Sunday, February 27, 2011

Doktor Jantung: Kolesterol halang darah

Bersama Dr Haizal Haron Kamar

DUA minggu lalu kita bercerita mengenai jantung dan betapa bertuahnya kita mempunyai organ yang istimewa, bekerja keras tanpa mengira siang atau malam, tidak pernah mengeluh kepenatan serta tidak berhenti berdenyut walau seketika.
Namun seperti organ lain, ia boleh mengalami masalah jika tidak dijaga. Berikut adalah beberapa perkara penting yang sering ditanya mengenai serangan jantung.
1.Bagaimanakah ia terjadi?
2. Apakah bahaya serangan jantung?
3. Apakah gejala serangan jantung?
4. Siapakah yang berisiko?

5. Apakah cara untuk diagnos serangan jantung?

6. Apa perlu dilakukan ketika serangan jantung?
7. Apakah rawatan yang ada ketika terjadinya serangan jantung?

8. Bagaimana mencegah ia daripada berlaku?

Untuk ruangan minggu ini, saya akan menghuraikan persoalan 1, 2 dan 3.

Bagaimana serangan jantung terjadi?

Arteri koronari adalah pembuluh darah yang mengelilingi jantung dan membawa di dalamnya darah yang kaya oksigen serta nutrien ke otot-otot jantung. Ini penting untuk jantung berfungsi dengan sempurna.

Dengan pembentukan plak di dinding dalam arteri akibat proses aterosklerosis (pengumpulan lemak atau kolesterol pada dinding dalam salur darah), ruang di dalam arteri menjadi sempit dan mengganggu perjalanan darah.

Sakit di dada (angina pectoris) berlaku apabila darah tidak sampai ke otot jantung ketika melakukan aktiviti cergas, tetapi kembali normal selepas berehat beberapa minit.

Bagaimanapun, plak berkenaan boleh menjadi tidak stabil dan pecah disebabkan faktor tertentu. Ini menghasilkan trombosis atau gumpalan darah beku.

Ia berlaku secara tiba-tiba dan menutupi seluruh arteri lalu menghalang perjalanan darah. Otot jantung yang terbabit akan mengalami kerosakan.

Cuba bayangkan sebatang sungai besar yang mengalir di sebuah ladang epal yang subur. Apabila aliran air sungai tersekat, pokok epal akan layu dan mati. Begitu juga yang berlaku pada otot-otot jantung.

Sel otot jantung ini akan mati akibat ketandusan darah. Fenomena yang berlaku dipanggil serangan jantung atau infarksi miokardium.



Apakah bahaya serangan jantung?

Tahukah anda, penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia?

Pernahkah anda terfikir, serangan jantung dan penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu wanita – hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding barah payudara?

Serangan jantung adalah penyebab utama kematian mengejut. Kejadian ini berlaku apabila jantung berhenti berdenyut secara tiba-tiba atau mengalami fibrilasi ventricular akibat kerosakan pada jantung.

Tahukah anda, lebih kurang 50 peratus kematian akibat serangan jantung terjadi dalam masa satu jam dan hampir semuanya sebelum sempat tiba di hospital?

Bagi yang ‘terselamat’, segolongan besar mengalami penyakit lemah jantung atau kegagalan fungsi jantung akibat kerosakan teruk otot-otot jantung.

Ini dimanifestasikan dengan keadaan kaki yang mudah bengkak dan kesesakan nafas ketika rehat atau melakukan aktiviti.



Apakah gejala serangan jantung?

Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia sering berlaku pada awal pagi ketika tidur, tetapi ia juga boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana saja, sama ada ketika melakukan aktiviti atau berehat.

Kira-kira 50 peratus pesakit yang alami serangan jantung tidak mempunyai tanda awal. Bagi mereka, ini gejala pertama penyakit jantung koronari. Oleh itu, kita wajar mengetahui gejala serangan jantung iaitu:
  Sakit di dada. Jantung sebenarnya terletak di bahagian tengah dada dan bukan di kiri, tetapi sakit dialami sering membabitkan keseluruhan dada.

