Pelbagai masalah penghadaman biasa mungkin mengganggu keceriaan anak kita. Ini termasuk kolik, cirit birit, alahan makanan, ketaktoleran laktosa, kembung, angin, sakit abdomen dan sembelit. Memelihara kesihatan penghadaman yang baik dapat mengurang atau mencegah beberapa masalah itu daripada berlaku kepada anak anda.
Antara perkara yang paling penting ialah mengekalkan keseimbangan mikroflora usus untuk membantu anak anda memelihara kesihatan penghadamannya serta mencegahnya daripada mendapat jangkitan, keradangan dan penyakit alahan.
Sebaliknya, keseimbangan mikroflora yang tidak baik atau disbiosis boleh meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti penyakit keradangan debu, sindrom usus rengsa dan juga penyakit lain yang seolah-olah tidak berkaitan seperti alahan, asma, masalah kardiovaskular dan obesiti.
Tahukah anda?
Probiotik adalah bakteria ‘baik’. Ia didapati di dalam makanan seperti produk susu yang ditapaikan (contohnya yogurt, minuman susu berkultur, kefir dan keju), produk soya yang menjalani proses penapaian atau fermentasi (contohnya tempe), kimchi dan jeruk.
Kebanyakan strain probiotik biasa yang anda mungkin pernah jumpa datang daripada keluarga Laktobasilus dan Bifidobakterium, seperti L. acidophilus, L. casei, L. rhamnosus, B. longum, B. breve atau B. infantis.
Prebiotik pula ‘makanan’ yang menggalakkan pembiakan bakteria baik dan boleh didapati dalam beberapa makanan tinggi serat seperti bawang, bawang putih dan asparagus.
Serat tumbuhan istimewa ini membantu ‘memberi makan’ kepada bakteria baik. Ambil perhatian bahawa bukan semua makanan yang tinggi serat adalah prebiotik. Bagaimanapun, ia masih baik untuk kesihatan penghadaman kerana menggalakkan pembuangan air besar secara tetap.
Cara kekalkan keseimbangan mikroflora usus
Kuncinya adalah dengan memastikan anak anda mengambil diet yang mengandungi prebiotik dan probiotik secukupnya. Selain itu, pastikan anak anda mengamalkan tabiat baik berikut sejak kecil lagi untuk mengekalkan kesihatan penghadamannya:
• Minum air secukupnya
Elak daripada memberi anak anda jus yang dibeli di kedai, minuman berkarbonat atau sebarang minuman manis. Ini akan membantu dia membentuk tabiat minum air sejak kecil, berbanding hanya minum minuman yang kurang sihat.
• Makan lebih serat
Bijirin penuh, legum, sayur dan buah adalah sumber serat yang baik. Mengambil serat secukupnya penting kerana ia membantu menggerakkan makanan melalui sistem penghadaman, menggalakkan fungsi usus yang sihat dan mencegah sembelit.
• Dapatkan tidur dan senaman secukupnya
Mendapat tidur secukupnya adalah sangat penting, terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar.
• Dia juga memerlukan senaman harian secukupnya
Panduan Diet Malaysia menyarankan sekurang-kurangnya satu jam aktiviti terkumpul berintensiti sederhana seperti bermain di luar rumah, berlari, melompat, berbasikal, berenang, bermain bola sepak atau badminton.
Berikut adalah prinsip tambahan makan secara sihat bagi mendapatkan kesihatan penghadaman yang baik:
• Buat satu jadual waktu makan dan kekal dengannya
Ini membantu memastikan anak anda tidak melangkau mana-mana waktu makan. Ingat untuk sentiasa menyimpan beberapa snek sihat (contohnya lobak merah, epal pisang, keju dan yogurt) seandainya dia lapar di antara waktu makan.
• Mulakan harinya dengan sarapan
Mengambil sarapan bukan sahaja membantu dia memulakan harinya, ia juga satu cara yang baik untuk ‘menyelinapkan’ sedikit serat dalam dietnya. Terdapat banyak bijirin tinggi serat yang boleh disediakan dengan mudah dan cepat. Selain itu, dia juga boleh makan buah epal atau pisang.
• Tumpu pada snek sihat
Berhenti membeli snek yang tidak berkhasiat! Sebaliknya simpan bekalan makanan sihat seperti buah, sayur, bijirin penuh dan produk tenusu di rumah.
Tunjukkan teladan
Jangan lupa anda perlu menjadi model teladan yang baik jika jika anda ingin dia makan secara sihat. Tiada gunanya anda menyuruh dia makan sayur jika ada sendiri tidak makan dan menganggap sumber serat serta vitamin ini tidak penting!
No comments:
Post a Comment