PERISTIWA empat tahun lalu benar-benar menguji ketabahan arkitek
berkaliber ini yang mula membayangkan apa yang akan terjadi padanya jika
bergelar 'orang buta'.
"Ketika itu saya menghadiri majlis rumah terbuka seorang sahabat.
Majlis tersebut berlangsung pada waktu malam dan ketika hendak menjamah
makanan tiba-tiba mata saya begitu kabur.
"Saya ke tandas untuk membasuh mata dan makin di basuh mata makin
kabur dan gatal. Saya sangka mata dimasuki serangga tanpa menyangka ada
sesuatu yang tidak kena," cerita Hoi Lam.
Kebetulan waktu itu musim perayaan dan kebanyakan klinik mata
ditutup. Seminggu selepas kejadian baru klinik dibuka dan reaksi doktor
yang terdiam selepas melakukan pemeriksaan mata, membuatkan Hoi Lam tahu
ada sesuatu yang tidak kena.
"Doktor melakukan pemeriksaan selama 15 minit dan bertanya sama ada
saya pernah jatuh atau terluka kerana dalam mata sudah berlaku
pendarahan.
"Saya dirujuk ke pakar mata. Barulah saya tahu yang saya kini
menghidap penyakit mata yang dinamakan AMD lembap ," katanya dalam sesi
berkongsi pengalaman pada majlis pelancaran Eylea, produk penjagaan mata oleh Bayer HealthCare di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Hoi Lam mengetahui penyakit itu memang sesuatu yang serius kerana jika tiada rawatan boleh menjadikannya buta.
"Saya makin panik. Tiap kali bertemu doktor saya akan bertanya tidak adakah ubat bagi merawat penyakit ini.
"Mata saya berdarah dan sangat teruk. Terasa panas dan amat tidak menyelesakan.
"Saya mula membayangkan perkara yang tidak baik, bagaimana saya
sebagai arkitek boleh bekerja dengan mata yang buta. Ahli keluarga saya
juga risau dengan apa yang saya alami," kata datuk kepada seorang cucu
perempuan ini.
Seterusnya rawatan demi rawatan dilakukan, mujurlah, mata Hoi Lam dapat diselamatkan.
Nasihat Hoi Lam kepada pembaca agar berjumpa doktor pakar mata bila
ada kelainan pada mata dan jangan berpuas hati dengan ujian melihat
nombor sahaja.
Sebaliknya, minta doktor melakukan pemeriksaan terhadap mata secara terperinci.
Boleh dicegah, dirawat
Memang ramai yang mengalami AMD lembap yang faktor utamanya adalah berpunca daripada peningkatan usia.
"Lazimnya, apabila sudah ada pendarahan pada mata barulah pesakit
rasa risau dan mula berjumpa doktor. Namun pada keadaan ini, mungkin
sudah terlambat.
"Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia mengalami AMD jenis
kering dan ramai yang tidak sedar mereka sedang mengalaminya.
"Untuk AMD lembap pula kira-kira 150,000 orang sedang menanggungnya.
Apa yang menyedihkan mereka hanya berjumpa doktor apabila sudah tidak
nampak," ujar Dr. Kenneth Fong Choong Sian, pakar perunding oftalmologi dan bedah vitreoretina dari Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya.
Antara simptom AMD lembap ialah kekaburan, penurunan kualiti
pemandangan mata tengah, kurang kepekaan warna, tidak boleh melihat imej
dengan tepat, scotoma, imej berbayang dan tidak boleh melihat pada
waktu malam.
"AMD lembap adalah wabak senyap yang berlaku dalam kalangan mereka
yang berumur 50 tahun ke atas. Penyakit mata progresif dan kronik ini
merupakan punca utama buta yang boleh dicegah dalam kalangan golongan
berumur," jelasnya.
Tambah Dr. Choong Sian, masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak menyedari tentang AMD lembap dan gejalanya.
Lebih malang, mereka melengahkan langkah untuk mendapatkan rawatan
kerana tidak menyedari bahawa mereka boleh kehilangan penglihatan dalam
masa tiga bulan.
"Pesakit AMD lembap selalunya tidak dapat membaca dan menulis dengan
baik serta sukar melakukan kerja rumah. Mereka juga sukar mengenali
wajah dan objek.
"Penyakit ini memang mengganggu emosi pesakit. Walau apa pun
puncanya, buta menyebabkan kualiti hidup merosot teruk," tambah Dr.
Choong Sian.
Saluran darah tidak normal
AMD lembap berlaku apabila saluran darah tidak normal mula tumbuh di bawah makula, iaitu di bawah retina.
Saluran darah baru ini boleh bocor dan melelehkan darah atau
bendalir, meninggalkan parut dan mengaburkan penglihatan pusat
seseorang.
Semakin lama salur darah ini tumbuh dan semakin banyak ketirisan
membuatkan semakin tinggilah risiko kehilangan penglihatan pusat.
Kehilangan penglihatan disebabkan AMD lembap berlaku dengan lebih
cepat dan lebih ketara berbanding AMD kering. Kerosakan juga lebih teruk
pada AMD lembap dan tidak boleh dipulihkan.
Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Penyakit Perubatan dan Pembedahan retina dan Gelemaca, Dr. Wong Jun Shyan berkata, tanpa rawatan sewajarnya, pesakit yang mengalami AMD lembap mungkin akan menjadi buta dalam masa dua tahun.
"Jadi pesakit perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan secepat
mungkin. Buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan AMD lembap,
tetapi rawatan boleh dilakukan untuk membantu melambatkan penularan
penyakit, malah boleh mengembalikan penglihatan yang hilang," jelas
beliau.
Antara pilihan rawatan untuk AMD lembap termasuk pancaran laser yang
digunakan untuk menghapuskan saluran darah bocor yang tumbuh di belakang
mata.
"Rawatan lain seperti terapi fotodinamik, iaitu ubat disuntik pada
lengan dan cahaya digunakan untuk mengaktifkan tersebut di dalam salur
darah mata.
"Ubat tersebut akan bertindak memulihkan saluran darah halus yang bocor," jelas Dr. Jun Shyan.
Sementara itu Pengarah Urusan Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd., Thomas Steffen pula berkata, dengan ubat terbaru yang diberi nama Eylea, pesakit yang menghidapi AMD lembap boleh mendapat manfaat daripada keberkesanan terapi perencat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF).
Ini bagi membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dengan mengurangkan pemeriksaan susulan dan suntikan.
"Eylea menandakan satu kejayaan dalam rawatan AMD lembap dan
membulatkan lagi komitmen kami untuk menambah baik kehidupan menerusi
sains," ujarnya.- NOOR FAZRINA KAMAL
No comments:
Post a Comment