Ia seperti satu cengkaman kuat atau perasaan berat di dada. Ia kadangkala merebak ke bahagian atas dada hingga ke leher dan gusi atau ke tangan kiri atau kanan.
  Simptom berkaitan yang mungkin berlaku ketika sakit dada adalah kesesakan nafas, berpeluh yang sejuk, rasa lemah badan dan pening.
  Ada segolongan pesakit yang tidak mempunyai gejala klasikal seperti di atas. Ada yang hanya mengalami kesesakan nafas atau sakit di bahagian lain di badan.

Saya teringat kes ketika saya baru menjadi doktor, di mana pesakit yang menghidap serangan jantung dihantar ke wad pembedahan kerana simptomnya yang ketara adalah sakit di perut.

Ada pula kes di mana pesakit saya pergi ke doktor gigi terlebih dulu disebabkan sakit gusi, tanpa rasa sakit di dada.
  Ada pula yang tidak mengalami kesakitan di dada atau apa-apa simptom. Ini sering didapati pada pesakit yang mengidap diabetes.

Kadangkala sukar untuk tahu sama ada gejala dialami adalah disebabkan serangan jantung, terutama mereka yang tidak mengalami simptom klasikal.

Jika tidak pasti, segera ke hospital berdekatan. Usah bertangguh untuk menjalani pemeriksaan. Ingat, setiap masa sangat berharga dan jika dibiarkan, ia boleh merosakkan jantung dan mengorbankan nyawa.

Kita akan meneliti aspek serangan jantung yang lain pada ruangan akan datang. Mari kita bersama-sama mengambil berat mengenai kesihatan jantung3. Apakah gejala serangan jantung?

Mulakan senaman

BARU masuk minggu ketiga 2009, penulis menerima pelbagai berita yang kurang enak didengar mengenai rakan sekerja mahu pun teman lama di sekolah, terutama membabitkan hal kesihatan.

Dalam usia yang dikategorikan masih muda (selagi belum masuk umur pencen), ramai menghidap penyakit kronik umum seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Bagi yang masih sihat, terutama lelaki, rata-rata berkongsi ciri badan sama, iaitu gemuk di pinggang atau dalam perkataan lebih mudah — berperut buncit.

Selain itu, ada seorang dua dikhabarkan menunggu giliran untuk menjalani rawatan angioplasti bagi membuka semula saluran darah ke jantung yang tersumbat.
Berita seperti ini membuatkan ramai berasa risau kerana rata-ratanya adalah rakan sebaya. Namun sekadar risau dan bimbang saja tidak mencukupi; ia tidak akan mengubah apa-apa.
Berita seperti ini membuatkan ramai berasa risau kerana rata-ratanya adalah rakan sebaya. Namun sekadar risau dan bimbang saja tidak mencukupi; ia tidak akan mengubah apa-apa.
Yang perlu anda lakukan sekarang ialah mengubah sedikit gaya hidup dengan menjadi lebih aktif dan memasukkan senaman ke dalam aktiviti harian.

Usah lagi memberi alasan tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Allah masa iaitu hanya 24 jam sehari. Alasan letih juga tidak boleh dipakai lagi kerana sedikit senaman boleh mengembalikan tenaga anda. Malah, senaman yang dilakukan secara kerap membuatkan kita lebih cergas dan bertenaga.

Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita, senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat.

Kita tetap mendapat faedah senaman walaupun menghidap penyakit tertentu kerana sebarang aktiviti yang mengeluarkan peluh boleh meningkatkan tahap imun dan membantu kita mengawal penyakit dengan lebih baik.

Yang diperlukan sekarang ialah keinginan menjadi individu lebih sihat. Untuk mencapai impian itu, kita memerlukan kesungguhan dan azam kuat untuk berubah.

Memang diakui amat sukar untuk memulakan perubahan, tetapi anda perlu memulakannya sekarang. Ingat, usah bertangguh kerana bertangguh menyebabkan semua rancangan tidak menjadi.

Sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari. Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak kecederaan atau ketegangan otot.

Jadi usah bertangguh lagi. Fikirkan bahawa senaman ini bukan hanya memberi manfaat kepada anda seorang kerana ibu bapa yang sihat dan cergas dapat menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dengan lebih baik. Malah, anda juga secara tidak langsung merangsang anak untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat sejak kecil.

