Sunday, February 27, 2011

Doktor Jantung: Elak perasaan marah

APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?
APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau? Apa pula perasaan anda apabila selepas lama beratur, tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di depan anda? Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan? Kemarahan ialah satu ekspresi perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak suka. Mempunyai perasaan marah bukan perkara buruk kerana ia menunjukkan kita manusia normal. Malah, ada pakar berpendapat kemarahan pada peringkat rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan tertentu ia boleh memberi kesan positif kepada kita. Contohnya apabila kita dapat memberitahu seseorang bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan fikiran kita.
Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau wanita, kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding kesan terhadap hubungan sesama insan. Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia. Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit jantung koronari. Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika pernah mengalami penyakit jantung. Kemarahan itu sendiri bukan faktor tunggal kepada risiko sakit jantung. Ada pakar berpendapat, perasaan negatif yang lahir akibat kemarahan itu juga memberi sumbangan yang menyebabkan seseorang berasa resah dan tertekan. Dua perasaan ini biasanya datang bersama kemarahan yang mungkin berlanjutan kepada emosi negatif lain. Bagaimanakah kemarahan boleh menyebabkan penyakit jantung koronari? Saintis mengatakan, kemarahan mungkin ada kesan langsung ke atas jantung dan salur darah (arteri). Emosi negatif seperti marah cepat meningkatkan tindak balas badan apabila menerima tekanan. Jika rangsangan sentiasa diberi, kesan ke atas jantung dan salur darah berlarutan. Apabila dalam keadaan tertekan, badan menghasilkan hormon tekanan. Dalam keadaan biasa, hormon ini diperlukan untuk menolong kita dalam jangka masa pendek jika menghadapi krisis. Bagaimanapun, jika kita kerap marah, paras hormon tekanan ini meningkat. Hormon tekanan yang berlebihan mempercepatkan proses aterosklerosis iaitu pengumpulan plak lemak pada dinding salur darah yang akhirnya membuatkan salur darah tersumbat; yang seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari dan serangan jantung.
Selain kesan biologi, kesan ke atas gaya hidup juga penting. Mereka yang mudah marah mungkin tidak dapat menjaga diri dengan baik. Mereka lebih berkemungkinan untuk merokok, mempunyai pemakanan tidak baik dan seimbang, jarang melakukan senaman dan meminum alkohol berlebihan. Semua ini juga faktor yang boleh membuat seseorang itu lebih berisiko mendapat penyakit jantung koronari. Cara mengatasi kemarahan Ada banyak cara mudah untuk mengatasi kemarahan. Antaranya ialah dengan:
· Menarik nafas panjang dan kira dari satu hingga 10
· Membayangkan tempat aman untuk menenangkan minda
· Beredar dari situasi atau persekitaran yang membuatkan anda marah (secara fizikal dan emosi)
· Mendengar muzik
· Mengisi masa dengan hobi
· Jangan meletakkan harapan dalam setiap situasi
· Meditasi
· Meningkatkan tahap spiritual melalui sembahyang, doa dan zikir Paling penting, anda harus menerima hakikat bahawa kehidupan ini tidak selalunya adil atau sempurna, dan anda harus mengambil tindakan wajar di dalam setiap keadaan. Ingat, setiap kali anda melakukan tindakan positif, anda sebenarnya menjaga jantung anda.

