SEORANG remaja perempuan hanya mampu memandang ke luar rumah dari tingkap biliknya semasa hujan dan tidak boleh keluar kerana dikhuatiri titisan hujan itu bakal meragut nyawanya.
Kesukaran itu terpaksa ditelan oleh seorang remaja dari Mapleton, Utah, Amerika Syarikat, apabila air menjadi ‘musuh’ utama baginya yang akan memberi kesan kesakitan yang berpanjangan jika terkena walaupun setitis.
Remaja itu, Alexandra Allen, 17, hidup dalam ketakutan sepanjang hari pada air sehinggakan dia tidak boleh mandi untuk membersihkan diri atau berpeluh kerana air boleh menyebabkan kulitnya melepuh seperti terbakar.
Cita-cita dan impian remaja itu untuk menjadi seorang ahli biologi marin dan berenang di pantai beriklim tropika musnah selepas dia disahkan menghidap sejenis penyakit yang dipanggil aquagenic urticaria iaitu sejenis alahan pada air.
“Kerana impian untuk bergelar seorang ahli biologi marin tidak kesampaian, saya telah beralih minat untuk menjadi seorang peguam atau pakar ekonomi,” tutur Allen yang memberitahu, hasil pembacaannya mendapati, penyakit itu hanya dialami oleh 35 individu di seluruh dunia.
Pendarahan kulit
Menurut remaja itu, dia mula dikesan menghidap penyakit alahan pada air sewaktu berusia 12 tahun selepas mengalami gatal-gatal yang teruk semasa berenang bersama keluarganya di kolam renang.
“Saya bersyukur kerana tidak mengambil bahagian dalam acara renang untuk sukan Olimpik,” seloroh Allen yang kini sedang menuntut di sekolah Tinggi Springville.
Selepas mengalami kesan kegatalan pada kulit pada tahun 2000, doktor memberitahu bahawa Allen mungkin mengalami alahan pada bahan klorin atau sebarang bentuk bahan kimia yang digunakan dalam kolam renang.
Akibat daripada peristiwa itu, Allen telah dimasukkan ke hospital di Flaming George, Utah untuk mendapatkan rawatan selepas anggota badannya dipenuhi ruam yang teruk terutama pada bahagian siku dan lutut selain berlaku pendarahan pada kulitnya.
Gejala itu menyebabkan seluruh anggota keluarga serta doktor bingung untuk mengetahui punca yang menyebabkan kulit remaja terbabit melecur walaupun selepas menjalani ujian menggunakan beberapa jenis air seperti air berklorin, sejuk dan suling.
Bagaimanapun, pada tahun 2013, adiknya, Jonah, 10, telah menemui satu laporan kajian yang menunjukkan gejala hampir sama seperti yang dihadapi oleh kakaknya berkaitan masalah aquagenic urticaria, iaitu keadaan di mana kulit akan berasa pedih dan sakit sebelum terjadinya masalah ruam jika terkena air.
“Keadaan ini sungguh pelik dan saya tidak pernah berjumpa dengan pesakit yang mengalami masalah alahan pada air seteruk ini,” ujar Dr. Barney J. Kenet, seorang pakar dermatologi dari Hospital New York-Presbyterian.
Elak berpeluh
Selepas disahkan menghidap masalah aquagenic urticaria, Allen hanya boleh mandi tiga kali seminggu menggunakan air sejuk selain terpaksa menggunting rambutnya menjadi pendek dan bersenam di dalam bilik berhawa dingin bagi mengelakkan dia berpeluh secara berlebihan.
Remaja malang itu juga terpaksa mengubah diet pemakanan dengan hanya memakan sayur-sayuran untuk mengimbangi pengeluaran cecair pada badan.
Allen dalam pada itu memberitahu, dia pernah diberitahu doktor bahawa tekaknya akan membengkak jika dia meminum air, namun setakat ini dia tidak mengalami apa-apa masalah atau alahan ketika minum.
Satu kajian pada tahun 2011 yang disiarkan dalam jurnal bertajuk Annal of Dermatology menerangkan, masalah aquagenic urticaria merupakan suatu keadaan yang amat jarang berlaku terhadap manusia iaitu kira-kira 35 orang sahaja di seluruh dunia.
Masalah alahan pada air ini berlaku tanpa mengira keadaan cuaca dan ia meliputi sebarang bentuk cecair termasuk yang terkena pada kulit seperti hujan, salji, peluh dan air mata.
Keadaan alahan itu kemudiannya bertukar menjadi kemerah-merahan dan kering sehingga menyebabkan permukaan kulit menjadi luka terutamanya pada beberapa anggota badan seperti bahagian belakang, leher, bahu, lengan dan muka.
No comments:
Post a Comment