Berikut adalah 10 panduan untuk membantu anda menjadi lebih cergas:
  Berfikiran positif. Katakan pada diri sendiri ‘saya boleh lakukannya’. Percaya bahawa anda boleh membuat perubahan positif dalam hidup.
  Buat sasaran realistik. Mulakan senaman dengan berjalan cepat selama 10 hingga 15 minit sehari. Tingkatkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari apabila anda berasa lebih selesa. Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, jangan mengharapkan berat badan turun mendadak selepas seminggu bersenam.

Penurunan berat badan yang selamat ialah kira-kira 0.5 kilogram seminggu atau dua kilogram sebulan. Simpanan lemak adalah tenaga paling sukar dibakar, tetapi ia berkurangan melalui senaman teratur dan kerap.

Usah terlalu bimbang dengan berat badan kerana bagi pakar senaman, berat hanya sekadar nombor akibat tarikan graviti. Berat badan seorang ahli sukan yang berbadan mantap biasanya lebih tinggi berbanding orang yang mempunyai ketinggian sama dengannya.

Ini kerana ahli sukan berkenaan mempunyai lebih banyak otot berbanding orang yang jarang bersenam. Otot ini lebih berat daripada lemak. Justeru, jangan terlalu risau jika berat anda berkurang dengan perlahan kerana senaman memperbaiki bentuk badan secara keseluruhan.
  Banyakkan bergerak setiap hari. Setiap pergerakan memberi sumbangan kepada kesihatan. Justeru, anda perlu bijak untuk menjadi lebih aktif seperti menaiki tangga dan banyakkan berjalan di dalam pejabat.
  Selang-selikan senaman kardio (seperti berjalan cepat, berbasikal, bermain badminton, menari atau jogging) dengan senaman mengangkat beban untuk memberi cabaran baru kepada badan.
  Jika anda tidak boleh bersenam 30 minit sekali gus, pecahkan waktu senaman kepada dua atau tiga sesi. Kesannya masih sama seperti anda bersenam 30 minit secara berterusan.
  Bersenam mengikut kemampuan sendiri. Usah cuba menandingi orang lain kerana keupayaan dan tahap kesihatan setiap individu adalah berbeza. Berhenti bersenam jika anda tercungap-cungap, berasa pening atau seolah-olah mahu muntah kerana ia menandakan anda bersenam keterlaluan. Senaman dianggap mencukupi jika anda berasa mengah tetapi masih boleh bercakap.

Jika anda ada masalah kesihatan, dapatkan nasihat doktor terlebih dulu, terutama bagi individu yang menghidap kencing manis, bagi mengelak masalah hipoglisemia (paras gula menjadi terlalu rendah) ketika bersenam.
  Pelbagaikan senaman anda dan lakukan aktiviti digemari. Ini cara terbaik untuk mengekalkan senaman sebagai rutin harian selain memberi cabaran baru kepada badan.
  Bersenam sambil mendengar muzik. Muzik membuatkan anda lebih bersemangat untuk bersenam. Menari mengikut alunan muzik juga antara senaman yang baik dan boleh dilakukan bersendirian di rumah. Tidak mengapa jika anda tidak pandai menari; asalkan ada pergerakan badan ia sudah memadai.
  Cari kawan jika boleh. Bersenam dengan kawan memang lebih menyeronokkan. Bagaimanapun, usah terlalu bergantung kepada jadual rakan. Lakukan sendiri jika kawan tidak dapat menemani anda.
  Buat catatan hasil atau perkembangan anda. Catatan ini boleh dalam bentuk ukuran saiz badan atau timbangan berat.

Panduan menjadi cergas
  Berfikiran positif
  Buat sasaran realistik. Mulakan senaman dengan berjalan cepat selama 10 hingga 15 minit sehari
  Banyakkan bergerak setiap hari
  Selang-selikan senaman kardio
  Jika anda tidak boleh bersenam 30 minit sekali gus, pecahkan waktu senaman kepada dua atau tiga sesi
  Bersenam mengikut kemampuan sendiri
  Pelbagaikan senaman anda dan lakukan aktiviti digemari
  Bersenam sambil mendengar muzik
  Cari kawan jika boleh. Bersenam dengan kawan memang lebih menyeronokkan

  Buat catatan hasil atau perkembangan anda



No comments: