Makanan terbukti sebagai komponen utama mempengaruhi tahap glukosa dalam darah pesakit diabetes. Oleh itu, perhatian perlu diberikan kepada makanan diambil terutama yang mengandungi karbohidrat.
Pengambilan makanan yang betul adalah penting bagi merawat dan mengurus penyakit diabetes. Garis panduan pemakanan diabetes bertujuan membantu pesakit di bawah seliaan pakar agar mengamalkan pemakanan sihat dan membantu mencegah kegemukan, obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) lain.
Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa berkata, tidak ada makanan yang khas untuk pesakit diabetes sedangkan mereka boleh menikmati makanan sihat seperti orang.
DR Norlaila
Namun, pengambilan makanan sihat dan seimbang adalah perlu bagi pesakit diabetis apabila mempunyai cukup kandungan karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin yang diambil secara terkawal.
“Pesakit diabetes dinasihatkan mengambil lebih sayuran mentah seperti ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang dan kacang. Sayuran berdaun dan serat akan melambatkan peningkatan glukosa dalam darah.
“Pesakit diabetes hendaklah berwaspada terhadap kandungan gula dalam makanan mereka agar aras glukosa dalam darah dapat dikawal. Elakkan minum susu pekat manis dan susu sejat kerana ia boleh meningkatkan glukosa darah, sebaliknya utamakan susu rendah lemak dengan pengambilan sederhana.
“Jika makan kuih-muih manis dan minum air bergula atau bersusu pekat manis, ia sudah pasti akan meningkatkan lagi tahap gula dalam darah. Oleh itu, utamakan air kosong kerana tidak mengandungi kalori, namun pesakit diabetes masih boleh minum teh dan kopi tanpa gula,” katanya.
Dr Norlaila berkata, objektif pengurusan pemakanan adalah mengekalkan aras gula pada tahap normal, mengurangkan aras kolesterol dalam darah dan mengelakkan komplikasi diabetes.
“Ada tiga kumpulan makanan dalam pengurusan pemakanan untuk pesakit diabetes. Kumpulan makanan yang perlu dielakkan seperti gula pasir, kuih manis, susu pekat manis dan minuman ringan.
“Kumpulan makanan yang bebas dimakan tetapi dalam kuantiti sederhana ialah air kosong, kopi kosong tanpa gula, pemanis tiruan, rempah ratus, semua jenis sayuran berdaun dan makanan berprotein.
“Kumpulan ketiga ialah makanan yang perlu disukat berikutan makanan terbabit mempunyai kanji yang boleh menaikkan aras glukosa dalam darah seperti bijirin, sayuran berkanji dan semua jenis buah-buahan,” katanya.
Beliau berkata, dalam menangani penyakit diabetes pesakit hendaklah bertindak bijak mengawal selera supaya tidak makan berlebihan terutama karbohidrat. Pesakit diabetes yang mengawal makanan, jenis makanan dan mengawal sukatan makanan berjaya menurunkan berat badan sekali gus membantu menurunkan aras glukosa dalam darah.
“Kementerian Kesihatan memperkenalkan kempen Pinggan Sihat Malaysia yang memberi panduan kepada pengguna mengenai kuantiti makanan yang perlu diambil dalam satu pinggan.
“Dalam pinggan sihat ini, suku pinggan adalah karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin dan ubi, suku pinggan lagi adalah protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang, manakala separuh pinggan adalah sayuran dan buah-buahan.
“Pesakit diabetes yang mengamalkan sukatan makanan dicadangkan, dapat menurunkan berat badan mereka dan menurunkan aras glukosa dalam darah. Kuncinya dengan membetulkan saiz setiap jenis hidangan,” katanya.
Katanya, kaedah berkenaan bukan sahaja membantu kurangkan gula dan menguruskan aras gula dalam darah tetapi ia membekal khasiat dan vitamin mencukupi, mengawal kadar obesiti dan memberi kekenyangan lebih lama.
Selain itu, pesakit diabetes perlu memahami jenis makanan menyebabkan peningkatan gula dengan ketara dan jenis makanan sesuai diambil tanpa bimbang.
Kegagalan mengurus pemakanan dengan baik akan mendedahkan pesakit diabetes kepada risiko tinggi mendapat komplikasi terhadap mata (retinopati), saraf (neuropati), buah pinggang (nefropati) dan pemotongan anggota kaki.
No comments:
Post a Comment