Thursday, May 28, 2015

LELAKI BANYAK ISTERI MUDAH KENA SAKIT JANTUNG



LELAKI yang berpoligami mempunyai lebih bebanan rumah tangga baik dari segi kewangan mahupun emosi. – Gambar hiasan



GOLONGAN lelaki yang mengamalkan poligami berisiko untuk menghidap penyakit jantung koronari empat kali ganda lebih tinggi daripada lelaki yang mempunyai seorang isteri.
Hasil penyelidikan yang dibentangkan pada Kongres Kardiologi Asia Pasifik menemukan hubungan antara peningkatan jumlah isteri dengan penyumbatan arteri pada bahagian jantung.
Salah seorang penyelidik yang juga pakar jantung di Pusat Penyelidikan dan Hospital Pakar King Faisal Jeddah, Arab Saudi, Dr. Amin Daoulah berkata, lelaki yang mengamalkan poligami mempunyai lebih bebanan rumah tangga baik dari segi kewangan dan emosional.
“Setiap isteri perlu dilayan sama rata dan dalam hal ini, ia boleh mengundang stres jangka masa panjang kepada suami. Tekanan ini sekali gus meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung koronari,” katanya.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Biology Letters itu dijalankan ke atas 687 lelaki berusia dalam lingkungan 59 tahun yang menjalani pemeriksaan jantung di lima buah hospital di sekitar Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.
“Kami dapati lelaki yang berpoligami mempunyai risiko empat hingga enam kali ganda lebih tinggi menghidap penyakit jantung koronari selain terdedah kepada risiko sehingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk menghadapi masalah arteri tersumbat,” jelasnya.
Daripada jumlah itu, 68 peratus lelaki mempunyai seorang isteri, 19 peratus beristeri dua, 10 peratus beristeri tiga, manakala tiga peratus lagi beristeri empat.

No comments: