Wednesday, July 23, 2014

SEL STEM GANTIKAN SEL JANTUNG

PADA September 2006, seorang lelaki, dikenali sebagai Benjamin, berusia 75 tahun, mendapat serangan jantung yang teruk di Indonesia. 

Di sana, dia dimasukkan ke sebuah hospital sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Singapura, dan tinggal di situ selama sepuluh hari. 

Jantungnya gagal berfungsi ditambah pula kesukaran bernafas berikutan paru-parunya mengandungi air. Tekanan darahnya juga rendah walaupun menjalani terapi ubat pada tahap maksimum. 

Benjamin dimaklumkan dia mengalami kegagalan jantung yang serius (jantung berfungsi pada tahap 19 peratus sahaja) dan keadaannya terlalu serius serta rumit untuk dirawat. 

Benjamin seterusnya dihantar pulang ke Medan di mana keadaannya semakin teruk. 

Dia dinasihatkan oleh rakan-rakan supaya pergi ke Pusat Perubatan HSC di Kuala Lumpur yang didakwa rakan-rakannya itu terkenal dengan rawatan dan teknologi untuk mendiagnosis dan merawat pesakit jantung. 

l Prognosis, sangat lemah
 
Apabila Benjamin tiba ke Kuala Lumpur, dia begitu lemah kerana telah dimasukkan ke hospital hampir sebulan di Singapura dan Indonesia. 

Dia begitu lemah dan sakit untuk mengikuti prosedur rawatan dan dimasukkan ke dalam wad sementara doktor cuba untuk menstabilkan keadaannya. 

Bagaimanapun, kesihatannya terus merudum, menjadi teruk dan prognosisnya amat lemah. 

"Saya mengadakan perbincangan dengan keluarga Benjamin, termasuk anak perempuannya yang juga seorang doktor, dan membuat keputusan sekiranya keluarganya membiarkan Benjamin begitu sahaja dikhuatiri mereka akan kehilangannya. 

"Walaupun risikonya tinggi, namun kita memutuskan untuk melakukan prosedur jantung dalam dua peringkat," kata Dr. Soo Chee Seong , Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan HSC. 

PUAS DIET, SENAM TAPI TAK KURUS?

SUDAH cuba pelbagai cara untuk kurus tetapi tidak berhasil? Sudah puas bersenam, berpuasa, mengurangkan kalori malah menggunakan teknik laser dan sedut lemak, tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan? 

Jika segala usaha terbabit tidak memberikan sebarang hasil, maknanya anda berhadapan dengan situasi obesiti degil. 

Apabila seseorang dilanda obesiti degil dia selalunya mengalami sindrom montel yang menyebabkan wajah seseorang itu berubah menjadi montel. 

Wajah yang comel akan menjadi bulat dan kembang. Dada yang bidang juga turut kembang dan hilang bentuk. Malah sesetengahnya mengalami gynecomastia iaitu pembesaran buah dada tidak terkawal. Buah dada membesar dan melendut tanpa kolagen menyebabkan ia hilang rupa bentuk asal. 

Sindrom montel juga menjadikan pinggang seseorang membesar dan ukur lilit belakang meningkat. Kalau diamati bentuk tubuh seseorang tampak seperti lelaki apabila terkena sindrom montel. 

Seseorang yang menghidap sindrom montel sering merasakan dirinya tertekan kerana wajah jadi tidak cantik akibat pengumpulan lemak sekeliling muka dan dagu berlapis. 

Mereka menyangka perubahan wajah itu boleh di atasi dengan penggunaan mekap yang tebal atau kosmetik yang mahal. 

WANITA SIHAT LEBIH POSITIF

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.

Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza. Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.

Menurut Pegawai Perubatan, Dr. Asmah Musa, penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 40-an dan menjadi mimpi ngeri bagi golongan wanita muda.

"Ia sering dikaitkan dengan menopaus. Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan. Jika wanita memiliki kesihatan yang maksimum, sudah tentu mereka lebih positif berhadapan dengan masalah ini.

"Antara simptom yang akan merubah wanita 40-an mengalami proses penuaan adalah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik nak tidur dan mudah sangat nak tidur. Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada," ujarnya

KEAJAIBAN PROTEIN

SEBELUM ini anda mungkin sering mendengar bahawa protein adalah nutrien yang penting dan bermanfaat untuk kesihatan anak anda. Namun, tahukah anda bagaimana ia membantu pertumbuhan dan perkembangan?

Protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu mata anak anda untuk melihat, mengecutkan otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan anak anda menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan. Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak anda tidak akan mempunyai strukturnya.

Peranan penting protein

* Menggantikan sel-sel dan tisu yang mati atau rosak.

* Mengawal proses badan (sesetengah hormon tetapi bukan semuanya adalah protein).

* Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair badan.

* Mengangkut bahan-bahan seperti lipid, vitamin, mineral dan oksigen ke seluruh badan.

* Melindungi badan terhadap penyakit melalui antibodi dan menguatkan sistem imun badan.

Sumber protein

Protein dalam diet kita boleh didapati daripada dua sumber utama iaitu protein haiwan (contohnya susu, telur, daging dan ikan) dan protein tumbuhan (contohnya bijirin, kacang, kekacang dan produk soya). Protein haiwan adalah lebih lengkap secara biologi daripada protein tumbuhan kerana protein haiwan mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh badan. Walaupun protein tumbuhan adalah protein yang tidak lengkap, ia adalah pengganti yang baik untuk daging atau protein haiwan. Tambahan pula, jika dua protein tumbuhan seperti kekacang dan bijian atau kekacang dan kacang/biji dicampur bersama, ia akan saling melengkapi dan membekalkan semua asid amino penting yang diperlukan untuk seseorang individu.

Kesan Makan Maggi Terhadap Kesihatan

Mee segera merupakan mee separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya di makan setelah dimasak atau direndam dengan air panas selama beberapa minit. Makanan ini amat “popular” di kalangan orang bujang mahupun golongan yang sedang “kekeringan” poket..

0za5Namun begitu tahukah anda, di sebalik kesedapan dan keenakan mee segera yang mempunyai pelbagai perisa itu sebenarnya kurang sihat sekiranya dimakan dalam kuantiti yang banyak dan secara berterusan.Bayangkan kandungan di dalam bahan perencah mee tersebut mengandungi kadar MSG yang tinggi dan garam yang tinggi. Bahan perisa ini mempunyai pelbagai kesan negatif kepada kesihatan terutama terhadap fungsi buah pinggang. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa individu yang alah kepada MSG mengalami panas dada, perubahan warna wajah kepada sedikit merah atau sakit kepala yang melampau setelah mengambil produk yang mengandungi MSG yang tinggi.

Selain itu, kandungan dioxin dan plasticizers yang terkandung dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk atau cawan) juga dikatakan mampu mempertingkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna. Bahan kimia yang terlarut dalam air panas akan menjadi bahaya sekiranya di makan dari mangkuk secara terus.

Jangan lupakan juga teknik memasak mee segera anda. Tahukah anda, kandungan wax yang menyelaputi mee segera mengambil masa selama 4-5 hari untuk mencernanya. Bagaimana pula dengan kesan terhadap ibu mengandung dan kanak-kanak?

TEKANAN DARAH RENDAH

PERNAHKAH anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada?

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa keadaan tersebut terjadi dan pernahkah terfikir bahawa anda mempunyai masalah kesihatan? 

Lazimnya apabila situasi tersebut berlaku, masyarakat hanya menganggap perkara tersebut hanyalah sesuatu yang biasa kerana ia tidak berpanjangan.

Tetapi tahukah anda, perkara yang dianggap sesuatu yang biasa itulah kadang kala mampu mengundang risiko di luar jangkaan.

Ini kerana senario di mana anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada menandakan tekanan darah ketika itu adalah rendah.

Dan tahukah anda bahawa sekiranya anda mengalami tekanan darah rendah, ia menandakan bahawa anda mungkin menghidap penyakit-penyakit tertentu yang boleh memudaratkan anda?

