SUATU hari, Imam
Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika
tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?"
Murid-muridnya
menjawab: "Ya."
Guru yang bijak
ini melanjutkan: "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah
selama tiga hari, ia akan mati."
Hati
manusia
Setiap amalan
bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan
hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia
melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati
sangat menentukan kualiti amalan seseorang.
Rasulullah SAW
bersabda: Ketahuilah,
sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka
baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Hati manusia
sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh
faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah
suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga
pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati.
Sebagaimana tubuh
badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat
melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa
nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia
akan nikmat menyantap makanan dan minuman.
Adapun tanda hati
tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan
berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan
maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat
adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri.
Imam Tabiin di
Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan
hati. Beliau berkata: "Rasakanlah
kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan
ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau
tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah
tertutup."
Ubat
hati
Hati orang
kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai
penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak,
kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza.
Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah.
Oleh itu, kita
perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang
memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di
dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur
dengan orang-orang yang "berhati sihat."
Berkata Ibrahim
Al-Khawas, "Ubat hati lima
perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat
malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang
saleh."
Jika kita tidak
segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia
bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad.
Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan.
Namun orang yang
mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan
masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam.
Sumber: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment