PERNAHKAH anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada?
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa keadaan tersebut terjadi dan pernahkah terfikir bahawa anda mempunyai masalah kesihatan?
Lazimnya apabila situasi tersebut berlaku, masyarakat hanya
menganggap perkara tersebut hanyalah sesuatu yang biasa kerana ia tidak
berpanjangan.
Tetapi tahukah anda, perkara yang dianggap sesuatu yang biasa itulah kadang kala mampu mengundang risiko di luar jangkaan.
Ini kerana senario di mana anda terasa hendak pitam atau pening
ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan
kepada menandakan tekanan darah ketika itu adalah rendah.
Dan tahukah anda bahawa sekiranya anda mengalami tekanan darah
rendah, ia menandakan bahawa anda mungkin menghidap penyakit-penyakit
tertentu yang boleh memudaratkan anda?
Menurut Perunding Kardiologi, Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr.
Ismail Yaakob, penyakit tekanan darah rendah atau hipotensi merupakan
satu keadaan yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak
dibandingkan dengan tekanan darah tinggi.
Tambah beliau, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah di mana
bermaksud sama ada salah satu bacaan bahagian atas (sistolik) kurang
daripada 90 dan tekanan bawah (diastolic) kurang daripada 60 mmhg atau
kedua-duanya kurang daripada angka tersebut.
Tekanan darah rendah
Katanya lagi, tekanan darah rendah merupakan suatu situasi yang boleh
dirawat dan apa yang penting adalah untuk mengetahui apakah punca
sebenar berlakunya tekanan darah rendah.
Begitupun, Dr. Ismail mengingatkan bahawa tekanan darah sebenarnya
dipengaruhi oleh banyak faktor seperti emosi, tahap tekanan, aktiviti
fizikal, keadaan semasa (demam atau tidak), saiz tubuh badan, posisi
badan, makanan yang diambil serta suhu persekitaran.
Dan disebabkan itulah bacaan tekanan darah boleh berubah-ubah dalam
selang masa yang singkat dan kebiasaannya bacaan tekanan darah lebih
rendah pada waktu malam.
Antara penyebab tekanan darah rendah adalah berlakunya kekurangan
volum darah (cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang
tidak boleh terkawal), dehidrasi (yang mengurangkan kandungan cecair
dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit), dan masalah
jantung (denyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang
terlalu lambat dan keadaan otot yang lemah), kehamilan, dan sebagainya.
Dr. Ismail turut menjelaskan tekanan darah rendah adalah berpunca
daripada pelbagai penyakit yang telah sedia ada seperti penyakit jantung
koronari, lemah jantung, gangguan rentak jantung, masalah injap
jantung, penyakit buah pinggang, kencing manis yang tidak terkawal,
paras gula rendah, penyakit berkaitan sistem endokrin seperti penyakti
adrenal dan tiroid, serta kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang
diambil selain faktor genetik.
Ia juga tidak terkecuali kepada mereka yang mengalami alahan yang
teruk dan situasi ini boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.
Tekanan darah rendah boleh mengakibatkan setiap organ daripada badan
tidak mendapat aliran darah yang mencukupi dalam masa yang singkat dan
akibat daripada ini timbulnya gejala atau simptom hipotensi.
Dan sekiranya keadaan ini berlaku pada bahagian otak (tidak dapat
bekalan darah yang diperlukan) pesakit boleh pitam atau pengsan.
Tetapi perlu dinyatakan di sini bahawa tekanan darah boleh
berubah-ubah dalam tempoh masa yang sekejap sahaja di mana ianya boleh
naik ataupun turun dan mengukur tekanan darah amat penting bagi
menunjukkan tahap kesihatan seseorang itu," ujarnya ketika ditemui,
baru-baru ini.
Ujian tekanan
Berbicara lanjut mengenainya, Dr. Ismail menyatakan, ujian tekanan
darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan dan bagi
tekanan darah normal dan optimal adalah sekitar 120/80 mmHg.
Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung
atau sistolik di mana jantung ketika ini mengecut dan nombor 80 pula
menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman
dipanggil diastolik dan ketika ini jantung mengembang dan apabila salah
satu bacaan ini rendah, menandakan tekanan darah anda rendah.
Bagaimanapun Dr. Ismail memberitahu, masalah timbul apabila tekanan
darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit
berkaitan dengan pendarahan akut, kurang darah (anemia), kandungan gula
yang rendah atau jangkitan kuman.
Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak
atau dikatakan sebagai perubahan akut, menunjukkan sesuatu yang tidak
normal.
Keadaan ini amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen
di tempat penting seperti jantung dan otak yang boleh menyebabkan
pesakit pitam atau lebih teruk, pengsan.
Justeru, darah mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk sampai ke
otak dan situasi ini dipanggil hipotensi postural malah anda boleh juga
terasa pening jika anda berbaring terlalu lama.
Katanya lagi, adalah dinasihatkan jika anda mengalami simptom tekanan
darah rendah seperti rasa pening atau loya dan adalah sangat penting
untuk anda berjumpa dengan doktor kerana ia bukan hanya untuk tahu
kenapa tekanan rendah terjadi tetapi pesakit juga perlu tahu berapa
cepat tekanan darah mereka menurun dalam satu-satu masa dan ini penting
untuk mengelak perkara yang lebih serius terjadi.
Tekanan darah rendah juga boleh menyebabkan kematian dalam sesetengah
keadaan, namun sebab-sebab lain mengapa anda mungkin berasa pening
perlu diselidik.
Antara ujian yang doktor lakukan kepada pesakit yang mengalami
tekanan darah rendah ialah ujian darah melihat kepada paras gula,
kolesterol, hemoglobin, fungsi buah pinggang, ujian elektrokardiogram
(ECG), echocardiogram iaitu ultrasound jantung, dan ujian tekanan
(stress test).
Untuk kes-kes tertentu ujian yang lebih spesifik perlu dilakukan
seperti ujian paras hormon, ujian tilt table, dan ujian menuver
valsalva.
Masyarakat hari ini tidak peka atau kurang kesedaran mengenai
tekanan darah rendah kerana mereka tidak nampak risiko yang bakal
dihadapi pada masa akan datang.
Cuma sekiranya mereka mempunyai gejala atau tanda-tanda awal seperti
cepat lelah, pening kepala ketika posisi badan berubah, sukar untuk
berkonsentrasi, mata berkunang-kunang, mual, kulit berasa dingin, pucat
dan lembap, pernafasan cepat dan pendek, berpeluh sejuk, dan cepat haus,
segeralah berjumpa dengan doktor kerana ia pastinya ada sesuatu yang
tidak kena dengan anda," tuturnya lagi.
Dr. Ismail juga menyatakan bahawa tekanan darah rendah ini sering
terjadi kepada wanita-wanita hamil kerana hormon kehamilan iaitu
progesteron merehatkan dinding salur darah dan menyebabkan tekanan darah
menurun dan tekanan darah biasanya kembali normal selepas bersalin.
Jadi sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti yang
dinyatakan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan
lanjut.
No comments:
Post a Comment