Menurut Perunding Kardiologi, Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr. Ismail Yaakob, penyakit tekanan darah rendah atau hipotensi merupakan satu keadaan yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak dibandingkan dengan tekanan darah tinggi.

Tambah beliau, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah di mana bermaksud sama ada salah satu bacaan bahagian atas (sistolik) kurang daripada 90 dan tekanan bawah (diastolic) kurang daripada 60 mmhg atau kedua-duanya kurang daripada angka tersebut.

KUNYIT MERAWAT DIABETES

MUNGKIN ramai yang tidak menyedari begitu banyak herba di dapur dan halaman rumah yang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit.
Herba yang telah digunakan secara turun-temurun ini semakin dilupakan kerana ilmunya tidak diwarisi.
Tambahan pula, kebanyakan generasi muda menganggap bahan herba hanya sebagai tumbuhan hiasan atau bahan masakan semata-mata.
Sebagai contoh, kunyit ialah ‘herba’ yang sangat bagus untuk membantu fungsi dan pemulihan badan dalam menghadapi masalah diabetes, kolesterol, masalah kulit, radang sendi dan kesihatan hati.
Bahan aktif di dalam kunyit dikenali sebagai curcuminoids juga telah dikenal pasti dapat membantu untuk penyakit alzheimer, multiple myeloma, kanser kolon dan kanser pankreas.

Menariknya, penggunaan kunyit dalam kebanyakan masakan masyarakat India dipercayai berkait rapat dengan keupayaannya memulihara fungsi kecergasan otak seseorang. 

"Walaupun kebanyakan kajian yang dijalankan ke atas tumbuhan herba dan rempah-ratus hanyalah pada peringkat awal, tiada buruknya jika menambahkan rempah-ratus dalam diet harian anda," kata pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker.

Tambah beliau, penggunaan herba-herba dan rempah-ratus bukan sahaja memperkayakan perisa makanan tetapi juga meningkatkan khasiat kesihatan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes. 

"Ramuan tersebut dapat melipat gandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa. 

"Kunyit juga dapat membantu mengawal masalah obesiti. Ini secara langsung dapat mencegah penyakit yang berpunca daripada kegemukan seperti diabetes," jelasnya.

Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di Thailand kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung. 

Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel badan.

Pendek kata, mengamalkan pemakanan kunyit ini seumpama memakan ubat sebelum sakit.

USUS SIHAT

MEMBERI makanan seimbang dan sihat kepada kanak-kanak bermula ketika mereka masih dalam kandungan lagi.

Ibu bapa berperanan memastikan anak-anak mereka tetap mendapat khasiat dan nutrien seimbang sepanjang tempoh tumbesaran anak. 

Ini kerana kanak-kanak yang dibekalkan dengan nutrien seimbang akan membesar sebagai kanak-kanak yang sihat dan cergas.

Pakar pemakanan dan pensyarah klinikal kanan dari International Medical University Kuala Lumpur, Goo Chui Hoong berkata, pengambilan nutrien dan diet seimbang membantu kanak-kanak menjalani kehidupan dengan sihat dan sempurna. 

Katanya, makanan yang diambil dalam kategori makanan padat ataupun cecair akan mempengaruhi saiz najis, warna, konsisten dan kekerapan pembuangan najis.

“Untuk memastikan mereka membuang air besar dengan cara normal, galakkan mereka mengambil makanan yang kaya dengan fiber seperti buah-buahan dan sayuran. Makanan ini selain sihat, ia juga membantu sistem penghadaman berjalan lancar.

KUNYIT PAKEJ LENGKAP UNTUK KESIHATAN

KEGUNAAN kunyit dalam bidang tradisional telah bermula sejak 2,500 tahun dahulu. Walaupun kunyit atau lebih dikenali sebagai curcumin terkenal dalam bidang masakan, rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Sifat anti kanser kunyit 

Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon.

Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad.

Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri.

Dalam pada itu, pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker memberitahu, kunyit mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai curcumin yang berperanan mencegah penyakit berprofil tinggi seperti kanser payudara, prostat dan mengurangkan kolesterol dalam badan.

"Curcumin bersifat antioksida dan ia juga mampu menguatkan sistem imunisasi dalam badan seseorang bagi mengelak serangan penyakit jika diambil secara berterusan.

