Beberapa menteri yang bersangkut paut dengan industri kesihatan dan pendidikan telah bersetuju dan memutuskan bahawa nasi lemak hanya dibenarkan dijual sehari dalam seminggu di sekolah-sekolah seluruh negara kerana ia dikatakan penyebab masalah obesiti di kalangan murid-murid sekolah!
Saya ingin bertanya satu soalan sahaja kepada menteri-menteri ini, sudahkah mereka membuat kajiselidik dalam skala yang besar untuk mengesahkan bahawa nasi lemak punca obesiti di negara ini? Saya pasti mereka tidak akan dapat memberikan jawapan. Ini kerana orang-orang seperti mereka ini seringkali mudah dipengaruhi oleh beberapa kerat manusia yang berkepentingan dan lebih berkuasa dalam hal-hal pemakanan dan ubat-ubatan. Orang-orang ini tentunya datang dari kalangan ahli perniagaan yang memiliki wang yang banyak dan dengan wang mereka boleh membeli kuasa dan pengaruh.
Saya tidak mahu membuat kenyataan panjang lebar tentang orang-orang sebegini kerana kelak mereka akan menganggap saya menghasut orang ramai dan cuba mengaitkannya isu sebegini dengan dunia politik mereka.
Kita tinggalkan dunia politik mereka, apa yang saya hendak perkatakan ialah keputusan yang dibuat untuk mengharamkan penjualan nasi lemak adalah keputusan yang dibuat secara terburu-buru tanpa membuat penelitian secara keseluruhannya.
Sebelum kita mahu menyalahkan nasi lemak, mari kita lihat beberapa faktor mengapa rakyat Malaysia hari ini sudah hampir menjadi juara obesiti di Asia?
1. Restoran makanan segera (fast food). Restoran berkonsep francais semakin berkembang maju dan bilangan cawangan di seluruh negara tidak akan berhenti buat masa ini. Restoran sebegini sememangnya antara penyumbang yang besar dalam peningkatan kadar obesiti di negara ini. Malah sumbangannya tidak terhad kepada obesiti saja, ia turut menghadiahkan penyakit jantung, diabetes dan kanser kepada rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia membalas jasa mereka dengan terus pergi ke restoran-restoran sebegini. McDonald, KFC, Pizza Hut, Subway, Burger King dan Domino adalah antara contoh terbaik. Selain menghidangkan daging yang digoreng di dalam minyak berkolesterol tinggi, dilapisi pula dengan kepingan keju yang berlemak tinggi, dagingnya diperam dengan sejenis bahan kimia yang merbahaya iaitu sodium nitrite yang menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Rakyat Malaysia dihidangkan pula dengan minuman sampingan iaitu minuman kola berkarbonat. Pilihan selain minuman bergas pula ialah jus perasa oren, mangga dan sebagainya yang dicampur dengan gula yang banyak, kemudian dihias dengan ketulan-ketulan ais batu. Sudah menikmati makanan yang penuh lemak, mereka minum pula air sejuk berais yang membuatkan lemak-lemak tersebut menjadi sebati dan padat di dalam tubuh mereka. Dalam jangka waktu yang lama, ia menyumbat salur darah mereka. Kos perubatannya perlu ditanggung oleh diri sendiri, syarikat makanan segera langsung tidak peduli dan tidak mahu ambil kisah.
2. Penjaja di luar pagar. Pelajar berada di sekolah hanya sekejap. Dari pagi hingga tengahari sahaja. Kalau waktu pagi dia makan nasi lemak, waktu rehat mungkin dia menukar selera. Pelajar akan meluangkan lebih banyak masa untuk makan ketika berada di luar sekolah. Di luar pagar sekolah, ramai peniaga yang mengambil kesempatan menjual makanan kudap-kudap yang tidak berkhasiat kepada pelajar. Ada yang membawa motorsikal roda tiga, malah tidak kurang yang menjaja dengan kenderaan besar seperti van. Di sini, kita boleh melihat berbagai jenis makanan sifar khasiat dijual, ia penuh dengan pewarna, perasa tiruan dan serbuk MSG. Saya pernah menulis dalam beberapa artikel sejak lama dahulu bahawa bahan perasa MSG bertindak memutuskan sistem isyarat rasa kenyang ke otak menyebabkan pelajar boleh makan makanan sebegini sampai sepuluh paket atau lebih tanpa sedikitpun merasa kenyang. Ini menyumbang kepada masalah obesiti kerana di dalam makanan tersebut terdapat berbagai jenis bahan kimia yang tidak diketahui sejauh mana kesannya, apa yang pasti bahan kimia tersebut bukan berasal dari alam semulajadi sebaliknya dihasilkan di makmal ujikaji melalui teknologi GMO.
