Sunday, December 21, 2014

WANITA GEMUK LEBIH CENDERUNG HIDAP KANSER



OBESITI secara signifikan dilihat dapat meningkatkan risiko 
menghidap kanser dalam kalangan wanita.


BERAT badan berlebihan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit barah.
Hasil penelitian yang dijalankan di Institut Kanser Barts di Universiti Queen Mary, London, Britain, mendapati, golongan wanita obesiti lebih berisiko menghidap kanser berbanding lelaki dengan masalah serupa.

Kajian yang diterbitkan oleh Dana Penyelidikan Kanser Dunia dalam jurnal Lancet Oncology itu turut mendapati, golongan wanita yang mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 25 berisiko menghidap kanser rahim berbanding mereka yang mempunyai BMI ideal.

Salah seorang penyelidik, Dr. Matthew Lam memberitahu, obesiti secara signifikan dapat meningkatkan risiko menghidap barah payudara serta kanser kolon dalam kalangan wanita yang telah menopaus.

“Sebelum menopaus, hormon estrogen dihasilkan untuk menebalkan lapisan dinding uterus sebagai persediaan untuk ovulasi. Pada masa yang sama, hormon progesteron juga turut dihasilkan bagi memudahkan lapisan rahim luruh ketika haid.

“Estrogen dihasilkan daripada lemak tubuh dan ini bermakna semakin banyak sel lemak yang dimiliki, semakin banyak estrogen yang dihasilkan.

“Selepas putus haid, wanita dengan lemak tubuh berlebihan akan terus menghasilkan estrogen dalam jumlah yang tinggi sedangkan ia tidak memberi kesan kepada progesteron. Ini mungkin akan mencetuskan penyakit kanser rahim,” jelasnya.

Tambahnya, hormon estrogen yang tinggi selepas menopaus juga akan meransang pertumbuhan sel abnormal di bahagian buah dada sehingga boleh menyebabkan barah payudara.

No comments: