Soalan
Saya sering sakit perut dan rakan-rakan berpendapat saya mempunyai
angin di dalam badan dan berkait rapat dengan pemakanan? Adakah masalah
angin ini boleh dirawat serta apakah punca-punca lain yang boleh
mencetuskan masalah angin?
* Melati, Sarawak
Jawapan
Masalah angin bagi kebanyakan individu mungkin tidak menjadi satu
masalah kesihatan yang luar biasa. Gejala yang dialami oleh seseorang
individu dengan individu lain mungkin sama tetapi punca sebenar masalah
itu terjadi mungkin berbeza.
Angin kebanyakan individu berpunca daripada udara yang ditelan.
Apabila seseorang dalam keadaan tertekan atau stres maka dia lebih kerap
menelan udara tanpa disedari.
Masalah ini disebabkan proses penghancuran makanan oleh bakteria di
dalam usus besar terhadap makanan yang tidak dihadam. Gas yang
dihasilkan biasanya karbon dioksida, oksigen, nitrogen dan ada kalanya
gas methana.
Rawatan
Terdapat beberapa cara rawatan bagi masalah ini. Seseorang penghidap
perlu menukar jenis pemakanan seharian mereka, pengambilan ubat-ubatan
dan mengurangkan menelan udara.
a. Menukar jenis makanan
Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara seorang
dengan seorang yang lain. Pesakit perlu memastikan jenis makanan khusus
yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini berdasarkan pengalaman
yang dilalui. Sekiranya makanan tersebut telah dapat dikenal pasti,
hindarkan makanan tersebut.
b. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan seperti antasids, simethicone dan activated charcoal yang
boleh didapati di farmasi-farmasi dapat membantu mengurangkan masalah
angin. Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu
menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang makan makanan
yang biasanya menghasilkan angin.
c. Kurangkan menelan udara
Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan
supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula. Anda dinasihatkan
supaya mengunyah makanan perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap
semasa makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya
berjumpa doktor gigi untuk memastikan ia sesuai dipakai.
Makanan yang menghasilkan angin
Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol
menghasilkan banyak angin. Raffinose terdapat pada makanan seperti
kacang yang mengandungi banyak gula kompleks, manakala bunga kubis
(cauliflower), kubis brussel (brussels sprouts), asparagus, brokoli dan
kubis pula mengandungi fruktos.
Laktos ialah gula semula jadi yang terdapat pada susu dan makanan
mengandungi susu seperti keju dan aiskrim. Fruktos banyak terdapat pada
bawang, buah pear dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis
(sweetener) dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.
Sorbitol diperolehi secara semula jadi daripada buah-buahan termasuk
epal, pear, pic dan prun. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam
makanan untuk diet, gula-gula dan gula getah. Kanji kebanyakannya
didapati pada kentang, jagung dan gandum di mana makanan ini dihancurkan
di dalam usus besar. Beras merupakan satu-satunya makanan berkanji yang
tidak menghasilkan angin.
No comments:
Post a Comment