Monday, July 29, 2013

Sihat Cergas: Kebaikan berpuasa

Tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan salam Ramadan kepada semua pembaca.

Selari dengan bulan penuh mulia ini, ramai yang mengeluh pada saya mereka cepat penat ketika bersenam lantas berhenti melakukannya selama sebulan.

Sebenarnya kita masih boleh bersenam ketika berpuasa, cuma pilihan jenis senaman itu kena betul supaya tidak memudaratkan diri.

Selain itu, kehadiran Ramadan juga memberi beberapa kelebihan kepada tahap kesihatan kita antaranya berpuasa membantu mengurangkan berat badan dan mengawal jumlah gula dalam darah.

Ia juga boleh membantu mengurangkan tekanan darah dan kandungan kolesterol serta menolong membuang ketagihan seperti merokok untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Bagi sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan dan mencapai berat serta bentuk badan diingini pada Syawal nanti, pasti kesempatan inilah sesuai untuk menjaga penampilan diri agar nampak berkeyakinan pada hari lebaran kelak.

Ini kerana pada Ramadan, individu yang berpuasa sukar memenuhi keperluan kalori seharian mereka.

Ada sesetengah orang mengatakan mereka berjaya kurangkan 10 kilogram! Itu luar biasa. Kalau satu kilogram seminggu lebih realistik tetapi itupun gabungan daripada pembuangan lemak dan air.

Puasa juga mengajar kita untuk mengawal pelbagai godaan kehidupan termasuk nafsu makan dan merokok.

Dalam usaha anda mengawal berat badan, kawalan nafsu makan memang mustahak dan lebih mudah untuk mengawal nafsu makan dalam bulan ini.

Ibadat puasa dapat mengurangkan tekanan darah tinggi berikutan hasil gabungan seperti tahap insulin yang lebih rendah dan glukos darah lebih konsisten di samping membantu mengurangkan tahap kolesterol badan.

Puasa bukan saja merehatkan sistem penghadaman tapi juga dapat merehatkan minda dan badan. Saya sendiri gunakan bulan puasa untuk berehat daripada aktiviti fizikal atau senaman untuk membaiki segala kecederaan ringan sepanjang tahun.

10 kebaikan kesihatan apabila berpuasa

Kurang berat

Saya rasa kebanyakan kita akan berjaya mengurangkan berat badan dalam bulan ini kerana sukar untuk memenuhi keperluan kalori seharian dengan tiga hida-ngan iaitu berbuka, makan malam dan sahur.

Kawalan diri

Puasa mengajar kita untuk mengawal pelbagai godaan kehidupan seperti nafsu makan dan merokok. Dalam usaha anda mengawal berat badan, kawalan nafsu makan memang mustahak.

Kurangkan gula dalam darah

Pengambilan gula (glukos) yang tersekat dari waktu sahur hinggalah berbuka (kira-kira 14 jam), menstabilkan bukan saja glukos darah tapi juga meningkatkan kepekaan insulin.

Kolesterol

Bantu mengurangkan kolesterol LDL dengan meningkatkan kolesterol HDL.

Kurangkan tekanan darah

Puasa sesuai untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Pengurangan tekanan darah adalah hasil gabungan tahap insulin yang lebih rendah dan glukos darah yang lebih konsisten.

Ubah gaya hidup

Tanpa kewajipan berpuasa, saya rasa memang sukar untuk kita mengubah tabiat buruk. Puasa sebulan memberi peluang keemasan untuk membuang tabiat kurang elok seperti merokok dan makan berlebihan.

Rehat

Ini penting apatah lagi kehidupan dunia ini makin pantas dan jarang memberi ruang untuk kita merehatkan badan. Dengan berpuasa, ia sedikit sebanyak membantu kita untuk berehat supaya tidak mudah penat dan menenangkan diri.

Bantu buang ketagihan

Ingin buang tabiat merokok atau minum kopi berlebihan? Jangan sia-siakan peluang berpuasa untuk mengambil langkah pertama.

Kawal tekanan

Ketenangan dan pengubahsuaian fokus utama kehidupan daripada duniawi kepada akhirat membantu untuk mengurangkan tekanan. Ibadat puasa, tilawah mahupun berzikir yang dilebihkan pada bulan puasa dapat mengalih fokus dan mengurangkan
tekanan.

Ukhuwah

Selain kelebihan di atas, berpuasa Ramadan antara lain mempunyai
pelbagai kelebihan lain untuk diri, penyatuan keluarga juga mengeratkan silaturahim.

10 tip hadapi bufet Ramadan

1. Mulakan dengan hidangan seimbang.

2. Cukuplah makan satu hidangan utama.

3. Ingin lebihkan makanan manis seperti kuih-muih? Pastikan anda rancang terlebih dulu dan kawal pengambilan kalori.

4. Daripada suapan pertama hingga rasa kenyang, ambil masa 20 minit. Jangan gelojoh.

5. Pastikan ada air kosong selain air manis. Air manis untuk nafsu tetapi air kosong untuk dahaga.

6. Ingin menikmati teh tarik atau kopi? Elak mengambil gula dan susu berkrim berlebihan.

7. Sudah habis makan tetapi masih melepak melayan kawan-kawan? Pilih makanan seperti lobak merah untuk masa terluang itu.

8. Periksa hidangan bufet sebelum berbuka dan rancang pengambilan makanan.

9. Jangan amalkan prinsip makan untuk memenuhi harga bufet kerana nanti perut anda yang rugi.

10. Jangan terlalu tegar, asyik atau selalu menikmati hidangan bufet. Sesekali tidak mengapa.

No comments: