Selain kelihatan pelik dan hodoh, individu pasti menyangka benjolan
tersebut berkemungkinan terjadi disebabkan oleh serangan penyakit yang
serius.
Bagaimanapun, menurut Pakar Perundingan Bedah Ortopedik Pusat
Perubatan Tropicana Kota Damansara, Selangor, Dr. Hisham Kunhimon,
individu tidak perlu risau kerana benjolan yang dikenali sebagai
ganglion cyst itu kerap berlaku dalam kalangan orang ramai dan tidak
mengundang bahaya.
Jelas Hisham, ganglion cyst merupakan sejenis penyakit ketumbuhan
benjolan kecil berbentuk cecair berdekatan sendi atau tendon pesakit.
“Penyakit ini lebih kerap berlaku kepada wanita yang berumur antara
15 hingga 45 tahun dan jarang berlaku pada kanak-kanak mahupun orang
tua.
“Walaupun penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan orang awam sejak
berabad yang lalu, namun pakar-pakar perubatan masih belum dapat
mengenal pasti punca sebenar kemunculan ketumbuhan di kawasan-kawasan
tersebut,” jelasnya.
Bagaimanapun ujar Hisham, terdapat beberapa teori yang berkemungkinan
boleh menjawab bagaimana ketumbuhan tersebut berlaku di sekitar kawasan
sendi dan tendon.
“Pertama, ia terjadi berkemungkinan disebabkan oleh tindak balas
badan terhadap kecederaan berulang di kawasan terlibat dan seterusnya
menghasilkan benjolan cecair.
“Kedua, ia juga boleh berlaku disebabkan oleh cecair yang keluar di
membran tendon atau kapsul sendi yang lemah dan akhirnya membentuk
satu benjolan cecair di bawah lapisan kulit,” jelasnya.
Jelas Hisham, bukan itu sahaja, penyakit ganglion cyst juga boleh
terjadi disebabkan oleh kekerapan pergerakan berulang yang dilakukan di
bahagian-bahagian tersebut.
Ganglion cyst amat kerap dihidap oleh ahli gimnastik, pemain biola
dan individu yang banyak menggunakan sendi-sendi tangan dalam menjalani
aktiviti harian mereka.
Tanda-tanda
“Di dalam benjolan ini terdapat cecair yang sama kandungannya dengan
cecair sendi seperti glukosamine, hyaluronat dan musin. Bagaimanapun,
cecair ini berketumpatan lebih pekat seperti jeli, berwarna jernih dan
tidak berbau.
“Lazimnya, benjolan tersebut mempunyai saiz berukuran antara 1 hingga
3 sentimeter. Ia kadangkala bersifat lembut mahupun keras, bergantung
kepada kuantiti kandungan cecair yang terdapat di dalam ketumbuhan
tersebut,” jelasnya.
Kira-kira 85 hingga 88 peratus ketumbuhan tersebut berlaku di sekitar
pergelangan tangan berdekatan pangkal ibu jari dan tulang jari manakala
selebihnya pula tumbuh di bahagian lutut dan pergelangan kaki.
Jelas Hisham, walaupun ketumbuhan tersebut tidak sukar dikesan dan
membentuk hampir 50 peratus daripada ketumbuhan dan benjolan di kawasan
tangan, namun beberapa simptom awal dapat menunjukkan seseorang diserang
penyakit ganglion cyst.
“Terdapat beberapa simptom yang menunjukkan serangan ganglion cyst
iaitu bengkak pada pergelangan tangan pangkal ibu jari, di pangkal kuku
tangan, di kaki dan lutut. Pesakit ada kalanya mengalami kesakitan
ketika melakukan pergerakan pada kawasan-kawasan tersebut.
“Bagaimanapun individu tidak perlu khuatir kerana ketumbuhan tersebut
tidak merbahaya atau menyebabkan serangan kanser,” jelasnya.
Tambah Hisham, disebabkan ganglion cyst berlaku di bahagian tendon,
pesakit kadangkala akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan kawasan
terlibat, disebabkan oleh geseran tendon di kawasan sekitar.
“Perkara tersebut bagaimanapun bergantung kepada individu. Jika
ketumbuhan tersebut kecil dan tidak banyak, ia tidak akan terasa sakit
dan individu hanya akan nampak benjolan yang ada kalanya bertambah besar
apabila melakukan aktiviti berat pada anggota yang terlibat.
“Bagaimanapun, jika ketumbuhan tersebut besar, ia akan menyukarkan
pergerakan seseorang dan pesakit akan sering mengalami kesakitan di
bahagian tersebut,” jelasnya.
Rawatan
Sekitar satu pertiga hingga setengah daripada ganglion cyst akan
hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan perubatan. Ini kerana,
ketumbuhan tersebut boleh membesar dan mengecut dengan sendirinya.
Bagaimanapun, sehingga kini, terdapat dua rawatan yang diaplikasikan terhadap pesakit yang mengalami ganglion cyst.
“Jika ketumbuhan tersebut kecil, pesakit akan dirawat menggunakan teknik sedutan picagari bagi mengeluarkan bendalir tersebut.
“Pesakit kemudian akan disuntik dengan suntikan kortiko steroid di kawasan tersebut bagi mengurangkan radang,” jelasnya.
Bagaimanapun, benjolan tersebut berpotensi untuk tumbuh semula.
No comments:
Post a Comment