SAYA berumur 35 tahun dan berjumpa doktor bulan lalu ketika melakukan saringan kesihatan. Tahap kolesterol saya ialah 8.8 mmol/L walaupun saya giat bersukan dan prihatin mengenai pemakanan sihat yang rendah lemak. Doktor menasihati saya mengambil ubat untuk merendahkan kolesterol. Bagaimanakah tahap kolesterol saya boleh menjadi begitu tinggi, padahal saya mengamalkan gaya hidup sihat? Perlukah saya mengikut nasihat doktor untuk memakan ubat kolesterol? JAWAPAN Ada dua punca utama kolesterol di dalam badan. Punca pertama ialah daripada apa yang kita makan dan yang kedua ialah daripada apa yang kita buat. Ramai tahu mengenai pemakanan yang tinggi kandungan lemak, tetapi ramai tidak tahu bahawa badan kita, melalui organ hati, juga menghasilkan kolesterol. Ingat, kolesterol adalah bahan utama membran sel badan dan kehadirannya sangat penting untuk badan berfungsi dengan sempurna. Bagaimanapun, ada beberapa keadaan di mana tahap kolesterol menjadi tinggi kerana kolesterol yang dihasilkan adalah berlebihan. Satu daripadanya disebabkan hiperkolesterolemia familial, iaitu akibat keturunan atau genetik. Tahap kolesterol setinggi 8.8 mmol/L adalah terlalu tinggi dan jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada masalah kardiovaskular, seperti penyakit jantung koronari dan strok. Oleh itu, anda wajar mengikut nasihat doktor untuk memulakan rawatan. Teruskan gaya hidup sihat yang diamali dan doktor anda akan memantau tahap kolesterol darah dari semasa ke semasa. SOALAN MENURUT artikel Doktor Jantung pada 10 Mei lalu, doktor memberitahu bahawa hipertensi kot putih berlaku apabila tekanan darah diambil ketika di hospital atau klinik adalah tinggi berbanding bacaan di rumah. Keadaan sedemikian berlaku kepada saya setiap kali saya berjumpa doktor. Apakah cara terbaik untuk mengelak bacaan tekanan darah menjadi tinggi apabila berjumpa doktor? JAWAPAN Sindrom atau hipertensi kot putih adalah fenomena yang belum difahami sepenuhnya oleh dunia perubatan. Ada kajian mendapati lebih kurang 20 peratus daripada bacaan tekanan darah yang tinggi ketika berjumpa doktor disebabkan hipertensi kot putih. Sememangnya seseorang itu sukar mengelak berlakunya fenomena sedemikian, tetapi jika ia cuba mengawal perasaan dan emosi ketika bertemu doktor, ini mungkin boleh membantu. Contohnya, pada hari berjumpa doktor, elak situasi yang membawa stres atau tekanan. Rancangkan hari dengan baik selepas mendapat rehat dan tidur secukupnya pada malam sebelumnya. Elak kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan, dan baca buku atau majalah yang menenangkan ketika menunggu giliran di klinik atau hospital. Adalah bagus jika anda mempunyai alat pengukur tekanan darah sendiri kerana anda boleh mengetahui tekanan darah anda ketika di rumah berbanding di hospital. Doktor anda mungkin melakukan ujian tekanan darah ambulatori untuk anda. Ujian ini membabitkan satu alat yang boleh mengukur dan memberi bacaan tekanan darah secara berperingkat-peringkat selama 24 jam. Ini boleh memberi gambaran lebih jelas mengenai tekanan darah anda yang sebenar.

