Sunday, December 21, 2014

TELINGA BERDESING PETANDA NEUROMA AKUSTIK























UJIAN pendengaran menggunakan audiometri boleh mengesan dan mengesahkan 
gejala hilang pendengaran selain melakukan ujian keseimbangan badan. – Gambar hiasan

Neuroma akustik adalah sejenis ketumbuhan yang terjadi pada saraf pendengaran (koklea). Saraf pendengaran adalah salah satu daripada 12 saraf kranial yang terdapat pada bahagian otak dan kepala seseorang.

Saraf itu juga dikenali sebagai saraf vestibulokoklea kerana ia terdiri daripada dua komponen saraf iaitu saraf vestibular (ke­seimbangan) dan koklea.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Irfan Mohamad, saraf itu berfungsi untuk mengkonduksi impuls elektrik yang dijana di bahagian telinga dalam dan berperanan untuk kebolehan mendengar dan mengimbangkan badan seseorang.

“Neuroma akustik merupakan ketumbuhan melibatkan saraf vestibular dan sebilangan kecil saraf koklea. Ia lebih kerap terjadi pada saraf bahagian vestibular berbanding bahagian koklea.

“Ada juga pakar yang merujuk­nya sebagai vestibular schwannoma. Oleh kerana saraf kranial kelapan ini melalui rongga dan kawasan sempit dalam bahagian tulang tengkorak, kewujudan dan pertambahan saiznya akan menghasilkan tanda klinikal yang agak signifikan.

“Lokasi neuroma akustik se­ring terjadi pada bahagian antara otak kecil (serebelum) dan pons atau lebih dikenali sebagai sudut cerebellopontine.

“Hampir 80 peratus ketumbuhan yang terdapat di kawasan ini daripada jenis neuroma akustik. Selain itu, ia juga kerap ditemui dalam satu struktur berbentuk te­rowong yang dinamakan internal acoustic meatus yang terletak dalam tulang tengkorak di sisi kepala yang dinamakan tulang temporal,” jelas­nya sambil memberitahu, terowong itu dilalui oleh saraf vestibulokoklea di samping saraf muka iaitu saraf kranial ketujuh.





Pertumbuhan perlahan


Katanya, kekerapan tumor jenis itu ditemui di klinik-klinik adalah rendah dengan hanya sekitar satu kes bagi setiap 100,000 orang.

“Terdapat juga kes terutamanya dalam kalangan pesakit warga emas yang tiada simptom dan mereka menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk penyakit lain yang secara kebe­tulan menunjukkan ada berlakunya neuroma akustik kecil.

“Faktor risiko termasuklah kesan radiasi lampau untuk penyakit lain seperti kanser bahagian kepala serta ada kaitan dengan pesakit yang mempu­nyai latar belakang penyakit saraf tertentu dikenali sebagai neurofibromatosis tahap dua.

“Dalam kalangan pesakit ini, biasanya pe­nyakit ini ditemui pada kedua-dua belah bahagian. Majoriti kes penyakit ini menunjukkan kadar pertumbuhan yang amat perlahan walaupun ada kes yang mencatatkan pertambahan saiz sekali ganda dalam tempoh enam bulan atau setahun,” tambahnya.

Irfan memberitahu, kesan langsung kepada saraf koklea dan saraf muka yang berdekatan juga boleh menyebabkan berlaku kurang pendengaran jenis sensori serta muka menjadi tidak simetri.

“Kehilangan pendengaran sebelah telinga pula merupakan tanda yang paling kerap dialami oleh pesakit. Ada juga pesakit yang mengalami gejala telinga berdesing atau tinitus,” ujarnya sambil memberitahu, pesakit dinasihatkan untuk mendapat ra­watan pakar sekiranya mengalami gejala telinga berdesing dalam tempoh lama.

Audiometri

Jelasnya, kehadiran ketumbuhan itu juga boleh memberi tekanan kepada struktur lain di dalam otak seperti salur darah, saraf mata dan sistem saraf tunjang.

“Ujian pendengaran menggunakan audiometri boleh mengesan dan mengesahkan gejala hilang pendengaran, selain melakukan ujian keseimbangan badan.

“MRI amat diperlukan untuk melihat kewujudan ketumbuhan di bahagian sudut cerebellopontine kerana ia lebih jelas berbanding CT Scan,” katanya.

Ujarnya, penyakit itu boleh dirawat melalui kaedah pembedahan tetapi beberapa perkara perlu diambil kira sebelum pilihan pembedahan dibuat.

“Antaranya, umur dan status kesihatan pesakit, saiz dan lokasi tumor, status pendengaran dan persetujuan pesakit itu sendiri. Perbincangan yang teliti harus dijalankan berkenaan keperluan pembedahan serta jenis pembedahan yang akan dilakukan,” jelasnya.

1 comment:

WONG MEDICAL CENTRE said...

Nice video. Thank you for the information. We are provide rehabilitation for stroke patient. we are using two method which is combination of physiotherapy treatment and acupuncture. For further information can call us at 0124520077