Kemurungan adalah salah satu penyakit di bawah kesihatan mental
Rasa sedih yang berpanjangan, sentiasa berasa bersalah, mengasingkan diri daripada orang ramai, malas, dan rasa diri tidak dihargai merupakan petanda anda sebenarnya sedang mengalami kemurungan.
Bagi masyarakat, senario tersebut mungkin dianggap normal namun berbeza bagi doktor-doktor psikiatri yang beranggapan simptom-simptom tersebut menunjukkan seseorang itu mengalami kemurungan yang boleh membebankan kehidupan.
Kita mungkin boleh lihat setiap hari ada sahaja laporan di dada-dada akhbar seperti lelaki yang sanggup mendera isteri dan anak-anak, membunuh kerana terlalu marah dan cubaan membunuh diri kerana tekanan perasaan.
Segala perlakuan tersebut jelas menunjukkan bermula daripada penyakit kemurungan dan disebabkan tidak dirawat awal, ia berkait sehingga kepada penyakit-penyakit mental yang lebih serius.
Menurut Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, apabila seseorang itu dilanda masalah murung, mereka tidak boleh melakukan tugasan yang biasa mereka lakukan dengan baik.
Malah, fungsi mereka di rumah, di sekolah atau kolej, dan di tempat kerja akan terjejas kerana prestasi yang semakin merudum, selain tidak mahu berinteraksi dengan orang lain.
Ujarnya, walaupun kemurungan adalah salah satu penyakit di bawah kesihatan mental, masyarakat tidak perlu risau kerana mereka tidak akan dikategorikan sebagai ‘orang gila’ atau menghidap sakit jiwa kerana boleh dipulihkan.
“Ada tanggapan bahawa jika seseorang itu dirujuk kepada doktor psikiatri, itu bermakna dia mengalami sakit jiwa. Tanggapan seperti itu menyebabkan ramai mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada mendapatkan rawatan kerana takut digelar sebagai ‘orang gila’ oleh masyarakat di sekeliling.
“Disebabkan tanggapan yang salah, Malaysia telah mencatatkan jumlah mereka yang mengalami kemurungan semakin meningkat saban tahun dan menjadi penyakit paling kerap didiagnosis di bawah cabang kesihatan mental di negara ini.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan kemurungan akan menjadi punca utama beban penyakit global pada tahun 2030,” katanya ketika ditemui pada program Hari Kesedaran Kemurungan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Program kesedaran itu anjuran MPA dengan kerjasama Pfizer Malaysia dan disempurnakan pelancarannya oleh Pengarah PPUM Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abdin.
Jelas Dr. Nor Zuraida lagi, peningkatan tersebut berlaku kemungkinan akibat pemahaman serta sindrom kemurungan yang dipandang remeh oleh kebanyakan orang, yang tidak tahu bahawa boleh berlaku kepada semua peringkat kumpulan masyarakat.
Daripada remaja, orang dewasa yang bekerja, sehinggalah kepada orang tua yang disebabkan pelbagai faktor seperti sosio-demografik, penyakit kronik, kebimbangan, tekanan hidup dan pelbagai lagi, berisiko dilanda kemurungan.
Ujarnya, kemurungan bukanlah satu keadaan yang boleh dikesan dengan mudah secara fizikal kerana gejalanya boleh disalah anggap sebagai keadaan kesihatan mental yang lain.
Kemurungan juga malah boleh didiagnosis melalui keadaan fizikal yang langsung tidak berkaitan, seperti sakit kepala atau sakit perut sakit yang menjadikannya sukar untuk dikesan.
“Ditambah pula dengan hakikat bahawa adanya stigma negatif dan diskriminasi kepada pesakit mental, ini menjadikan semakin sukar bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan awal yang sepatutnya boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang normal,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Psikiatri PPUM, Prof. Dr. Ahmad Hatim Sulaiman berkata, manusia mudah menjadi sedih apabila berhadapan dengan kesusahan atau semasa menghadapi kematian dan kegagalan, namun emosi yang dialami oleh mereka yang kemurungan berbeza dengan orang normal.
Ini kerana, perasaan sedih tersebut menyebabkan perubahan dalam sesuatu pemikiran, perasaan, tingkah laku dan bagaimana mereka bertindak.
Katanya, kajian menunjukkan beberapa bahan kimia di alam otak boleh mempengaruhi mood seseorang dan serotonin adalah salah satu daripada bahan kimia tersebut. Individu yang mengalami tekanan didapati mempunyai ketidakseimbangan dalam kerja-kerja memproses serotonin di dalam otak mereka.
Menurutnya lagi, ada segelintir pesakit tidak sedar mereka sedang mengalami kemurungan kerana tanggapan orang sekeliling yang mengaitkan mereka dengan kepercayaan syirik dan agama, seperti terkena buatan orang, gangguan makhluk halus, lemah semangat atau tidak bersyukur, malah pemalas juga dikaitkan dengan mereka yang mengalami kemurungan tanpa sedar.
“Kemurungan boleh dirawat malah pesakit mampu pulih sepenuhnya 100 peratus jika dirawat secara komprehensif. Rawatan boleh diberi dalam bentuk ubat-ubatan, psikoterapi, dan rawatan elektro-konvulsi (ECT) jika keadaan terlalu teruk dengan gabungan sokongan daripada keluarga dan orang di sekeliling.
“Terdapat pelbagai jenis kemurungan dan simptom yang berlaku adalah berbeza antara satu sama lain. Harapan kami sebagai profesional kesihatan mental adalah, masyarakat perlu diberi kesedaran untuk mencegah dan segera mendapat rawatan jika mengalami simptom-simptom seperti yang dibincangkan,” katanya.
Jika anda mengalami simptom-simptom kemurungan atau menyedari orang terdekat anda kemurungan, boleh merujuk kepada Jabatan Klinikal Psikologi Universiti Malaya atau hospital-hospital kerajaan yang lain yang mempunyai kemudahan psikiatri dan klinik komuniti.
No comments:
Post a Comment