Doktor Jantung: Tempoh mengambil aspirin

BIASANYA pesakit jantung diberi ubat aspirin untuk mencairkan darah. Adakah mereka perlu memberitahu doktor atau menghentikan pengambilan ubat ini jika mahu menjalani rawatan, contohnya mencabut gigi? Adakah pengambilan aspirin ini untuk sepanjang hayat atau boleh dihentikan atas nasihat doktor?
SOALAN BIASANYA pesakit jantung diberi ubat aspirin untuk mencairkan darah. Adakah mereka perlu memberitahu doktor atau menghentikan pengambilan ubat ini jika mahu menjalani rawatan, contohnya mencabut gigi? Adakah pengambilan aspirin ini untuk sepanjang hayat atau boleh dihentikan atas nasihat doktor? NLH JAWAPAN Aspirin adalah ubat yang wujud lebih seabad lamanya. Malah, aspirin yang bahan kimianya berasal daripada pohon willow digunakan sejak zaman ahli tabib Yunani, Hippocrates dan masyarakat Cina berkurun lalu, di mana daun dan kulit kayu dari pohon ini diambil untuk menghilangkan rasa sakit.
Walaupun penggunaan aspirin berkurangan pada pertengahan abad lalu selepas penemuan paracetamol pada 1956, populariti aspirin kembali semula sejak 1980-an apabila aspirin digunakan secara meluas untuk mengubati penyakit jantung koronari. Serangan jantung atau infarksi miokardium berlaku apabila gumpalan darah terjadi di dalam pembuluh darah koronari secara tiba-tiba, menyebabkan pengaliran darah terhenti. Ini mengakibatkan kerosakan teruk pada otot jantung yang ketandusan darah. Dalam proses awal pembekuan darah, sel darah platelet yang diaktifkan akan melekat sesama sendiri sebelum menjadi gumpalan darah. Aspirin, pada dos lebih rendah daripada yang digunakan bagi tujuan menghilangkan kesakitan, bertindak ke atas platelet berkenaan lalu ‘mencairkan darah’ dan mengelak berlakunya serangan jantung. Kajian mendapati jika aspirin diberi ketika infarksi mikardium, ia boleh mengurangkan kadar kematian sebanyak 25 peratus. Oleh itu aspirin antara ubat paling penting untuk seseorang pesakit penyakit jantung koronari dan harus diambil sepanjang hayat dan tidak boleh dihentikan, walaupun sehari, melainkan atas sebab tertentu. Bagi kebanyakan rawatan dan pembedahan kecil seperti mencabut gigi, aspirin tidak perlu dihentikan. Ini kerana pendarahan yang berlaku tidak serius dan mudah ditangani. Bagaimanapun, untuk pembedahan lebih besar seperti pembedahan perut dan usus atau penggantian sendi lutut, pengambilan aspirin perlu dihentikan untuk beberapa hari bagi mengelak komplikasi pendarahan. Dalam apa pun situasi, anda harus mendapatkan nasihat pakar jantung yang merawat anda sebelum berhenti memakan aspirin.
Gangguan aliran darah

TAHUKAH anda bahawa 50 peratus daripada 10,000 kes amputasi (pemotongan) kaki yang dilakukan ke atas pesakit kencing manis setiap tahun boleh dielak?
Penyakit vaskular pinggiran adalah penyakit yang membabitkan gangguan aliran darah di kaki. Seperti penyakit kardiovaskular yang lain, ia disebabkan proses arteriosklerosis, iaitu kejadian plak ateroma yang terdiri daripada kolesterol dan sel-sel radang di dinding salur darah. Lama kelamaan plak berkenaan membesar dan menyebabkan penyempitan salur darah.Penyempitan ini boleh berlaku di salur darah koronari. Jika ia bertambah teruk, otot jantung tidak akan mendapat darah dan oksigen yang cukup. Ini boleh mengakibatkan berlakunya angina (sakit di dada) atau serangan jantung. Jika penyumbatan salur darah berlaku di otak, strok atau angin ahmar akan terjadi.Apa gejala dan tanda penyakit vaskular pinggiran?Apabila pengaliran darah ke kaki berkurangan, otot kaki tidak akan mendapat oksigen dan nutrien secukupnya. Keadaan sedemikian dipanggil iskemia dan boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian kaki.Iskemia selalunya dialami semasa berjalan dan hilang selepas berehat beberapa minit. Gejala begini dikenali klaudikasi. Jika proses iskemia ini menjadi teruk, jarak seseorang itu berjalan sebelum sakit di kaki bermula akan menjadi lebih pendek.
Malah, jika penyakit vaskular pinggiran itu menjadi lebih parah, pesakit akan mengalami gejala seperti kebas, sejuk atau sakit berpanjangan ketika berehat. Jika ada luka atau ulser pada kaki, ia tidak sembuh atau mengambil masa yang lama untuk sembuh. Ketandusan darah ini menyebabkan tisu ibu jari kaki dan keseluruhan kaki rosak; dan keadaan ini dipanggil ganggren. Jika dibiarkan berterusan pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan kuman yang serius sehingga boleh membawa maut. Pada tahap ini, doktor tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyarankan supaya kaki pesakit terbabit dipotong. Bolehkah keadaan ini boleh dielak? Apakah rawatan yang ada?Faktor risiko untuk mendapat penyakit arteri pinggiran ialah menghidap kencing manis, mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kolesterol berlebihan dan merokok. Kewujudan faktor ini perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan sekiranya ada, langkah-langkah wajar harus diambil untuk menanganinya.Paras glukosa darah perlu dikawal dengan rapi untuk mengelak komplikasi diabetes. Jika merokok haruslah berhenti segera, amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta kerap bersenam untuk mengawal hipertensi, kolesterol berlebihan dan diabetes.Rawatan khususRawatan yang khusus kepada penyakit vaskular pinggiran terbahagi kepada tiga iaitu:
· Ubat

