Tuesday, August 20, 2013

RAWATAN SELEPAS KEGUGURAN

SOALAN

SAYA baharu mengalami keguguran. Apakah rawatan yang akan saya terima selepas mengalami keguguran? Adakah keguguran memberi kesan ke atas keupayaan saya untuk hamil lagi? Bilakah saya boleh mencuba untuk hamil lagi selepas mengalami keguguran?

- Ija, Johor.

Jawapan

Selepas doktor mengesahkan bahawa anda mengalami keguguran, anda mungkin akan dirujuk bagi menjalani satu pembedahan kecil yang dipanggil ERPC (Evacuation of Products of Conception) atau D&C (Dilation & Curettage) untuk mengosongkan rahim daripada sebarang sisa kehamilan. Seterusnya, doktor anda mungkin akan berbincang dengan anda mengenai sejarah kesihatan anda dan anda mungkin dirujuk kepada pihak yang berkenaan. 

Dianggarkan 10 hingga 15 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran. Doktor biasanya tidak 

menyarankan anda menjalani sebarang ujian khas selepas keguguran yang berlaku pertama kali. Masalah-masalah kesihatan biasanya bukanlah penyebabnya. Kehamilan yang seterusnya mungkin akan berjaya. 

Jika anda mengalami keguguran untuk kali kedua, doktor anda mungkin menyarankan beberapa ujian untuk mengenal pasti sebab keguguran tersebut. Biasanya, anda tidak akan dirujuk kepada ahli ginekologi kecuali anda mengalami tiga kali keguguran atau lebih secara berturut-turut. Walaupun dengan ujian-ujian yang sangat sofistikated, biasanya sebab mengapa seseorang wanita kerap mengalami keguguran tidak dapat dipastikan. 

Mengalami keguguran tidak semestinya menandakan anda mempunyai masalah kesuburan. Malah, kajian menunjukkan bahawa di antara setengah dan tiga perempat daripada wanita yang pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali atau lebih akhirnya melahirkan bayi yang sihat tanpa memerlukan sebarang rawatan perubatan yang khusus. Kecuali jika doktor anda memberitahu yang sebaliknya, ada kemungkinan kehamilan kedua anda akan normal. 

Selepas keguguran kali pertama, risiko keguguran untuk kali kedua sama sahaja dengan sebelumnya. Walaupun selepas dua keguguran, risiko keguguran kali ketiga hanya meningkat sedikit sahaja.
Kebanyakan doktor akan mengesyorkan anda tunggu sehingga mendapat sekurang-kurangnya satu kali haid yang normal sebelum mencuba lagi. Ini bagi memberi peluang kepada badan anda untuk kembali normal. Tetapi jangan lupa bahawa anda juga perlu sembuh dari segi emosi sebelum bersedia untuk cuba hamil lagi.

No comments: