Doktor, kini terdapat banyak pantiliner dengan haruman bunga-bungaan
semula jadi untuk menangani masalah wanita. Adakah pantiliner ini
memberi kesan kepada masalah keputihan wanita? Saya juga ada mendengar
ia tidak baik untuk faraj. Benarkah perkara ini doktor?
Rosie, Selangor
Jawapan
Saya kurang pasti sama ada pantiliner dengan haruman bunga-bungaan
semula jadi ini dapat menangani masalah wanita ataupun tidak. Oleh itu,
kajian saintifik yang terperinci perlu dijalankan oleh pihak tertentu
bagi membuktikan keberkesanan pantiliner ini di samping mengkaji aspek
keselamatan dan kualiti produk tersebut. Saya juga tidak dapat memberi
komen sama ada ia memberikan kemudaratan ataupun tidak. Anda janganlah
mudah terpengaruh dengan kempen atau pernyataan yang dinyatakan oleh
syarikat pengeluar produk ini. Saya agak khuatir kerana ada syarikat
pengeluar produk sebegini menyatakan bahawa produk mereka boleh
menghalang wanita daripada pelbagai masalah seperti senggugut,
keputihan, kekuningan, masalah faraj yang berbau, meregulasikan kitaran
haid, mengecutkan fibroid, menguatkan rahim, merawat kesukaran
mengandung akibat masalah peranakan, mengeluarkan darah beku dalam rahim
terutamanya selepas bersalin dan keguguran. Malah ada yang menyatakan
produk tersebut juga dapat merawat buasir, sakit belakang ketika haid,
merawat masalah kencing tidak lawas, kegatalan di faraj, buang angin
(gastrik), sembelit, kanser payu dara, sakit kepala, tengkuk, penyakit
sendi, penyakit kulit, bisul, melecur, mencegah endometriosis dan
lain-lain lagi.
Saya menyarankan agar pengeluar produk ini dapat menjalankan kajian
saintifik yang menyeluruh. Testimoni daripada pengguna tidaklah
mencukupi bagi menyatakan kesahihan keberkesanan produk ini. Saya amat
berharap agar semua wanita jangan mudah terpedaya dan perlulah mengkaji
kesahihan pernyataan tersebut. Masalah keputihan bagi seseorang wanita
ialah proses yang normal dan berlaku secara fisiologikal mengikut
kitaran haid dan perubahan hormon. Keadaan ini bukanlah disebabkan oleh
pantiliner.
No comments:
Post a Comment