SAYA mendapat berita kawan saya mengalami
kehamilan ektopik (luar rahim). Saya merasa amat terkejut sebab dia
hampir pitam di pejabat. Kawan sepejabat bergegas membawanya ke
hospital. Rupa-rupanya dia hamil di luar rahim. Alhamdulillah dia stabil
selepas pembedahan tetapi perlu dimasukkan ke ICU disebabkan pendarahan
yang banyak. Bolehkah doktor jelaskan berkenaan kehamilan di luar rahim
ini, kenapa simptomnya teruk sangat? Terima kasih.
- Ros, Taiping, Perak.
Jawapan
Kehamilan di luar rahim bermaksud kehamilan yang membesar di luar
rahim ibu dan dikenali sebagai kehamilan ektopik. Dalam kebanyakan kes
kehamilan di luar rahim, implantasi berlaku dalam salur Fallopio atau
salur peranakan. Apabila kehamilan ini berkembang, ia menyebabkan
kesakitan dan pendarahan dan jika dibiarkan, salur Fallopio tersebut
boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman. Ini merupakan kes
kecemasan dan boleh mengancam nyawa. Kehamilan seperti ini tidak
bertahan lama kerana ia tidak dapat dialihkan ke dalam rahim dan harus
digugurkan sepenuhnya.
Keadaan ini biasanya dikenal pasti antara minggu keempat dan ke-10.
Simptom-simptomnya biasa berlaku kira-kira dua minggu selepas tidak
datang haid.
Ada beberapa simptom awal yang boleh membantu mengenal pasti kehamilan di luar rahim seperti:
*Pendarahan faraj yang tidak normal
*Sakit yang teruk dan berterusan di satu bahagian pada bawah perut
Rawatan
Jika anda mengalami simptom-simptom yang disebutkan di atas, jumpalah
doktor dengan segera atau pergi ke hospital. Jika salur Fallopio anda
telah pecah, anda perlu terus dibedah tetapi dalam kebanyakan kes,
kehamilan di luar rahim dapat dikesan awal dan ujian-ujian dapat
dilakukan dan pembedahan (jika perlu) dapat dirancang.
Anda mungkin akan menjalani pemeriksaan dalaman untuk mengesan lokasi
kehamilan serta ujian kehamilan yang sensitif. Ujian darah akan
mengukur tahap hormon chorionic gonadotrophin (hCG). Ia akan
memberitahu bukan sahaja sama ada anda hamil atau tidak, malah akan
menunjukkan sama ada tahap hCG anda lebih rendah daripada yang normal,
yang mana merupakan satu tanda kehamilan di luar rahim.
Doktor akan menjalankan pemeriksaan imbasan ultrabunyi melalui faraj,
memandangkan kehamilan ini mungkin tidak dapat dikesan melalui imbasan
pada perut. Kadangkala, keputusannya tidak tepat dan anda mungkin perlu
membuat imbasan lagi selang beberapa hari.
Jika kehamilan di luar rahim ini dikesan, pakar bedah akan
menggunakan kaedah laparoskopi untuk memotong salur Fallopio dan
mengeluarkan kehamilan tersebut. Salur tersebut tidak akan dipotong jika
ia boleh dibaiki. Laparoskopi lebih baik daripada pembedahan terbuka
kerana pembedahan ini lebih cepat; kurang darah yang hilang semasa
pembedahan ini; anda tidak perlu tinggal lama di hospital dan kurang
ubat penahan sakit diperlukan.
Dalam sesetengah kes, pemindahan darah mungkin diperlukan untuk
menggantikan darah yang hilang jika salur Fallopio telah pecah dan
doktor biasanya akan mencadangkan pembedahan secara terbuka
(laparotomi).
Sama ada salur Fallopio dan kehamilan itu dikeluarkan bersama-sama,
atau kehamilan dikeluarkan dan salur Fallopio dibaiki bergantung kepada
tahap kerosakan salur tersebut; tahap kesihatan salur Fallopio yang satu
lagi dan keinginan anda untuk hamil lagi. Dalam sebilangan kes,
biasanya dalam kes-kes yang salur tersebut dapat diselamatkan (kira-kira
empat peratus dengan kaedah pembedahan lubang kunci dan lapan peratus
dengan kaedah pembedahan terbuka), kehamilan tersebut terus berlangsung
dan memerlukan ubat metotreksat yang menggugurkan kehamilan, atau
pembedahan susulan untuk mengeluarkannya. Metotreksat kadangkala boleh
digunakan untuk merawat kehamilan di luar rahim dan pesakit tidak
perlukan pembedahan. Rawatan ini lebih efektif pada awal kehamilan,
apabila hormon kehamilan masih pada tahap rendah dan ia boleh digunakan
jika tiada pendarahan berlaku dan tiub tersebut belum pecah. Kehamilan
itu akan gugur dan diserap oleh si ibu, yang kemudiannya akan mengalami
pendarahan selama beberapa minggu.
Dalam kes-kes tertentu, jika kehamilan di luar rahim dikesan dari
awal lagi tetapi lokasi sebenar belum dipastikan, tiada rawatan akan
dicadangkan. Ini dipanggil pengurusan ekspektasi atau 'tunggu dan
lihat'. Dalam kes ini, banyak kehamilan di luar rahim yang gugur dengan
sendirinya, terutamanya dalam kes tiada pundi telur dikesan dan hormon
kehamilan masih di tahap sangat rendah.
Dalam kes-kes ini, pengurusan ekspektasi dapat mengelakkan pembedahan
sehinggalah ia tidak dapat dielakkan lagi. Namun, ini berlaku dalam
kira-kira satu perempat daripada kes tersebut.
No comments:
Post a Comment