3. Sikap ibubapa sendiri. Ibubapa yang mempunyai taraf hidup mewah dan berpendapatan tinggi tidak mempunyai masalah untuk membawa anak-anaknya sekeluarga makan di restoran segera setiap malam atau 3 kali seminggu. Tempat sebegini seolah-olah sudah menjadi tempat memujuk anak-anak yang banyak ragam.
Mereka dijanjikan akan dibelanja makan di sini. Ada yang berjanji makan di sini sebagai hadiah lulus peperiksaan atau mendapat markah yang baik. Kadang-kadang, tak dapat markah yang baik pun kena bawa juga anak-anak makan di sini. Kanak-kanak memang gemarkan rasanya kerana ia sebenarnya sama dengan makanan kudap-kudap yang mereka makan di luar pagar sekolah. Ini kerana bahan utama yang digunakan ialah bahan yang sama iaitu Monosodium Glutamat (MSG). Ini sudah jadi satu budaya baru masyarakat Malaysia. Padahal nasi lemak yang memang budaya masyarakat Melayu sejak sekian lama tidak pernah mendatangkan masalah obesiti yang serius kepada generasi terdahulu. Mengapa?
4. Makanan kudap-kudap yang terdapat di pasaran (junk food). Hari ini, jika pergi ke mana-mana pasaraya besar atau pun kedai runcit, tentu ada makanan sifar khasiat ini di mana-mana. Apa yang maksudkan bukan saja keropok atau snek, malah termasuk gula-gula berbagai rasa, ais krim, gula-gula getah termasuk biskut-biskut manis yang sekejap ada sekejap tiada, kononnya ia berkhasiat tetapi sebaliknya. Masalahnya sekarang, ia sudah bertambah banyak dalam berbagai jenis dan rasa. Kalau masa saya kecil-kecil dahulu, mungkin saya boleh bilang dengan jari makanan jenis ini, tetapi hari ini ia tidak terhitung lagi. Pasarannya semakin berkembang dan permintaan juga tinggi. Stok yang ada pun cepat habis, malahan harganya murah.
5. Susu. Satu lagi perkara yang menyebabkan rakyat Malaysia semakin obese ialah disebabkan suka minum susu lembu. Susu pekat manis berkrim semuanya ditambah dengan gula yang banyak. Kalau hendak minum susu lembu, silakan - tapi kenapa perlu campur gula? Biarlah susu itu dalam keadaan asalnya.
Tentu ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Tetapi sepanjang kajian saya, saya tetap ingin menegaskan di sini bahawa susu skim, susu rendah lemak, suhu tinggi kalsium, susu pekat manis dan susu UHT yang terdapat di pasaran hari ini sudah sifar khasiat. Ia tidak lagi mengandungi faedah seperti sewaktu ia mula diperah. Proses pemanasan suhu terlampau tinggi dan pemampatan tinggi sudah tentu melenyapkan semua khasiat yang ada pada susu itu. Maka apa yang tinggal ialah semata-mata lemak dan cecair putih yang tidak berkhasiat, malah boleh menyebabkan cirit-birit kepada sesiapa yang mempunyai alergik.
Jika anda rajin meneliti barisan produk-produk asal dari syarikat-syarikat pengeluar produk suplemen yang terkenal dan boleh diyakini seperti Amway, Elken, Nutrilite dan sebagainya, anda tidak akan menemui produk mereka 100% berasaskan susu lembu apalagi kalsium dalam susu lembu. Mengapa? Anda jawablah sendiri! Hanya sejak kebelakangan ini mereka sudah mula menghasilkan produk suplemen berasaskan susu lembu tetapi dicampur dengan susu kacang soya, ekstrak beras dan sebagainya - ini kerana strategi pasaran. Mereka terpaksa akur kepada trend pasaran - yang dibentuk hasil propaganda yang dibuat oleh pengusaha makanan proses.