· Pembedahan graf pintasan arteri
· AngioplastiUbat-ubatanIa bertindak untuk:
· Mencairkan darah (contohnya aspirin dan clopidogrel)
· Mengawal paras kolesterol
· Ubat khusus untuk penyakit yang berkaitan (contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi)
· Ubat tahan sakit, jika adaPembedahan graf pintasan arteriPembedahan membabitkan penyambungan antara dua tempat pada arteri yang bermasalah dengan memintas bahagian yang tersumbat menggunakan graf sintetik atau graf semula jadi seperti vena (salur darah) kaki. Ini kaedah terbaik untuk arteri yang tersumbat sepenuhnya (100 peratus), terutama jika bahagian yang bermasalah itu panjang. Jika banyak bahagian pada arteri itu tersumbat atau arteri femoral (iaitu arteri di bahagian peha) yang terbabit, maka pembedahan adalah kaedah yang terbaik.AngioplastiSeperti angioplasti koronari, penyempitan salur darah di kaki boleh dirawati dengan menggunakan kaedah angioplasti belon. Ruang dalam pembuluh darah yang sempit itu boleh dibuka luas dengan meletakkan belon dan meniupkannya selama beberapa saat. Jika perlu, satu gegelung besi yang dipanggil stent boleh dimasukkan ke dalam pembuluh darah berkenaan untuk memberi hasil angioplasti yang lebih baik.Angioplasti didapati setanding atau lebih baik berbanding dengan pembedahan jika penyumbatan itu terjadi di arteri iliak, iaitu pembuluh darah yang menyambungkan aorta dan arteri femoral di peha. Ia juga adalah kaedah yang berkesan sekiranya pesakit itu mempunyai masalah perubatan yang lain seperti penyakit jantung koronari atau strok yang meletakkan pesakit dalam kategori berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan.Ini juga kaedah yang berkesan untuk membantu menyelamatkan kaki daripada dipotong bagi kes iskemia anggota kritikal.Apakah langkah seterusnya?Amalkan gaya hidup sihat dengan sering bersenam, menjaga berat badan, tidak merokok dan mengamal pemakanan sihat dan seimbang,
· Jika terdapat gejala atau tanda penyakit vaskular pinggiran seperti di atas, segera berjumpa doktor.
· Jika anda menghidap kencing manis, ambil langkah sesuai untuk menjaga kaki anda dengan baik. Pastikan kaki dan jari kaki anda sentiasa bersih dan kering. Jika ada luka, walaupun kecil, segera dapatkan nasihat doktor.
· Walaupun diri berasa sihat, masih wajar untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini kerana penyakit yang dikesan pada peringkat awal selalunya mempunyai peluang untuk baik dengan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya boleh dikawal dengan baik.Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini pembaca boleh menyertai Minggu Kesedaran Pembuluh Darah yang diadakan pada 20 hingga 26 Julai di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-76807000.

