wanita Sedunia di
hospital berkenaan di sini, Sabtu.
Dr Nor Hamidah berkata berdasarkan statistik terkini Pertubuhan
Kesihatan Dunia (WHO), 41.9 peratus wanita mengalami masalah kemurungan
berbanding lelaki iaitu 29.3 peratus.
Menurutnya masalah kemurungan bukan setakat rasa sedih malah ia
boleh melarat kepada simpton lain seperti perasaan pesimistik dan mudah putus
asa, hilang minat terhadap kerja, rasa 'lebih baik mati', dengar suara berbisik
dan akhirnya mengundang perkara tidak diingini seperti mencederakan diri
sendiri dan orang lain.
Dr Nor Hamidah berkata tiga tahap kemurungan iaitu rendah,
sederhana dan serius yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk perubahan
hormon, perubahan hidup, masalah rumah tangga dan masalah tempat kerja.
"Bagi tahap permulaan, pesakit boleh mengikuti sesi
kaunseling tetapi bagi kes sederhana dan serius, mereka perlu mengambil ubat
untuk tempoh tertentu bergantung kepada tahap kepulihan pesakit," katanya.
Sebagai langkah mengatasi masalah kemurungan, beliau berkata
wanita boleh mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan aktiviti riadah,
mendekatkan diri dengan Tuhan, mempunyai ikatan yang baik antara keluarga dan
rakan-rakan.
Ceramah berkenaan dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Wanita Hospital
Gleneagles dikenali sebagai 'Women to Women Well-being Tea Talk', yang
dilancarkan Mac tahun lepas.
No comments:
Post a Comment