Jika anda ingin menikmati khasiat susu yang sebenar, minumlah susu lembu yang segar atau susu kambing yang segar. Di sana, segala khasiat masih terpelihara, anda akan beruntung jika mendapat khasiat walaupun sedikit.
Cubalah pembaca sekelian cari siapakah manusia yang mula-mula sekali di bumi yang mengatakan susu lembu yang sudah diproses seperti mana proses yang ada hari ini sangat baik untuk tubuh manusia! Atau ia hanya propaganda untuk melariskan jualan yang telah dipercayai sejak sekian lama, dari generasi ke generasi termasuk kita rakyat Malaysia! Ada iklan yang menyebut kononnya susu skim keluaran mereka "tiada gula tambahan". Pengguna perlu memahami apa yang dimaksudkan. Ini tidak bererti susu itu tiada gula langsung.
Hakikatnya ia tetap mengandungi gula yang pada asalnya tiada dalam susu itu. Dan kandungan gula itu tetap tinggi. Mereka hanya meletakkan sukatan tertentu supaya gula tidak perlu ditambah lagi. Bagi saya, ia sungguh melucukan. Teknik sebegini pernah digunakan oleh pengeluar mee segera dengan meletakkan label "tidak ditambah MSG", padahal ia tetap mengandungi MSG, cuma kuantitinya dikurangkan dari biasa. Hari ini, ia sudah tiada di pasaran kerana jualan yang tidak memberangsangkan. Lidah rakyat Malaysia sudah tegar dengan rasa MSG, mereka lebih suka memilih makanan yang banyak MSG kerana ia lebih sedap.
6. Restoran 24 jam. Kini sudah menjadi trend masyarakat Malaysia suka duduk berjam-jam di restoran bulan bintang sampai Subuh hari. Ia juga salah satu faktor rakyat Malaysia semakin ramai mengalami obesiti kerana makan pada waktu larut malam tidak sesuai untuk sistem tubuh kita.
Kembali bicara tentang nasi lemak. Saya sendiri makan nasi lemak. Dalam seminggu, 1 atau 2 kali saya makan nasi lemak. Saya yakin dengan nasi lemak, kerana kebanyakan peniaga lebih suka memilih santan yang asli berbanding santan di dalam kotak. Ia lebih murah jika dibeli dalam kuantiti banyak. Apa silapnya nasi lemak, sedangkan keluarga saya dari turun-temurun sudah menjamah nasi lemak. Ia makanan tradisi yang asli. Tiada campuran bahan asing, hanya beras, santan, sedikit garam dan air. Masak di dalam rice cooker atau kukuskan ia. Prosesnya sama, dan tiada proses makmal. Minyak yang keluar dari santan kelapa tidak sama dengan minyak dari kelapa sawit yang telah menjalani pelbagai pemeringkatan . Saya belum pernah mendengar rakyat Malaysia mati kerana terlalu banyak makan nasi lemak. Percayalah, dengan hanya makan nasi lemak 2-3 kali seminggu tidak akan mendatangkan obese, tetapi anda akan mengundang obesiti jika makan di restoran fast food selalu.
Jadi bagaimana mereka dengan begitu mudahnya menyalahkan nasi lemak sebagai penyebab obesiti? Anda boleh bayangkan sendiri sejauh mana sumbangan nasi lemak jika hendak dibandingkan dengan faktor-faktor yang saya senaraikan di atas. Apa yang saya tahu, pelajar sekolah rendah biasanya tidak gemar makan nasi lemak. Jika diberi pilihan, mereka lebih cenderung memilih nuget ayam, sosej atau burger. Kita semua tahu bahawa restoran makanan segera kini sanggup berbuat apa saja untuk menarik pelanggan bersarapan pagi di restoran mereka, tetapi sambutan orang ramai kurang menggalakkan. Dengan harga yang rendah, sarapan yang menyelerakan, mereka mahu semua orang bersarapan di premis mereka.
Jadi, marilah rakyat Malaysia semua kita jangan lagi mudah tertipu dengan taktik kotor dan keji pengusaha makanan yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Tindakan mengharamkan jualan nasi lemak samalah seperti semut di seberang sungai dia nampak, gajah di depan mata dia buat tak tahu. Peniaga nasi lemak secara kecil-kecilan yang untung tidak seberapa mahu dihapuskan, perniagaan bernilai jutaan ringgit yang lebih banyak membawa mudarat dibiarkan berleluasa.
No comments:
Post a Comment