Penyusuan susu ibu dan kelahiran biasa faktor utama kekurangan risiko
Walaupun aneh, sebenarnya kesihatan usus kita banyak berkait dengan cara tubuh kita bertindak terhadap alergen. Malah, 70 peratus daripada sistem imun kita berada dalam usus.
Di sinilah mikrobiota kita memainkan peranannya bakteria baik bukan sahaja membantu proses pencernaan makanan, ia juga memainkan peranan kritikal dalam tindak balas imun tubuh kita.
Semakin banyak kajian menunjukkan bukti menyokong kaitan ini. Namun, dengan penggunaan antibiotik yang berleluasa, diet tinggi lemak tetapi kurang serat dan kelahiran Caesarean yang semakin tersebar luas dalam gaya hidup moden, perubahan negatif sedang berlaku dalam mikrobiota usus kita.
Kajian baharu menunjukkan jenis dan gabungan mikrobiota mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan sistem imun seorang bayi, sekali gus risikonya terhadap alergi (alahan) seperti asma, ekzema, gegata dan alergi makanan.
Apakah alergi?
Alergi adalah tindak balas yang dicetus oleh sistem imun tubuh apabila bertindak terhadap bahan yang lazimnya tidak berbahaya seperti habuk, debu bunga, atau beberapa jenis makanan. Bahan yang menyebabkan alergi dikenali sebagai alergen.
Malangnya, ramai orang yang menghidapi alergi terpaksa belajar untuk menguruskan gaya hidup mereka agar mengurangkan pendedahan kepada alergen. Juga semakin banyak bukti yang mengaitkan kesihatan usus dengan tindak balas alergi yang lebih baik di mana beberapa jenis bakteria juga dilaporkan dapat mengurang atau menghentikan simptom alergi makanan dalam kajian makmal.
Kesihatan usus bermula sejak lahir
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang mengalami alergi atau menghidapinya kemudian, semuanya mempunyai perubahan mikrobiota dalam usus yang ketara. Juga didapati pemberian bakteria baik beberapa minggu selepas dilahirkan dapat mengurangkan terjadinya ekzema atopik sebanyak separuh dalam tempoh dua tahun pertama.
Dua faktor utama yang diketahui dapat mengurangkan risiko terjadinya alergi dan asma ialah penyusuan susu ibu dan kelahiran biasa. Sistem gastrousus janin adalah steril dan penyusuan susu ibu serta kelahiran biasa akan menyemai mikrobiota usus ke dalam sistem gastorusus bayi anda.
Bakteria itu seterusnya mempengaruhi perkembangan sistem imunnya. Kajian lain juga menunjukkan bahawa bayi yang menyusu susu ibu mempunyai mikrobiota usus yang lebih pelbagai berbanding bayi yang tidak menyusu susu ibu. Bayi yang menyusu susu ibu kurang kemungkinan mendapat alergi daripada haiwan peliharaan.
Mengekalkan kesihatan usus anak
Memandangkan usus anak anda bertanggungjawab bagi sebahagian besar sistem imun tubuh, mengekalkan kesihatan ususnya adalah satu kebaikan bagi anda. Ada tiga perkara utama yang perlu dilakukan untuk memastikan mikrobiota ususnya dalam keadaan terbaik:
Prebiotik - Ia makanan penting bagi bakteria baik. Kebanyakan makanan berasaskan tumbuhan yang kaya dengan serat adalah sumber prebiotik yang baik seperti buah dan sayur. Contoh lain termasuklah epal (dengan kulit), oren, bawang, bawang putih, bawang merah, lik, kekacang, legum, asparagus dan bijirin penuh. Bagi bayi yang baharu memulakan makanan pelengkap, gunakan pengisar untuk mengelakkan bahaya tercekik.
Probiotik - Bakteria baik itu sendiri! Dengan memasukkan makanan yang kaya dengan probiotik dalam diet anak anda, anda akan memastikan keseimbangan mikrobiotanya. Makanan yang disarankan termasuk miso, natto, kefir dan susu atau roduk soya yang difermentasi (contohnya tempe). Probiotik juga terdapat dalam bentuk suplemen (makanan tambahan), namun, anda harus mendapatkan nasihat pakar pediatrik sebelum memberinya suplemen.
Berhati-hati dengan ubat-ubatan - Sesetengah ubat-ubatan (terutama antibiotik) mungkin menyebabkan masalah yang dipanggil disbiosis atau disbakteriosis, yang bermaksud imbangan mikrobiota usus sangat terjejas.
Oleh kerana semakin banyak bakteria punca penyakit semakin rintang kepada antibiotik, meminta preskripsi antibiotik untuk anak anda bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Bagaimanapun, jika antiobiotik diperlukan, dapatkan nasihat pakar pediatrik anak anda bagaimana untuk menambah semula mikrobiota ususnya.
Tabiat baik kesihatan usus
Selepas memastikan anak anda mendapat prebiotik dan probiotik secukupnya, anda juga harus memastikan yang dia mengekalkan beberapa tabiat untuk kesihatan usus yang baik. Caranya dengan menjalani gaya hidup sihat, dan ini termasuk perkara berikut:
- Pastikan dia mengambil air secukupnya setiap hari.
Berikan diet sihat yang kaya dengan serat setiap hari.
- Hadkan pengambilan lemak, gula dan garam,
- Membolehkan dia melakukan senaman sekurang-kurangnya satu jam sehari. Ini termasuk semua jenis permainan fizikal yang membabitkan semua bentuk aktiviti aerobik seperti bermain bola sepak atau berlari.
Akhir sekali, sentiasa ingat bahawa kesihatan usus anak anda boleh terjejas akibat faktor luaran, seperti makanan. Ada beberapa kajian yang menunjukkan bagaimana perubahan diet seseorang mengubah mikrobiota usus dalam hanya beberapa hari sahaja. Nampaknya kata-kata “Anda adalah apa yang anda makan” memang tepat sekali!
No comments:
Post a Comment