STEVENS yang mula didiagnos menghidap glaukoma ketika berusia 40
tahun, tidak menyangka akan melalui saat getir apabila terpaksa hilang
penglihatan dalam sekelip mata sahaja.
Katanya, penyakit tersebut tidak mempunyai tanda pada peringkat awal
sehinggalah beliau mengalami sakit kepala yang berterusan selama
seminggu.
Namun beliau sememangnya telah menghidap diabetes sejak berusia 30 tahun lagi.
Dalam tempoh tersebut sakit kepala yang menyerang saya tidak hilang
menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan doktor.
Selepas membuat pemeriksaan, saya disyaki menghidap penyakit glaukoma. Dalam tempoh tersebut juga doktor telah memberi ubat.
Namun, disebabkan ketika itu keadaan tekanan darah dalam mata
meningkat dan boleh merosakkan saraf, doktor telah mengesyorkan beberapa
pembedahan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Sambutan Hari
Glaukoma Sedunia, anjuran Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (PPUKM), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Stevens, pada permulaan hanya mata sebelah kirinya sahaja yang kabur dan lama-kelamaan menjadi buta.
Ia kemudian diikuti pula dengan mata sebelah kanan.
Hilang penglihatan secara tiba-tiba menyebabkan saya hilang arah dan tujuan hidup.
Selama setahun saya menjadi murung dan hilang keyakinan diri. Segala
keperluan dan aktiviti harian tidak dapat dilakukan seperti biasa,
sebaliknya terpaksa bergantung pada isteri. Sampai satu tahap saya cuba
melakukan perkara di luar batasan kerana menghadapi tekanan yang
melampau.
Mujur isteri dan rakan-rakan banyak membantu memberikan sokongan
moral untuk kembali bersemangat dan meneruskan hidup seperti biasa,"
ujarnya.
Selepas pulih daripada tekanan dan mula menerima hakikat tentang
keadaan dirinya sebenar, Stevens memasang azam untuk membantu
pesakit-pesakit yang senasibnya dengan mendapatkan bantuan terutama dari
segi aspek maklumat dan psikologi.
Beliau lantas menubuhkan Pertubuhan Glaukoma pada tahun 2009 yang
kemudian nama tersebut telah ditukar kepada Persatuan Glaukoma Malaysia.
Sementara itu, penyakit glaukoma juga sering digelar sebagai Pencuri
Penglihatan Secara Senyap atau Penyakit Kebutaan Senyap.
Pada 2010 ia dihidap oleh kira-kira 8.4 juta orang di seluruh dunia
dan dijangka meningkat kepada 11.1 juta menjelang tahun 2020.
Pakar Perunding Oftalmologi PPUKM, Profesor Madya Dr. Jemaima Che
Hamzah berkata, glaukoma adalah antara penyakit yang mengancam kesihatan
manusia dan menjadi punca kebutaan nombor dua selepas katarak.
Terdapat dua jenis glaukoma yang kerap dihidap pesakit iaitu glaukoma sudut tertutup dan glaukoma sudut terbuka.
Dalam kalangan penduduk Asia, kadar penularan glaukoma adalah 2.4
hingga 5 peratus dengan kebanyakan kes adalah glaukoma sudut terbuka,"
katanya.
Beliau yang juga pensyarah perubatan di PPUKM berkata, glaukoma sudut
terbuka adalah keadaan di mana cecair akueus yang biasanya beredar di
hadapan mata disekat mengalir keluar dari mata melalui sistem saliran
kecil.
Ini menyebabkan tekanan di dalam mata meningkat dan menyebabkan saraf mata rosak.
Golongan yang berumur 40 tahun ke atas adalah mereka yang berpotensi
menghidap penyakit tersebut selain faktor-faktor lain yang turut
mempengaruhinya.
Walaupun glaukoma menyebabkan kerosakan saraf mata secara kekal,
kerosakan tersebut mampu dirawat seandainya rawatan diberikan ketika
penyakit berada di tahap awal.
Mereka yang berisiko menghidap penyakit ini adalah ahli keluarga
yang menghidap glaukoma, penghidap kencing manis, mengalami tekanan
darah dalam mata yang tinggi, pernah mengalami kecederaan pada mata,
rabun jauh serta penggunaan steroid yang kerap dan berpanjangan.
Walaupun tiada penawar bagi penyakit ini, kajian menunjukkan bahawa
jika tekanan dalam mata dapat dikurangkan, glaukoma boleh dikawal dari
menjadi lebih teruk.
Pada masa ini terdapat beberapa rawatan untuk menurunkan tekanan
mata seperti ubat mata, penggunaan teknologi laser dan juga pembedahan,"
kata Dr. Jemaima.
Beliau berkata, terdapat dua jenis rawatan menggunakan laser iaitu
Argon Laser Trabeculoplasty ( ALT) dan Selective Leser Trabeculoplasty
(SLT).
Ketika ini, PPUKM salah satunya hospital kerajaan yang menawarkan
rawatan SLT kepada orang awam yang ternyata lebih selamat dan berkesan.
Dalam pada itu, majlis perasmian Sambutan Hari Glaukoma Sedunia,
anjuran PPUKM disempurnakan oleh , Naib Censolar UKM, Prof. Tan Sri Dr.
Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin.
Program bermula dari 14 hingga 15 Mac lalu turut menyediakan
pemeriksaan penglihatan percuma kepada orang ramai dan ceramah umum
penyakit tersebut. - SITI AISHAH YUSOFF
No comments:
Post a Comment