"Penyebab kanser yang terdiri daripada radikal bebas boleh dineutralkan oleh fungsi antioksidan yang terdapat dalam herba unik ini," jelas Gerard yang berpengalaman melakukan kajian tentang khasiat kunyit sejak 10 tahun lalu.

TIDUR UBAT PALING MUJARAB




Dapatkan tempat yang sunyi dan bersih agar tiada orang lalu-lalang atau deringan telefon mengganggu tidur anda.
TIDUR bola, makan bola, mandi bola, apa pun bola. Bermulanya Piala Dunia 2014 menandakan kehangatan demam bola kepada jutaan peminat sukan berkenaan di seluruh negara.

Sudah pasti dalam tempoh tinggal hampir tiga minggu inilah 'kaki-kaki bola' ini akan bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka yang kebanyakannya berlangsung pada awal pagi.

Di Suzhou, China baru-baru ini menyaksikan seorang peminat bola sepak mati dipercayai akibat kurang tidur selepas berjaga beberapa malam untuk menonton siaran langsung Piala Dunia.

Lelaki yang berusia 25 tahun itu ditemui mati di hadapan televisyen di rumahnya di Suzhou berhampiran Shanghai.

Perbezaan waktu antara Suzhou dan Brazil ialah 11 jam.

Ini bermakna peminat bola sepak di China perlu berjaga sepanjang malam untuk mengikuti perlawanan Piala Dunia, lapor laman web Yahoo Sports.

Doktor memberitahu, kematian itu berkaitan dengan kurangnya tidur.

Menurut Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Raymond Tan Suan Kuo, tidur ialah merehatkan badan dan minda beberapa jam pada waktu malam ketika sistem saraf tidak aktif, mata ditutup dan otot postur berehat.

Bagaimana jika keadaan sebaliknya berlaku apabila kita kurang atau tidak tidur? Sudah tentu seseorang yang kurang tidur boleh menyebabkan memori terganggu dan keletihan bahkan mampu membawa kepada risiko-risiko buruk yang lain.

Sebenarnya, masalah ini dapat di atasi jika anda tidur seketika pada waktu siang.

Pun begitu, masih ramai menganggap bahawa tidur seketika pada waktu siang merupakan sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur seketika dapat menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Amalan ini telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat dan umat Islam sejak dahulu.

CUKUP OKSIGEN ELAK PENYAKIT

PENCEMARAN udara di sekeliling menyebabkan manusia kekurangan oksigen di dalam badan.

Kebanyakan penyakit pada era moden berpunca daripada kekurangan oksigen di dalam darah, otak dan organ lain. Keadaan ini berlaku hampir di seluruh dunia.

Oksigen membantu tubuh untuk meregenerasi sel, membantu membesarkan daya penyerapan nutrisi, meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan meneutralkan zat-zat beracun di dalam darah.

Authur C. Guyton, M.D. dalam bukunya The Textbook on Medical Physiology mengatakan bahawa semua penyakit kronik berpunca daripada kekurangan oksigen yang berlaku di peringkat sel.

Oleh itu, oksigen merupakan kunci kepada kehidupan. Kita boleh hidup beberapa hari tanpa makanan dan air tetapi kita tidak dapat hidup secara purata selama empat minit sahaja tanpa oksigen.

Bahkan, sel-sel otak kita akan mati dalam waktu 15 hingga 20 saat sahaja tanpa adanya oksigen. Hal ini kerana setiap sel dalam tubuh manusia amat memerlukan oksigen untuk pertumbuhan dan sel terus hidup.

Manfaat oksigen pada sudut kesihatan tidak kurang pentingnya kerana dapat meningkatkan daya ingatan dan kecerdasan otak, mencegah kanser, asma dan pelbagai penyakit kronik lain.

Selain itu, ia dapat meningkatkan metabolisma tubuh, mengurangkan racun dan toksin dalam darah serta menstabilkan tekanan darah.

Di samping itu, oksigen juga berperanan untuk memperkuatkan jantung dan sistem pertahanan tubuh.