|
SECARA normal, manusia memiliki 20 batang gigi pada usia kanak-kanak
dan 28 batang gigi apabila meningkat dewasa namun perkara itu tidak
berlaku kepada Ashiq Gavai.
Remaja berusia 17 tahun dari Buldana, India itu menghidap masalah
pertumbuhan gigi abnormal yang menyebabkan ratusan gigi luar biasa
tumbuh pada gusinya.
Menurut Gavai, sebelum dibedah, dia sering mengalami sakit gigi,
malah rahang sebelah kanannya turut membengkak sehingga menyangkakan
kesakitan itu mungkin disebabkan oleh penyakit kanser.
“Meskipun telah beberapa kali ke hospital, namun doktor tidak dapat
mengenal pasti punca sebenar penyakit ini. Saya sudah berputus asa dan
hanya memikirkan soal mati,” ujarnya seperti dipetik portal Mumbai
Mirror.
Gavai terpaksa menahan kesakitan itu selama 18 bulan sebelum dirujuk ke Hospital Jamsetjee Jejeebhoy di Mumbai.
Gigi ‘mutiara’
Kes Gavai kemudiannya diambil oleh Ketua Bahagian Pergigian hospital berkenaan iaitu Dr. Sunanda Dhivare-Palwankar.
Malangnya, doktor itu juga tidak dapat mengenal pasti masalah yang
dihadapi Gavai sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menjalankan
pembedahan ke atas remaja itu.
Persoalan di sebalik kesakitan yang dialami Gavai terjawab apabila
mereka menemui 232 batang gigi dalam pelbagai bentuk dan saiz pada
rahang kanan remaja itu.
Menurut Dhivare-Palwankar, prosedur pembedahan yang mengambil masa
lebih tujuh jam itu tidak dapat dijalankan secara normal sebaliknya
terpaksa menggunakan peralatan seperti tukul dan pahat untuk
mengeluarkan lebihan gigi.
“Kami menyangkakan pembedahan ini mudah, namun sebaik sahaja mulutnya
dibedah, kami mendapati terdapat beberapa lapisan gigi seperti mutiara
tumbuh di dalam tulang rahangnya. Selepas lapisan itu dibuang, kami
turut menemui struktur seakan-akan marmar yang besar di bahagian
berkenaan.
“Tiada apa yang boleh dibuat melainkan memahat ‘ketumbuhan’ itu
kepada bentuk yang lebih kecil supaya ia mudah dikeluarkan,” jelasnya
sambil memberitahu, gigi bongsu Gavai juga terpaksa dibuang dalam
prosedur pembedahan intra-oral itu.
Gavai kini memiliki 28 batang gigi seperti orang dewasa normal.
Sementara itu, salah seorang pakar bedah yang terbabit dalam
pembedahan itu, Dr. Vandana Thorawade berkata, prosedur itu mungkin
dianggap sebagai rekod pembedahan dunia.
“Kami khuatir pembedahan itu akan mengakibatkan rahang Gavai pecah.
Kami terlebih dulu menyediakan plat rahang dan skru sekiranya berlaku
kecemasan, namun ajaibnya tulang rahangnya masih kuat dan berada dalam
keadaan baik,” katanya.
Gigi tambahan
Ujar Thorawade, peluang untuk tumor itu muncul semula tetap ada meskipun ia telah dibuang ketika pembedahan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak membahayakan nyawa dan boleh dirawat secara berperingkat-peringkat.
“Kami sudah mencuba sebaik mungkin untuk membuang setiap lebihan gigi
namun, mungkin masih ada cebisan tumor yang tertinggal. Hal ini boleh
menyebabkan ketumbuhan itu muncul semula. Justeru, Gavai disarankan
menjalani pemeriksaan kesihatan secara kerap supaya ia (tumor) boleh
dibuang pada peringkat awal,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Gavai didapati menghidap
penyakit odontoma kompleks yang merupakan sejenis tumor gigi akibat
ketumbuhan abnormal tisu odontogenik.
“Tumor yang jarang berlaku itu terbentuk daripada enamel, dentrin,
simentum dan tisu pulpa yang tidak teratur seperti bentuk gigi. Pesakit
lazimnya mengalami kesukaran untuk makan dan bercakap,” kata Thorawade.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan dan Institut
Sains Pergigian Panineeya, Telangana, India, penyakit odontoma terbahagi
kepada compound odontoma dan odontoma kompleks.
Katanya, odontoma kompleks adalah tumor yang sangat jarang berlaku serta sukar dikesan melainkan melalui pemeriksaan radiografi.
Menurut Thorawade, penyakit itu boleh terjadi pada dekad pertama dan kedua kehidupan iaitu sekitar umur 10 hingga 20 tahun.
No comments:
Post a Comment