Doktor Jantung: Risiko H1N1
SAYA menerima dua soalan yang sangat menarik, pertama membabitkan wabak H1N1 yang semakin membimbangkan dan kedua berkisar kepada isu ubat untuk pesakit jantung.
SAYA menerima dua soalan yang sangat menarik, pertama membabitkan wabak H1N1 yang semakin membimbangkan dan kedua berkisar kepada isu ubat untuk pesakit jantung. SOALAN SETIAP hari media menceritakan mengenai wabak H1N1 yang melanda beberapa negara dan mengorbankan banyak nyawa. Walaupun di Malaysia masalah ini nampak masih terkawal, saya bimbang kerana suami saya ada masalah jantung dan akan pergi ke beberapa negara di Eropah minggu depan untuk tujuan perniagaan. Adakah beliau mempunyai risiko lebih berbanding orang lain untuk dijangkiti penyakit ini? Bolehkah ia membawa kepada kerosakan jantung? ISTERI PESAKIT JANTUNG JAWAPAN
Wabak Influenza A H1N1 diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Jun lalu sebagai wabak pandemik. Di Malaysia, walaupun wabak ini nampak terkawal, kes pertama jangkitan sesama manusia dikesan beberapa hari lalu dan harus dipandang serius. Penyakit H1N1 pada mulanya disebabkan jangkitan virus secara langsung daripada babi yang dijangkiti kepada manusia dan mula dikesan di Mexico pada April lalu. Oleh kerana kemudahan pengangkutan udara, wabak ini merebak ke lebih 70 negara. Jangkitan manusia ke manusia boleh berlaku secara langsung apabila rembesan cecair badan orang yang mendapat Influenza A H1N1 seperti air liur yang terpercik ketika bercakap, cecair mulut dan hidung sewaktu batuk dan bersin terkena terus kepada orang di sekeliling mereka. Jangkitan juga boleh berlaku apabila kita tersentuh bahan yang tercemar dengan virus seperti kertas tisu. Bagi manusia, simptom jangkitan Influenza A H1N1 adalah demam, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala, batuk, lemah badan dan rasa tidak selesa. Dalam kes lebih serius, ia boleh menyebabkan radang paru-paru yang boleh membawa kepada kematian. Setakat ini, tiada kesan Influenza A H1N1 secara langsung kepada jantung yang sihat. Bagaimanapun, pesakit jantung lebih mudah mengalami masalah kerana penyakit selsema ini boleh mengakibatkan tekanan kepada sistem kardiovaskular. Pesakit akan mengalami sesak nafas, perubahan tekanan darah dan denyutan jantung yang laju. Oleh itu, pesakit jantung seperti suami puan mempunyai risiko lebih tinggi berbanding seorang yang tiada masalah jantung. Antara langkah pencegahan yang perlu diambil suami puan ialah:
· Buat pemeriksaan doktor sebelum pergi, terutama jika negara yang bakal dilawati ada kes A H1N1
· Bawa ubat rawatan jantung secukupnya. Bawa laporan perubatan terkini sebagai persediaan jika berlaku sebarang kemungkinan
· Ambil insurans perubatan perjalanan. Kos rawatan di negara lain adalah mahal
· Elak ada berdekatan orang demam dan tidak sihat
· Guna penutup muka untuk menutup hidung dan mulut di te mpat tertentu
· Amalkan selalu membasuh tangan selepas bersalaman atau menyentuh bahan dicemari
· Dapatkan tidur dan rehat yang cukup, makan makanan berkhasiat dan bersenam untuk memperkuatkan sistem pertahanan badan
· Elak tempat yang dikunjungi ramai orang. Rehat secukupnya dan minum air dengan banyak
· Jika demam dan ada simptom selesema, segera dapatkan rawatan doktor
· Berjumpa doktor sejurus pulang ke tanah air

No comments: